Selama ini kita banyak disogokkan dengan program realiti berbentuk hiburan tetapi mulai 3 Februari 2022 ini tumpuan penonton TV akan beralih kepada pencarian siapakah bakal bergelar ‘Juara Agrotek’.

Siaran terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini akan menemui penonton pada tarikh tersebut setiap Khamis pukul 4.05 petang menerusi saluran TV1.

Sepanjang 13 episod siarannya, program TV realiti berkaitan pertanian dan penternakan yang pertama di Malaysia diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan kerjasama PTV Media Sdn Bhd ini merupakan  usaha baharu kementerian mempromosi sektor pertanian kepada generasi muda. 

Dan pada masa sama melalui rancangan tersebut diharap dapat mempromosi dan menarik minat belia serta mengubah persepsi yang dianggap sebilangan masyarakat sebagai kerjaya '3D' iaitu kotor (Dirty), berbahaya (Dangerous) dan sukar (Difficult).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan industri pertanian


Menampilkan Bell Ngasri sebagai hos, program berdurasi setengah jam bagi setiap episod akan menyaksikan 12 peserta berusia antara 20 hingga 40 tahun bersaing merebut gelaran juara dengan membawa pulang wang tunai RM10,000

Mengambil kira kepentingan semasa sektor pertanian terutama ketika berhadapan dengan COVID-19, program ini sememangnya cuba ditonjolkan untuk menarik perhatian awam terutama dalam kalangan anak-anak muda yang mungkin selama ini kurang mengambil tahu berkenaan pertanian.

Bukan sekadar berhibur, program realiti ini mengajak golongan belia negara mendapatkan info dan maklumat dari segi konteks tanaman, konteks ternakan, untuk mereka menceburi sektor pertanian.

Antara yang diberi tumpuan bagi membuktikan bahawasanya pertanian di negara ini boleh pergi jauh di mana majoriti yang menceburi bidang keusahawanan ini tidak ramai berpendidikan pertanian. 

Malah penganjuran program ini dilihat mampu menjawab kekeliruan orang ramai mengenai isu berkaitan halal haram produk ternakan.



Menariknya, program ini disertai juara program realiti nyanyian,’One In A Million’ musim kedua, Ayu Damit, 33, yang turut bertanding sebagai salah seorang daripada 12 peserta terbabit.

Seperti ramai yang sedia maklum, pemilik nama sebenar Norayu Damit dari Putatan, Sabah ini mempunyai sebuah ladang  cili dan pelbagai sayuran, ‘Ayu Damit Agro Farm’ yang diusahakan bersama suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, seluas 1.4 hektar di Hulu Langat.


Ayu dan suami mengusahakan ladang mereka di Hulu Langat. - Kredit foto: mstar.com.my
Ayu dilaporkan pada mulanya hanya sekadar bertanya sama ada masih ada tempat lagi dan secara kebetulan memang ada satu kekosongan untuk mengganti seorang peserta yang menarik diri. 

Memang rezeki Ayu kan? 

Apa pun mampukah Ayu bergelar juara bagi musim pertama ini? Sama-sama kita saksikan bermula 3 Februari 2022 depan.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan RTM mobile. - KitaReporters


a

7
12
0
12
0

Copy Link: