Dilema penjaga pesakit mental! Rawat di rumah atau di pusat penjagaan! Berkualiti dan mampu bayar?
Published byAPA nak buat jika ada ahli keluarga yang sakit mental dan sukar untuk menjaganya di rumah. Ada yang menyuruh serah pada pihak hospital supaya boleh dihantar ke hospital bahagia atau pusat penjagaan sakit mental.
Ada juga yang sarankan hantar ke pusat penjagaan swasta kerana di situ lebih baik penjagaannya nya berbanding pusat rawatan hospital kerajaan.
Itu adalah dilema yang dialami penjaga dan perawat kepada ahli keluarga yang disahkan sakit mental. Menjaga ahli keluarga yang sakit mental bukan mudah, lebih-lebih lagi jika banyak tanggungjawab lain di rumah.
Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan pesakit mental
Banyak persoalan yang bermain di minda keluarga yang mempunyai keluarga sakit mental, antaranya Jika dihantar ke pusat penjagaan sakit mental adakah ahli keluarga mereka yang sakit itu mendapat penjagaan yang sebaiknya atau sebaliknya.
Macam mana mereka ini mendapat latihan pemulihan dan adakah ahli keluarga yang sakit ini mendapat pengisian rohani di sana Dan adakah mereka boleh sembuh selepas mendapat rehabilitasi pemulihan. Macam-macam lain juga difikirkan.
Dilema ini berterusan kerana kebanyakan penjaga pesakit mental tidak mendapat banyak infomasi mengenai penjagaan pesakit mental. Mereka juga buntu.
Apa pun tidak semua pesakit mental akan terus dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan atau ke pusat penjagaan sakit mental.
Banyak prosedur yang perlu mereka lalui sebelum menerima rawatan sebagai pesakit mental dan diberi rawatan.
Perlu diingat tidak semua pesakit mental itu sama. Mereka perlu dirawat mengikut metode atau cara perubatan yang berbeza.
Ada antara mereka hanya memerlukan ubat untuk mendapat ketenangan, atau kaunseling untuk merasa lebih yakin dan bersemangat kembali untuk meneruskan hidup.
Namun ada juga yang terpaksa makan ubat sepanjang hayat untuk menstabilkan mood dan masalah mendengar suara-suara yang menganggu mereka. Terdapat juga mereka yang agak teruk dan memerlukan suntikan bagi mengawal emosi dan perasaan yang sentiasa rasa tidak stabil, cepat marah dan mahu mengamok.
Jabatan Kesihatan Mental di Amerika Syarikat menjelaskan ada lebih kurang 200 jenis sakit mental. Namun yang sering kita dengar dan mungkin tahu mengenai penyakit mental ialah jenis bipolar disorder, kemurungan, anxiety disorder, Skizofrenia, mood disorder atau gangguan mood, gangguan psikotik, OCD dan lain-lain lagi.
Cara rawatan setiap jenis sakit mental juga sangat berbeza. Pesakit mental yang tidak kronik, boleh dijaga keluarga biasanya tinggal di rumah, dengan makan ubat dan menjalankan aktiviti ringan dengan dipantau keluarga.
Namun bukan semua pesakit mental yang tinggal di rumah boleh dikawal keluarga dengan mudah.
Adakalanya mereka tidak disiplin makan ubat dan sangat sukar untuk dibawa ke hospital atau menghadiri terapi dan latihan rehablitasi pemulihan. Bila tinggal di rumah mereka ini selalunya antisosial dan tidak mempunyai kawan dan suka menyendiri.
Disebabkan pesakit mental bukan semua dalam kategori yang teruk, ada ahli keluarga yang sangat prihatin terhadap masa depan anak-anak dan ahli keluarga yang mereka jaga.
Mereka mahukan satu pusat penjagaan yang berkualiti dan tidak terlalu mahal yang boleh memberi pesakit keselesaan, peluang berinteraksi dengan kawan-kawan senasib dan menjalankan aktiviti harian dan kerohanian yang baik di pusat berkenaan.
Ada penjaga yang berpendapat negara kita amat kurang fasiliti dan tempat rehablitasi pemulihan bagi mereka yang mengalami sakit mental jenis skizofrenia.
Seorang ibu Puan Rosiah, yang mempunyai anak sakit skizofrenia sejak 20 tahun lalu, berharap ada sebuah pusat penjagaan pesakit mental jenis skizofrenia yang dibina sekitar Lembah Klang untuk memudahkan beliau menghantar anak sulungnya yang mengalami sakit mental berkenaan.
Buat masa ini, beliau terpaksa menghantar anak sulungnya ke sebuah pusat penjagaan yang agak ekslusif untuk mendapat rawatan pemulihan sakit mental
Sebelum ini anaknya tinggal di rumah sahaja tetapi apabila anaknya keluar dari rumah dan tidak balik, beliau terpaksa mencarinya selama beberapa hari.
Setelah menemui anaknya beliau menghantarnya ke hospital kerajaan. Namun beliau tidak berpuas hati kerana anaknya tidak mendapat rawatan yang dia harapkan di hospital berkenaan.
Beliau mencari sebuah pusat penjagaan mental swasta buat anaknya dan sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan rawatan yang terbaik. Beliau seorang Ibu tunggal yang berusia 68 tahun yang dari kategori B40 terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada untuk pembiayaan anaknya.
Menurut Rosiah, di Lembah Klang tidak ada pusat rehab pesakit mental yang murah. Ini akan menyukarkan ahli keluarga yang ada anak-anak seumpama ini menghantar mereka untuk mendapat bantuan memulihkan pesakit jenis ini.
Beliau juga memberitahu, terdapat juga pusat penjagaan pesakit mental yang kurang memberi penekanan kepada aktiviti harian dan penekanan spiritual.
Selain itu, katanya rumah penjagaan pesakit mental berkenaan menjaga terlalu ramai pesakit dan tempat berkenaan seolah olah "tempat pembuangan" bagi mereka yang ada keluarga yang sakit mental.
Ada pula pusat pusat penjagaan seumpaman ini yang hanya mahu mengaut keuntungan tetapi tidak menyediakan perkhidmatan yang baik.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pusat penjagaan sakit mental yang sangat bagus, tetapi bayarannya sangat mahal dan tidak semua mampu.
Sehubungan itu beliau berharap ada pihak-pihak tertentu membantu menubuhkan pusat penjagaan pesakit mental terutama untuk pesakit skizofrenia yang mampu dibayar oleh individu perseorangan mahupun ahli keluarga pesakit mental.
Seorang lagi penjaga kepada pesakit skizofrenia Puan Latifah berkata, pesakit mental jenis skizofrenia ini boleh urus diri dan ada antaranya boleh bekerja .
Apa yang mereka perlukan ialah pusat rehablitasi pemulihan yang menawarkan latihan pemulihan yang baik, di mana pesakit boleh bersosial dengan rakan-rakan yang senasib dan membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat yang sering mempunyai tanggapan negatif terhadap pesakit mental.
Puan Latifah berpendapat ada Pusat rehabilitasi atau pusat penjagaan pesakit mental yang mencampurkan semua jenis sakit mental dalam satu tempat, sehingga ada pesakit yang mengalami sakit mental yang agak ringan tertekan dan berasa tidak sesuai berada di tempat berkenaan.
Dr Salina Abd Aziz
Sementara itu, Mantan Ketua Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur, Dr Salina Abdul Aziz memberitahu, pesakit mental boleh sembuh jika mereka makan ubat dan sentiasa berjumpa Doktor untuk mengawal sakit mereka.
Dr Salina memberitahu jika pesakit merasakan sesuatu yang tidak kena pada emosi mereka, perlu mendapat rawatan awal bagi mengenal pasti sakit mental yang mereka alami. Jika awal dikesan dan mengambil rawatan tertentu mereka boleh kembali berfungsi dalam masyarakat.
Ditanya mengenai rumah penjagaan yang meletakkan yuran yang mahal untuk penjaga menghantar pesakit mendapat penjagaan dan rehab Dr Salina memberitahu pihaknya sedar mengenai kewujdan pusat pusat berkenaan.
Namun begitu beliau menasihatkan mereka yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan mental agar pergi dulu ke hospital kerajaan untuk disaring dan akan diberikan sesi kaunseling sebelum mendapat rawatan selanjutnya.
Pihak KKM menyediakan banyak tempat di hospital dan klinik kesihatan untuk rawatan kesihatan mental. Keluarga boleh membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital yang ada Jabatan Psikiatrik dan seterusnya akan di hantar ke pusat rehablitasi yang tertentu dan sesuai jika perlu. - KitaReporters