Teringin makan kari kambing, gulai pisang muda, gulai terung? Jom ke Restoran Kari Kambing Abahang!
Published byBagi pengemar kari kambing, masakan ini bukan hanya enak dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak tetapi jika sesekali dipadan dengan roti canai juga sedap sampai menjilat jari.
Jika tidak percaya, boleh cuba sendiri dan percayalah memang ulang banyak kali. Bayangkan padanan roti canai lembut dengan kuah kari yang pekat dan secubit isi kambing.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan kari
Menu ini boleh dinikmati di Restoran Kari Kambing Abahang yang terletak di Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor milik Nabisha Rofli. Unik nama restorannya adalah ilham daripada panggilan kepada suaminya abah hang (dialek utara hang adalah kamu) yang bersama-sama mengusahakan perniagaan ini sejak 2017.
“Ikut suka pelanggan, ada yang minta menu kari kambing dengan roti canai ketika sarapan, ada juga yang nak makan tengah hari dengan nasi putih atau nasi minyak kampung.
“Kami penuhi permintaan mereka lagi pun kari kambing
paling tinggi pernintaan di sini kerana pes atau rempah ratusnya kami proses
sendiri dan bukan dijual yang siap dipek di pasaran. Mungkin sebab itu rasanya
lebih istimewa,” ujarnya.
Selain kari kambing, restoran ini juga terkenal kerana
menawarkan menu masakan kampung seperti gulai pisang muda, gulai nangka dan
gulai terung dicampur dengan ikan masin.
Menu masakan kampung yang sebegini agak sukar diperolehi di kebanyakan restoran di bandar.
Kesukaran memperoleh bahan mentah seperti pisang muda yang sesuai dan cara penyediaan mengikut masakan asli orang dulu-dulu antara faktor hidangan ini dianggap klasik dan unik terutama dalam kalangan generasi muda.
“Menu masakan kampung sentiasa tinggi dalam kalangan pengemarnya. Atas alasan tersebut saya berusaha mengekalkan menu masakan begini hampir setiap hari.
"Pelanggan datang ke restoran sebab mereka mencari menu kampung terutama gulai pisang muda yang dikenali sebagai pisang kari. Jenis pisang ini susah ditemui sekarang.
“Cara penyediaannya agak mudah tetapi ada tekniknya bagi
memastikan pisang benar-benar empuk dan sedap apabila dihirup bersama kuahnya yang tidak terlalu pekat dan juga
tidak terlalu cair.
“Ramai juga yang mahukan gulai nangka muda dan gulai
terung ikan masin yang dimasak menggunakan kaedah gulai darat. Menu ini
biasanya menjadi tarikan dalam kalangan warga kota yang berasal dari negeri di
sebelah utara.
“Gulai darat bermakna pada permulaan masakan tidak ada tumisan bumbu rempah ratusnya seperti kelaziman penyediaan gulai atau juga dikenali sebagai masak kari.
"Ini bermakna kuahnya sama ada menggunakan santan atau asas rempah sahaja terus dilebur ke dalam periuk sehingga mendidih dan barulah dimasukkan bahan-bahan utama,” katanya.
Gabungan enak nasi minyak kampung dipadan gulai pisang muda ikan masin dan sirap ais.
Tambah Nabisha beliau juga menyediakan kari ikan temenung dan kari ikan semilang yang turut mencuri tumpuan pelanggan.
“Bagi penyediaan kari ikan temenung dan ikan semilang pula kuahnya dimasak dahulu dan apabila pelanggan menempahnya baharu dimasukkan ikan yang telah siap dibersihkan dan dihidangkan panas-panas. Kaedah ini memastikan isi ikan lebih kenyal dan sedap,” katanya.
Menurut Nabisha, kebanyakan menu utara di restorannya dipelajari daripada ibu mentuanya yang berasal dari Bukit Merah, Perak.
“Walaupun saya berasal dari negeri di utara namun penyediaan masakan ibu mentua yang menggunakan kaedah orang dulu-dulu lebih praktikal untuk dikomersialkan dan menjadi pilihan ramai. Jika mahu menikmati hidangan lebih elok datang awal,” katanya. - KitaReporters
Lokasi: 64, Jalan Selasih H U12/H, Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 7 pagi sehingga pukul 4 petang.