Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), sebuah zoo tertua di negara ini terus menjadi tumpuan kepada pengunjung baik dalam dan luar negara.

Selain menikmati pemandangan yang indah dengan bunyi-bunyi burung-burung berkicauan dan binatang yang mendominasi di dalam zoo menjadi tarikan untuk berkunjung.

Terbaharu, ZTNS membina 15 buah kandang berharga RM300,000 bagi menempatkan pelbagai spesies ular seperti ular tedung selar, ular sawa dan sebagainya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, setakat ini, sembilan jenis ular telah dipamerkan dan enam jenis lagi akan dipamer selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Kita menunggu kelulusan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk mempamerkan enam spesies ular baharu yang akan diterima,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Jejak Warisan Sejarah Bandar Taiping (Lukisan Mural) 3D Mural @ Zoo Taiping & Night Safari di Pondok Savanah Zoo Taiping & Night Safari pada 30 September 2024.

Khairul Amir berkata, sejak bilik pameran ular dipamerkan, ZTNS telah mendapat sambutan dalam kalangan pengunjung yang jarang melihat ular berbisa secara dekat.



Sementara itu, Khairul Amir berkata, enam lukisan mural konsep “3D on the Floor” seperti Mural Harimau Belang, Mural Buaya, Mural Zirafah, Mural Ular dan Mural Titi Gantung telah siap dipamerkan di ZTNS.

Katanya, projek mural 3D tersebut dilaksanakan oleh Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) dalam usaha mencantikkan bandar Taiping yang mencerminkan sejarah dan keunikan bandar ini.

Menurut Khairul Amir, setakat ini terdapat 14 mural telah dilukis di sekitar dinding-dinding di bandar ini sebagai tarikan kepada pengunjung sejak dilaksanakan pada tahun 2022.

Antara mural terkenal ialah Mural Penemuan Bijih Timah di Larut, Mural Perjanjian Pangkor 1974 di Jalan Ong Saik, Mural Padang Golf Pertama di Jalan Tokong dan Mural Makanan Popular di Jalan Berek.

“Projek mural ini membuktikan bahawa seni bukan sahaja menjadi elemen hiasan tetapi memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan sejarah dan kisah silam kepada masyarakat moden,” katanya.

Khairul Amir berkata, Taiping mempunyai 33 tempat bersejarah yang pertama di negara ini. - KitaReporters


9
9
0
14
0

Copy Link: