POLIS Kontinjen Terengganu meningkatkan keupayaan pasukan petugas dengan menambah kekuatan anggota bagi membuat pemantau menjelang sambutan Aidilfitri tahun 2021 ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang masih tinggi di negeri tersebut.

Penambahan kekuatan anggota tersebut termasuk memantau aktiviti pencerobohan rentas negeri melalui jalan tikus, pergerakan keluar masuk kenderaan dan aktiviti sambutan Aidilfitri dalam kalangan penduduk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan polis Terengganu

Roslee Chik


Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pasukan pemantau ditambah kepada 150 berbanding 135 pasukan sebelum ini, membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, pertambahan kenderaan yang memasuki Terengganu kini meningkat 25 peratus kepada 18,771 berbanding 15,000 pada hari biasa, menjelang Aidilfitri pada Khamis, 13 Mei 2021 ini.

Roslee berkata, pertambahan lebih 3,000 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dikesan beberapa hari lalu dari Pantai Barat, antaranya dari Selangor dan Kuala Lumpur serta dari Pahang dan Kelantan.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) antara alasan popular untuk merentas sempadan ialah atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur, selain kematian. 


Kenderaan dari luar mula memasuki Terengganu


Berikutan itu, katanya, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di semua 26 laluan tikus di sempadan Besut, Terengganu-Pasir Putih, Kelantan.

"Situasi di negeri ini masih terkawal dan penduduk perlu sentiasa patuh pada SOP untuk mengelakkan jangkitan terus merebak ke tempat lain," katanya.

Roslee berkata, antara kesalahan kerap dilakukan ialah mengemukakan surat kebenaran rentas negeri lama yang sudah luput tarikh.

Jelas beliau, selain mengarahkan berpatah balik, Polis Terengganu turut mengeluarkan kompaun terhadap individu yang tegar merentas negeri tanpa kebenaran.

"Sehingga kini, lapan individu dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran terutama membabitkan sempadan Terengganu-Kelantan,” katanya. - KitaReporters


Roslee (tengah) ketikameninjau laluan jalan tikus di sempadan Besut-Pasir Puteh, Kelantan.

3
7
12
4
17

Copy Link: