Kalau ada di Bandar Baru Kertih jangan lupa ke Muzium 3D Kertih! Dah cashless! Pasti priceless!
Published byMUZIUM 3D Kertih, galeri seni ilusi dan 3D pertama di Terengganu kini menyediakan pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi memudahkan para pengunjung membuat pembayaran tiket masuk dan pembelian di gerai jualan.
Kemudahan ini disediakan khusus kepada para pemegang akaun Maybank apabila mereka hanya perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi MAE by Maybank atau Maybank Mobile yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau AppStore.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan muzium
Pengurus Galeri, Muzium 3D Kertih, Ab Halim Ismail berkata, kemudahan bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja dapat memudahkan para pengunjung membuat pembayaran apabila mereka tidak mempunyai wang tunai pada tangan, tetapi juga dapat menjimatkan masa menunggu.
“Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih berlarutan, pembayaran tanpa tunai seperti ini amat penting dan ia memang digalakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Muzium 3D Kertih yang mempunyai keluasan kira-kira 5,000 kaki persegi di rumah kedai satu setengah tingkat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Bandar Baru Kertih menjadikannya sebagai galeri 3D terbesar di Pantai Timur.
Muzium berkenaan telah kembali dibuka kepada orang ramai dengan beberapa tarikan baharu diberikan untuk pengunjung.
Muzium 3D pertama di Terengganu itu mula beroperasi pada 2 Januari 2021 sebelum ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk negeri ini pada 22 Januari sehingga 19 Fabruari 2021 lalu.
Menurut Ab Halim, antara sentuhan baharu yang diberikan ialah penambahan galeri untuk kanak-kanak dengan lukisan-lukisan 3D lebih menarik dan lebih banyak berbanding sebelum ini.
Katanya, pihaknya juga menambah lagi jumlah lukisan yang ada dalam galeri bagi memberikan kepuasan kepada pengunjung.
“Sepanjang PKP berlangsung kita telah menambah baik lukisan-lukisan yang ada selain tambahan beberapa karya lain khususnya untuk menarik minat kanak-kanak.
“Malah jika mereka yang pernah berkunjung ke sini sebelum ini pastinya akan tahu bahawa kita sudah membuat banyak penambahan pada lukisan kami. Kini setiap inci ruang galeri dipenuhi karya lukisan,” katanya lagi.
Sementara itu, kebenaran gelembung pelancongan dapat menggalakkan lebih ramai pengunjung ke Muzium 3D Kertih.
Ab Halim menyambut baik langkah kerajaan yang memberikan kebenaran Gelembung Pelancongan Bersasar bagi membolehkan pelancong dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPPP) bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP lain mulai 10 Mac 2021.
“Sebagai pengusaha produk pelancongan di negeri Terengganu, kami menyambut baik langkah kerajaan kerana ini dapat menarik pelancong dari negeri-negeri lain untuk berkunjung ke galeri kami.
“Kami menyedari pandemic COVID-19 memberi impak negatif terhadap industri pelancongan tetapi kami yakin apabila pemberian vaksin sudah diberikan secara menyeluruh, industri ini kembali ‘boom’ dan ketika itu kami sudah bersedia,” kata beliau.
Pada masa yang sama Ab Halim berharap Muzium 3D Kertih mendapat sokongan daripada kerajaan negeri untuk memasukkan galeri seni itu ke dalam kalendar pelancongan negeri.
“Pada masa sama kami mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dengan kami kerana matlamat kita untuk
memajukan lagi Kertih sebagai tarikan pelancong dan tidak hanya terfokus kepada industi minyak dan gas.” katanya.
Beliau berkata, Muzium 3D Kertih mempunyai keunikan tersendiri berbanding galeri-galeri sama yang ada di negara ini.
Katanya, ini kerana Muzium 3D Kertih mementingkan elemen sejarah dan kebudayaan tempatan khususnya yang ada di negeri ini.
“Lukisan-lukisan yang ada di galeri kami bukan karya-karya khayalan tetapi sarat dengan penceritaan dan suasana tempatan.
"Misalnya, gambaran suasana pekan Kertih sekitar tahun 1970-an dan 80-an yang dituang dalam bentuk lukisan tiga dimensi, selain tempat-tempat menarik yang ada di Terengganu, dilukis dengan memberi sentuhan 3D,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Muzium 3D Kertih boleh dibuat dengan menghubungi talian 09-8251525 atau e-mel [email protected] atau menerusi Facebook/Muzium 3D Kertih serta laman web www.3dkertih.com.my. - KitaReporters