Nak cari ketenangan? Jemu hiruk pikuk kota? Cuba eksplorasi khazanah alam di Empangan Sg Selangor!
Published by
KitaReporters
--title--
Bergambar kenangan latar berlatarbelakangkan Empangan Sungai Selangor.
Jemu hiruk pikuk di bandar raya, jom kita ke luar kota untuk mencari ketenangan. Meninggalkan bunyi bising enjin kenderaan dan cemarnya udara asap yang meracun diri. Ke mana? Dekat sahaja. Tak payah jauh. Tempat yang memberi kedamaian dan udara segar.
Saya bersama dua sahabat Shikin dan Siti Mariam menyusuri jalan lama dari Rawang menghala ke Serendah, Bukit Beruntung, Sungai Buaya sehingga ke Kuala Kubu Bharu.
Atau boleh juga memandu lebih kurang sejam dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara-Selatan atau jalan lama dari Rawang menghala Tanjong Malim anda akan bertemu dengan satu daerah di Selangor yang masih kekal dengan kehijauan alam sekitarnya.
Hulu Selangor, sebuah daerah di utara Negeri Selangor yang luas dan masih banyak kawasannya yang belum lagi dimajukan. Namun kini ia sedang melalui proses menaik taraf yang mengkagumkan.
Sementara Kuala Kubu Bharu pula, sebuah pekan kecil daerah ini yang juga semakin popular dan menarik hati pengunjung khasnya penduduk sekitarnya.
Melalui pekan ini juga anda boleh terus menyusuri jalan menghala ke Bukit Fraser di mana anda akan melalui sebuah empangan, Empangan Sungai Selangor yang sungguh indah.
Antara panorama cantik Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru.
Wow… Cantik mata memandang. Empangan Sungai Selangor ini mempunyai daya tarikan yang mempesonakan pengunjung. Telah beroperasi sejak tahun 2003 dan kini mula menarik perhatian pengunjung tempatan dan luar.
Empangan ini terletak kira-kira 5 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu. Empangan ini dimiliki Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Spash) untuk membekalkan air terawat kepada Syabas.
Yang menjadikan Empangan ini menarik karena alam sekitarnya yang masih terpelihara. Nikmati kehijauan alam dan keindahan empangan ini sepanjang anda bersantai.
Persekitaran dan pemandangan di kawasan empangan sungai selangor ini amat menarik dengan tasik, dikelilingi bukit-bukau serta flora dan fauna yang terpelihara.
Anda akan merasai kesegaran udara dari angin yang berhembus membuatkan anda seakan berada di tepi pantai. Sesuai untuk berehat dan bersantai bersama keluarga tersayang.
Jika anda dalam perjalanan ke Bukit Fraser boleh singgah berehat seketika di tebing empangan Sungai selangor setelah letih memandu. Jika ada bekalan lagi baik, sambil santai sambil makan.
Anak-anak boleh bermain dan berlari-lari dengan gembira di sekitar kawasan yang bersih, selamat dan selesa dengan pengawasan daripada ibubapa. Yang remaja boleh beriadah dan dewasa juga boleh menumpang renggang kaki dan betulkan urat dengan senaman ringan.
View point di Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu
Wakaf disediakan untuk pengunjung bersantai
Ketenangan dan kedamaian yang membuatkan diri dan minda rileks seketika. Lupakan masalah dan tenangkan hati.
Bagi yang suka bergambar dan merakamkan gambar kenangan inilah tempat untuk meraikan memori anda. Terdapat beberapa arca dan spot menarik dibina di kawasan empangan selain daripada keunikan empangan dan panorama sekitarnya. Ada view point untuk melihat kawasan sekitar dari tempat tinggi.
Kerusi meja dari batu yang kemas dan selesa juga ada disediakan di samping wakaf untuk pengunjung duduk berehat.
Keindahan alam anugerah Allah ini harus dipelihara kerana bukan sahaja sebab keindahannya tetapi fungsinya yang menjadi tadahan air semula jadi untuk keperluan setiap makhluk yang bernyawa perlu diberi keutamaan.
Dan saya tidak merasa jemu untuk bersantai lebih lama kerana suasanya yang sangat mendamaikan. Kami menghabiskan masa lebih 2 jam berbual dan bergambar.
Sayangnya tidak ada gerai jualan makanan disediakan mungkin atas faktor kebersihan dan menjaga persekitarannya yang bersih dan cantik.
Mesti singgah untuk mencuba
Boleh singgah solat di Masjid Jamek Ar-Rahman
Tapi anda boleh membawa bekalan untuk makan di situ asal menjaga kebersihan dan membuang sampah ditempat yang disediakan.
Oh ya jika tidak, setelah penat bersantai boleh singgah ke Restoran Cendol Pak Samat yang sangat sedap dan popular di Kuala Kubu Bharu. Macam-macam menu ada termasuk keropok lekor dan makanan goreng-gorengan.
Masuk waktu boleh solat di Masjid Kuala Kubu Bharu yang sangat cantik bersih dan selesa bersebelahan dengan restoran Cendol Pak Samat.
Juga boleh menjamu selera di Dataran Kuala Kubu Bharu yang menempatkan medan selera, gerai jualan dan tempat permainan kanak kanak yang mengambil masa 15 minit perjalanan dari empangan.
Yang pasti anda akan pulang dengan gembira setelah menikmati suasana daerah yang banyak khazanah alam ini.
Jika mencari lokasi untuk berehat dan melupakan seketika kebisingan dikota, Hulu Selangor adalah tempatnya. Jimat Masa, jimat tenaga dan jimat belanja.
Anda pasti puas dan lega! Hati tenang minda lapang, jiwa tenang menikmati kebesaran dan keindahan alam ciptaan Yang Esa.
Tapi jangan lupa, cintai alam sekitar, hindari pencemaran dan kemusnahan. Jadilah pengunjung berhemah dan sayangkan anugerah Allah. - KitaReporters
Dataran Kuala Kubu Bharu tempat makan yang cantik dan bersih
10
17
0
13
0