I3S CUBICLE SIAP!! NAK PERANGI WABAK COVID-19
Published byWALAUPUN namanya belum pernah disebut, tetapi kehadirannya kini amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi antara komponen terpenting untuk petugas barisan hadapan yang sedang 'berperang' dengan wabak pandemik COVID-19. : KitaReporters
Penggunaan I3S membantu mengurangkan risiko jangkitan ketika proses saringan COVID-19 dijalankan. - Kredit foto-foto: Pahang Media
Penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini mendorong pelbagai pihak tampil membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama untuk petugas barisan hadapan sektor kesihatan.
Seperti biasa, apabila ada individu yang mengalami simpton COVID-19, perkara pertama perlu dilakukan adalah menjalani proses saringan dan di sinilah kontak pertama antara individu terbabit dan petugas berlaku.
Kubikel I3S Cubicle berperanan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 ketika proses saringan dijalankan.
Kehadirannya sedikit lewat tetapi tetap membantu.
Pematuhan PPE perlu diutamakan sebelum penggunaan kubikel ini.
Tapi, bukan semudah itu untuk petugas kesihatan yang terbabit membuat pemeriksaan sebaliknya pematuhan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) masih perlu diutamakan.
Sehubungan itu, perlu cari solusinya terlebih dahulu sebelum kubikel ini digunakan dengan selamat dan terjamin.
Ketua Projek I3S Cubicle, Dr Ahmed Kamarulzaman berkata kubikel yang dinamakan sebagai I3S ini mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 berikutan kaedah yang diguna pakai ini tidak memerlukan kontak secara langsung di antara petugas dengan pesakit.
“Dengan adanya kubikel ini, kita dapat mengasingkan pesakit dengan petugas kesihatan dengan satu barrier (penghalang).
Demonstasi proses saringan COVID-19 melalui I3S Cubicle.
“Jadi dengan adanya barrier ini, maka masa kontak antara pesakit dengan petugas kesihatan akan jadi minimum dan kontak (sentuhan) juga akan jadi minimum,” katanya ketika ditemui selepas selesai pemasangan I3S Cubicle di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada Ahad, 5 April 2020.
HTAA menjadi hospital pertama di Malaysia menerima kubikel berkenaan bagi membantu mengelak jangkitan kalangan petugas kesihatan ketika proses saringan COVID-19 dijalankan.
Beliau berkata tujuan utama pembinaan kubikel ini adalah untuk mengurangkan penggunaan PPE yang semakin kritikal di Malaysia dan juga di seluruh dunia.
Penggunaan PPE yang semakin kritikal di Malaysia - Gambar hiasan
“Buat masa ini kami masih dalam perbincangan dengan pakar penyakit berjangkit untuk menentukan pemakaian PPE yang lebih sesuai untuk diguna di dalam kubikel ini,” katanya.
Beliau berkata, kubikel bernilai RM13,000 sebuah itu mempunyai tiga bilik yang menempatkan pesakit, petugas kesihatan dan bilik bagi mengelakkan penggunaan udara kitar semula di dalam kubikel ini.
Demonstasi proses saringan COVID-19 melalui I3S Cubicle.
Beliau berkata HTAA dipilih sebagai hospital pertama menggunakan kubikel ini disebabkan pihak yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu berada di Kuantan dan turut terkurung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.
Projek I3S Cubicle yang memperoleh dana daripada sumbangan orang ramai itu dibangunkan oleh pengamal perubatan daripada Klinik Awfa KotaSAS, Pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia (M3), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Belia.my dan kumpulan Facebook, Ini Sains Beb yang mengumpulkan individu pelbagai latar belakang dan kepakaran bagi menjalankan projek itu.
Antara tatacara yang perlu dipatuhi ketika proses saringan COVID-19 dilakukan dalam I3S Cubicle
Kredit foto-foto: Pahang Media
Dr Ahmed berkata beliau dan kumpulannya juga telah dihubungi pelbagai pihak lain untuk mendapatkan penjelasan dan kerjasama dalam membina kubikel ini.
“Pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah menghubungi kami untuk geran bagi pembinaan 10 unit kubikel lagi.
“Insya-Allah beberapa lagi klinik dan hospital lain akan menggunakan kubikel seperti ini tidak lama lagi dan keutamaan diberikan kepada klinik dan hospital yang berada di dalam zon merah terlebih dahulu,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan bagi pembinaan Kubikel I3S ini boleh menyalurkan bantuan ke Tabung Bantuan COVID-19 Yayasan Muamalat Belia menerusi akaun 06028010030038 di Bank Islam.
Bersama kita membantu bagi memutuskan ranntaian COVID-19. Sumbangan anda semua amat dinanti-nantikan. - KitaReporters