Lagu puisi berjudul Penyu Menangis  Siapalah Tahu nukilan Allahyarham JM Aziz dan kemudiannya dipopularkan oleh penyanyi tersohor tanah air, Allahyarham Dato' Sudirman Arshad suatu ketika dahulu sememangnya mampu meresap ke dalam jiwa pendengar.

"Anak muda berlagu sayang

di Batu Remis melepas rindu

adik ketawa di Rantau Abang

penyu menangis siapalah tahu.

Sesak nafasnya sesak

tak tahu adik tak tahu

bengkak jantungnya bengkak

tak tahu adik tak tahu.

Retak hatinya retak

tak tahu adik tak tahu.

Lenyap ditelan derauan ombak

telur penawar hatinya lebur

tumpah air matanya melimpah-ruah

agar terhibur adik terhibur."

Begitulah sebahagian rangkap dalam senikata lagu berkenaan. Penuh makna yang mendalam.



"Penyu Gergasi' Pantai Tanjung Pelindung. - Kredit foto dan video: Tim Projek ZeroSix 


Kisah yang dipaparkan ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan lagu puisi ini sebaliknya menggambarkan haiwan bercengkerang ini begitu sinonim dengan laut dan pantai.

Jarang sekali kita dapat melihat dari dekat kehadiran penyu-penyu di pantai kecuali waktu musim haiwan ini naik ke darat untuk bertelur. Itupun jika bernasib baik.

Tapi, sesuatu yang baharu penuh keunikan mengenai 'penyu' ini wajar juga diuar-uarkan kepada pengunjung pantai terutama di Pantai Tanjung Pelindung, Kuantan.

Nak tahu apa keistimewaannya? Jom bersama penulis teroka rahsia yang bukan lagi rahsia kerana ia sudahpun terungkai sejak seminggu lalu. 


Kredit foto dan video: Tim Projek ZeroSix  


Tarikan terbaharu di Pantai Tanjung Pelindung ialah dua mural gergasi Penyu Pelindung! Dan dah boleh ber-OOTD sekali! 

Pantai Tanjung Pelindung dahulunya sedikit sepi berbanding pantai-pantai lain di sepanjang pesisiran pantai daerah Kuantan tetapi kini sudah bertukar wajah apabila mula menjadi tumpuan pengunjung yang ingin melihat sendiri 'penyu gergasi' terdampar di pantai itu.

Tetapi, jangan mudah terpedaya. Ia bukan 'penyu hidup' sebaliknya adalah mural penyu pada bongkahan batu hasil karya empat pelukis mural 'Project ZeroSix' iaitu Mohammad Amir Farouk, 34; Kamal Idris, 33; Azri Azahar, 35; dan Muhd Ikmal Manan, 29.


Lukisan mural penyu pada bongkah batu


Mural unik itu yang siap sepenuhnya 16 Julai 2024 lalu mendapat perhatian selepas tular dalam beberapa platform media sosial, sekali gus menjadi daya tarikan baharu di pantai tersebut.

Mohammad Amir ketika ditemui berkata, sentuhan seni pada bongkah batu sepanjang 20 meter dan tinggi kira-kira 10 meter itu hasil gabungan cat dan warna asli batuan bagi menimbulkan kesan tiga dimensi (3D) supaya lebih nampak semula jadi.


Membuat corak pada permukaan batu


Katanya, idea asal daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Hussin itu turut mendapat kerjasama dan sokongan Tourism Pahang.

"Kami juga difahamkan, Pantai Tanjung Pelindung ini antara destinasi persinggahan penyu sekitar 1980-an dan 1990-an dalam kalangan penduduk sekitar.

"Justeru, kami kembalikan semula nostalgia itu dan dengan adanya 'penyu' ini di sini, kami yakin 'kehadirannya' akan menjadi daya tarikan pelancongan baharu daerah ini.

"Pengunjung yang datang juga bukan hanya penduduk tempatan tetapi juga pelancong luar yang mendapat maklumat mengenainya di laman media sosial terutama Facebook dan Instagram juga akhbar," katanya.


Kerja-kerja awal pada batuan asal sebelum menjadi seekor 'penyu'


Azri pula berkata, penghasilan mural penyu pada batuan alam itu bukan sesuatu yang mudah dan berdepan cabaran yang tersendiri.

Katanya, mural itu dilukis pada batuan pantai yang agak tinggi dengan bentuk yang tidak sekata, malah terpaksa menahan kesakitan pada bahagian tapak kaki disebabkan tekstur batu yang halus dan tajam. 

Namun, katanya, mereka berpuas hati kerana mural penyu gergasi itu berjaya disiapkan dalam tempoh lima hari seperti mana dirancang dan membabitkan kos berjumlah RM30,000.


Kerja-kerja menyembur cat untuk mencorakkan cangkerang penyu


"Segala penat lelah kami berbaloi apabila mendapat liputan meluas dalam media sosial dan akhbar tempatan dan kini kawasan penyu 'cantik dan berwarna warni' ini menjadi destinasi pilihan pengunjung setiap hari, terutama pada waktu petang.

"Pengunjung bukan saja dari sekitar Kuantan, malah Terengganu dan Kelantan yang turut sama tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan 'penyu gergasi' ini dengan lebih dekat," katanya. 

Rata-rata pengunjung memuji kreativiti pelukis mural yang dilihat berjaya mengubah batu yang terdapat di pantai itu menjadi seekor penyu gergasi, sekali gus menarik orang ramai berkunjung ke pantai itu.


Banyak kerja perlu dilakukan untuk menyiapkan lukisan mural penyu gergasi. - Kredit foto dan video: Tim Projek ZeroSix 


Meninjau ke ruangan komen dalam laman Facebook, ramai yang meninggalkan komen agak lucu tetapi mengandungi nasihat.

"Esok bila dah cat pudar, budak2 masa akan datang akan cakap “ini lah penyu yang disumpah jadi batu akibat melawan cakap ibunya pada masa dahulu." - komen Jubair Asyraf.

"Satu harapan... pengunjung tidak membuang sampah merata-rata....bawalah blk sampah dan buang ditempah sepatutnya." - Amir Khir.

Manakala ruangan komen dalam aplikasi TikTok pula, mereka turut teruja dengan hasil lukisan tersebut dan tertarik untuk berkunjung ke lokasi berkenaan.

“Jangan beritahu orang luar tempat ‘healing’ ini nanti dah tiada tempat parkir pula, harap tak ramailah yang datang. Nak ‘healing’ susah nanti,” komen @mi.

“Nak pergi pantai ini lalu jalan mana? Tolonglah beritahu aku nak bawa anak-anak pergi jalan-jalan nanti,” kata seorang lagi pengguna.

“Terima kasih bang, cantik sangat lukisan itu, kalau tengok dari jauh, memang nampak serupa penyu gergasi,” ujar Nor Syakilla.



Segala penat lelah tim projek ini memang sangat berbaloi apabila mural ini juga mendapat liputan meluas sehingga Pantai Tanjung Pelindung kini menjadi destinasi tumpuan pengunjung setiap hari, terutama pada waktu petang. Jangan ditambah dengan corak dan warna yang pelik-pelik pula ya! - KitaReporters

15
12
0
9
0

Copy Link: