Wow! Pertunjukan layang-layang gergasi antarabangsa! Meriahkan kembali tradisi main wau di Terengganu!
Published byKEKERAPAN Terengganu menganjurkan pelbagai
program sama ada pada peringkat negeri, kebangsaan malah hingga ke peringkat
antarabangsa menyebabkan negeri itu kini dikunjungi ramai pelancong dari dalam
dan luar negara.
Tidak kurang juga ada dalam kalangan netizen
menggelarkan negeri itu sebagai Terengganu Festival apabila merujuk kepada
banyaknya aktiviti termasuk sukan, kesenian, kebudayaan dan riadah yang dianjurkan
oleh pelbagai pihak.
Terbaharu Terengganu sekali lagi menarik perhatian orang ramai apabila menganjurkan Pertunjukan Layang-Layang Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, selama dua hari selepas penganjuran Terengganu Bike Week (TBW) 2024 yang menarik lebih 15,000 pengunjung.
Sempena pameran layang-layang yang berlangsung dua hari pada 1 dan 2 Julai 2024 di Dataran Jambatan Angkat, sebanyak 15 negara 'berkampung' di negeri tersebut
Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd Rani berkata, pameran singkat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam.
Menurutnya, seramai 35 peserta dari Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden mengambil bahagian.
Katanya, pameran tersebut bertujuan untuk memeriahkan kembali tradisi wau dan layang-layang di Terengganu.
"Ikut rekod, kita (pelayang wau) main di luar berjaya jadi orang tertanya-tanya mengapa kita tidak buat di Terengganu sendiri?
"Jadi, peluang ini cuba kita ambil dengan menghubungi
Majlis Pelayang Malaysia yang baru selesai pameran di Kelantan untuk
program ini, dataran ini pula dilihat sebagai tapak yang sesuai dan menawarkan
nilai pelancongan yang lebih baik.
"Seingat saya, pameran atau pertandingan sebesar ini sudah lebih 10 tahun tidak diadakan. Dengan langkah pertama ini, secara umumnya kita hendak membantu negeri menarik lebih ramai pelancong ke sini selain berhasrat mengadakan semula pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya lagi.
Zulkifli berkata paling menarik, pada waktu malam pengunjung akan disajikan dengan wau yang dihiasi kerlipan cahaya sebagai keunikan yang diketengahkan dalam pesta-pesta wau dan layang-layang kali ini.
Dalam pada itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara Talikama, Lianawati Lea menyifatkan Terengganu memiliki potensi untuk
pertandingan dan pameran layang-layang gergasi terutama di Dataran Jambatan
Angkat Kuala Terengganu.
"Ini kali pertama saya ke Terengganu, sebelum ini saya sering 'menerbangkan' layang-layang di Kelantan, Sarawak dan Johor.
"Festival ini bagus kepada pelancongan setempat, sebagai contoh penganjuran festival layang-layang yang diadakan Jogjakarta tahun lalu (2023) berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung," katanya. - KitaReporters
Peserta bergambar kenangan berlatar belakangkan Jambatan Angkat, Kuala Terengganu