Ada hadiah wang tunai RM2k! Jom sertai pertandingan mereka cipta slogan & logo 65 Tahun Zoo Taiping!
Published byZoo Taiping & Night Safari berusia 64 tahun pada 2025.
ZOO Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah, yang ditubuhkan pada 1961 adalah satu-satunya zoo di utara Semenanjung Malaysia yang menghimpun lebih 1,300 haiwan dari 120 spesies burung, reptilia dan ikan.
Night Safari pula dibuka pada 1 Mac 2003 merupakan yang pertama di Malaysia dengan konsep pameran hidupan liar aktif malam dalam suasana semula jadi menggunakan pencahayaan khas seakan cahaya bulan untuk memberikan pengalaman unik kepada pelawat.
Sempena ulang tahun ke-65 Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang akan diraikan pada 2026, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengadakan Pertandingan Mereka Cipta Slogan dan Logo Sambutan Ulang Tahun Ke-65 ZTNS yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan kepada pemenang.
Pertandingan itu dianjurkan bertujuan menghasilkan logo dan slogan yang memberi imej positif kepada sejarah penubuhan zoo selain peranan dalam membina biodiversiti alam sekitar dan zoo yang tertua di negara ini.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir, berkata selain hadiah utama, lima pemenang sagu hati turut menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan setiap seorang. Ia diadakan selama sebulan, dari 7 Mac hingga 7 April 2025.
“Ia terbuka kepada semua warga negara Malaysia sempena sambutan ulang tahun ke-65 Zoo Taiping selain meraikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. Ia juga sebagai penghargaan kepada ZTNS yang menjadi simbol warisan negara selain peranan membina biodiversiti alam sekitar.
"Logo dan slogan terpilih akan digunakan dalam semua bahan promosi rasmi sepanjang sambutan ulang tahun ke-65 ZTNS," katanya.
Khairul Amir Mohamad Zubir,
Antara syarat lain pertandingan itu ialah peserta perlu memastikan hasil ciptaan mereka asli dan tidak menggunakan teknologi AI dan tidak mengandungi unsur sensitif melibatkan kaum, budaya dan agama.
Peserta boleh menghantar penyertaan secara dalam talian menggunakan pautan berikut: https://shorturl.at/vVGfy
Peta Pelancongan Taiping yang dilengkapi dengan QR bagi kemudahan orang ramai terutama pelancong dalam dan luar negara.
Sementara itu, MPT melancarkan Peta Pelancongan Taiping yang baharu dan lengkap dengan kod QR. Ia memberi panduan menyeluruh kepada pelancong di dalam dan luar negara dengan maklumat tempat menarik yang boleh dilawati sepanjang di bandar bersejarah itu.
"Usaha itu membuktikan kesungguhan MPT meletakkan Taiping dalam kalendar pelancongan utama di Perak dan bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Peta berkenaan disediakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Ia direka bentuk untuk membantu pelancong meneroka destinasi bersejarah di Taiping selain tempat makan dan penginapan yang selesa.
Khairul Amir (dua dari kanan) bersama pengurusan MPT menunjukkan peta pelancongan Taiping yang boleh didapati di Galeri Perbandaran Taiping.
“Fun Map Fascinating Taiping" bukan sekadar peta biasa tapi dilengkapi dengan kod QR yang membolehkan pengguna mengakses dan mendapatkan maklumat tambahan secara digital," katanya.
Katanya, dengan keunikan sejarah dan keindahan alam semula jadi yang dimiliki, peta ini akan menjadi medium promosi bagi menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi setempat selain memperkasa industri pelancongan di Taiping.
Peta pelancongan itu boleh didapati di di Galeri Perbandaran Taiping, Jalan Stesen (Pusat Informasi Pelancongan Taiping) atau di muat turun secara dalam talian. - KitaReporters