SEBAGAI suatu usaha untuk memperkasakan pembangunan ekonomi dan sahsiah diri, platform streaming TV Online berkonsep langganan, Nurflix.TV bakal menawarkan kandungan digital baharu, segar, tulen (original) dan selamat tontonan untuk semua jenis golongan dengan berlandaskan aspek adab dan akhlak. : KitaReporters



Bagi mencapai tujuan ini, platform streaming TV Online yang dibangunkan oleh Sutera Hijau Ventures Bhd ini menggunakan khidmat kerjasama dua hala antara golongan ulama dengan karyawan industri kreatif bagi menghasilkan kandungan-kandungan program yang terpandu serta menghiburkan.

Dengan mengetengahkan kandungan program yang selamat ditonton untuk semua golongan ini, Nurflix.TV dijadual akan memulakan siaran secara percubaan sepanjang tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020 ini dengan memperkenalkan 12 tajuk daripada pelbagai jenis kategori termasuk drama dan filem akan ditayangkan secara percuma menerusi episod pertama, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada Januari 2021.


Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV, Syah Mohamed (gambar atas) berkata, idea asal untuk mewujudkan Nurflix.TV ini sebenarnya adalah untuk mewujudkan sebuah ekosistem mampan diri yang dapat memberi manfaat kepada pengguna serta penyedia kandungan menerusi platform yang disediakan

“Kalau dilihat pada masa ini, terlalu banyak kandungan digital yang semakin tidak terkawal, tidak ditapis , tidak memiliki norma dan nilai budaya yang ideal. 

“Pada masa yang sama juga, ekosistem mampan diri yang telah dibentuk ini akan dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan buat tenaga kerja dan karyawan dalam sektor industri kreatif dan secara tidak langsung ia dapat membantu menjana ekonomi negara,” katanya. 


Majlis sidang media The Nurflix Initiative pada Khamis, 16 Julai 2020 itu menyaksikan penyerahan mandat oleh Pengerusi Nurflix.TV, Dato’ Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir (dua dari kanan) kepada Penyelia Kehormat (Musyrif) Nurflix.TV, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid (tengah).

Majlis turut menyaksikan pelantikan fasa pertama affiliate artistes (artis bersekutu) seperti Eman Manan, Erra Fazira, Mawi, Altimet, Yasin Sulaiman, Adam Corrie, Mira Filzah, Diana Amir, Wany Hasrita dan Alif Teega untuk turut sama berkolaborasi dengan Nurflix.TV bagi menghasilkan kandungan-kandungan terpilih ini. 


Menurut Syah Mohamed lagi, pihaknya amat menitikberatkan kualiti produksi serta nilai kreativiti dalam kandungan-kandungan yang dipaparkan di dalam platform Nurflix.TV. 

“Disebabkan itu, kita memiliki panel penasihat kandungan dan kita juga turut memastikan setiap kandungan yang ditawarkan di dalam platform ini memaparkan idea atau subjek yang cukup unik,” katanya lagi. 

Memiliki sasaran untuk meraih 1 juta tontonan sehingga akhir Januari 2021, pihak Nurflix TV turut mengalu-alukan kehadiran penerbit, pengarah, penulis skrip dan bakat-bakat baharu, bersesuaian dengan tagline mereka: ‘Be Part Of Us’. - KitaReporters

7
0
0
0
0

Copy Link: