Gaya baharu lihat KL! Pembukaan Observation Deck TH04! Sempena sambutan ulang tahun ke-28 Menara KL!

Published by
KitaReporters



Pada 1 Oktober 2024 lalu, simbol ikonik yang menjulang pada ketinggian 421 meter di ibu kota Malaysia, Menara KL meraikan ulang tahun ke-28, sejak hampir tiga dekad memukau pengunjung dari dalam dan luar negara.

Sempena ‘kelahirannya’ itu, menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia ini mengumumkan pelancaran tarikan baharu, iaitu Observation Deck TH04. 

Terletak pada ketinggian 294 meter dari aras tanah, platform ini menawarkan pemandangan panoramik bandar raya Kuala Lumpur yang memukau.

Dengan keluasan yang lebih besar daripada dek sebelumnya, TH04 dijangka menjadi pilihan utama pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan kota dari perspektif baharu. 

“Kami amat teruja untuk menyambut ulang tahun ke-28 ini dengan memperkenal Observation Deck TH04 kepada para pengunjung,” kata Nazli Saad selaku Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. pada majlis sambutan ulang tahun Menara KL ke-28 baru-baru ini.



Menurut beliau, sebagai mercu tanda Malaysia,  Menara KL akan terus berinovasi dalam menawarkan pengalaman luar biasa kepada semua pengunjung, baik dari dalam negara mahupun luar negara.

Sebagai sebahagian daripada acara itu, Menara KL juga menjemput pengunjung untuk berkongsi detik-detik menarik mereka dalam media sosial dengan menggunakan hashtag #KLTower28

“Sambutan ulang tahun Menara KL ke-28 ini akan lebih bermakna dengan sokongan para pengunjung dalam meraikan dan berkongsi kemeriahannya kepada semua,” tambah Nazli sambil memaklumkan Menara KL akan terus berusaha memperkenal lebih banyak tarikan dan pengalaman menarik untuk memastikan ia kekal relevan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. 


Nazli Saad (tengah) bersama pengurusan Menara KL memotong pulut kuning ulang tahun ke-28 Menara Kuala Lumpur baru-baru ini


Dengan setiap tahun yang berlalu, Menara KL akan terus menjadi lambang kemajuan dan mercu tanda kebanggaan negara. 

Sejak pembinaannya pada tahun 1991 dan dibuka secara rasmi kepada umum pada tahun 1996, Menara KL bukan sahaja menjadi tarikan utama pelancongan, malah turut berperanan sebagai elemen penting dalam membentuk panorama indah di Kuala Lumpur. 

Sepanjang kewujudannya, Menara KL sentiasa memperkenal tarikan baharu dan inovatif, termasuk Sky Deck pada tahun 2013 dan Restoran Berputar ARAS pada awal 2024, yang mengukuhkan statusnya sebagai destinasi wajib dikunjungi di Malaysia. 

Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. baru-baru ini telah dianugerahkan Anugerah Platinum bagi kategori Pelancongan Buatan Manusia di bawah inisiatif Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) (gambar bawah) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).



Penghargaan ini melengkapkan koleksi anugerah sebelum ini seperti Anugerah Pelancongan Malaysia, Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Anugerah Kualiti SIRIM, Anugerah Piawaian Pelancongan Lestari ASEAN, dan Anugerah Jenama Terbaik BrandLaureate. 

Malah, pengiktirafan ini juga melambangkan usaha berterusan Menara KL dalam meningkatkan piawaian pelancongan serta mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam industri tersebut. 

Untuk rekod, Menara KL yang terletak di puncak Bukit Nanas dan dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 malam merupakan ahli ‘The World Federation of Great Towers’, iaitu sebuah persekutuan yang dianggotai 50 menara terkenal di dunia. 




Dalam pada itu, sempena ulang tahun Menara KL ke-28 juga lima pengunjung bertuah dari UK, Perancis, Sabah dan Sarawak dipilih memenangi baucer Makan Tengah Hari di ARAS Eksklusif untuk 2 orang apabila Menara KL menjalankan 5 pusingan hadiah menarik untuk setiap pelawat daripada bilangan ke-28. KitaReporters

10
18
0
9
0

Copy Link: