KALAU anda kaki makan dan selalu mengunjungi kedai makan yang terdapat di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur, mesti anda tahu betapa meriahnya suasana di sana. Kata orang bak syurga, sebab terdapat pelbagai jenis makanan yang dijual di kawasan tersebut. : KitaReporters

Haqiem Rusli, anak muda yang berjiwa besar.


Lagi cerita-cerita berkaitan makanan:

https://kitareporters.com/search?search=makanan


Pilih saja mana yang anda suka dan kalau dah menepati cita rasa pasti akan berkunjung selalu ke kedai berkenaan. 

Kedai baharu yang penulis sempat cuba menunya adalah Restoran SanThai Village yang terletak di Blok H pusat makanan itu. Restoran yang mula beroperasi sejak 7 Ogos 2020 lalu adalah milik penyanyi Haqiem Rusli.

Kiranya ini adalah restoran steamboat yang mampu dinikmati oleh sesiapa saja kerana harga yang ditawarkan adalah RM25 untuk seorang berbanding restoran lain yang jauh lebih tinggi harganya.

Terdapat lebih 20 jenis sajian yang disediakan dan paling istimewa di restoran ini adalah kuah asam pedas untuk steamboat. Selalunya, kuah untuk steamboat adalah kuah tomyam atau sup ayam.

Restoran SanThai Village dibuka dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.


“Kedai ini yang specialnya, ada bufet dan makanan sampingan. Ada seafood, kuah tomyam dan sup ayam. Istimewanya di sini adalah kuah asam pedas. Steamboat selalunya tom yam kan, tapi kami menyediakan asam pedas.

“Memang kami nak cari kelainan daripada kedai steamboat yang lain.  Asam pedas adalah specialty kedai ini yang mungkin tidak ada kat kedai lain,” jelas Haqiem tentang kelebihan restoran miliknya itu.

Beliau yang mengambil masa selama tiga bulan untuk memastikan restoran itu beroperasi berkata, lokasi tersebut menjadi pilihannya kerana ia ada tarikan tersendiri.

Kalau pergi ke restoran Haqiem Rusli, jangan lupa minta kuah asam pedas yang sedap tu. - Kredit foto: IG Haqiem


“Kalau kita lihat tempat ini tak pernah sunyi, sentiasa dikunjungi orang ramai kerana di sini terdapat pelbagai jenis kedai makanan. Biarpun banyak saingan tapi saya anggap itu semua rezeki masing-masing.

“Saya buka restoran steamboat ini kerana saya sendiri selepas mencuba, jadi suka pula dengan makanan begitu. Di SanThai Village ini, kami ada lapan orang tukang masak dan 11 kakitangan. Kami mula beroperasi pada pukul 3 petang hingga 12 tengah malam. Masih ada beberapa perkara lagi yang perlu dikemas kini,” jelasnya yang menggunakan wang simpanan untuk membuka restoran tersebut.

Tambah penyanyi Tergantung Sepi itu, pada mulanya beliau bercadang untuk membuka kolam ikan tapi dibantah oleh kawan-kawan yang terlebih dahulu menceburi bidang perniagaan.

Haqiem Rusli akan sentiasa berada di restoran bila diperlukan.


“Mula-mulanya saya nak buka kolam ikan tapi ada yang memberitahu saya, kedai makan lebih banyak income dan bisnes itu lebih menarik sebab orang akan makan hari-hari. Ternakan ikan itu saya akan buat tapi untuk masa sekarang, saya tumpu pada kedai makan ini dulu dan bisnes online, iaitu pisang salai yang saya mula sejak Julai lalu.

“Kalau ikutkan, sebelum ini saya sudah ada beberapa bisnes tapi ada yang tak begitu menjadi. Bagi saya tak apa, kerana kalau gagal sekali tak bermakna akan gagal selamanya. Jadi saya bangkit balik dan usaha semula,” katanya penuh semangat.

Nyanyi tak dilupakan dan pada 21 Ogos ini, Haqiem Rusli akan tampil dengan single Adlina Marie.


Selain sibuk dengan perniagaan, Haqiem tetap meneruskan kegiatan seni dan pada 21 Ogos 2020 ini beliau akan melancarkan single baharu berjudul Adlina Marie.

“Lagu yang saya cipta itu berdasarkan sebuah kisah benar, cerita adik ini viral kat Twitter. Dia ziarah kubur ayahnya. Saya tersentuh hati bila dia cakap kenapa ayah tak keluar pun. Saya buat lagu tu dalam masa sehari saja tapi nak buat lirik lama sebab kalau dah siap pun bila tengok lagi, ada saja yang nak diubah. Lirik siap dalam tempoh seminggu. Proses semua dalam tempoh sebulan lebih,” katanya. - KitaReporters

22
1
0
0
0

Copy Link: