PULAU Bidong, Terengganu yang satu ketika dahulu tersohor sebagai penempatan pelarian dari Vietnam dan banyak menyimpan khazanah laut terutama sejarah daripada kapal-kapal karam dari tamadun Asia lama kini mencipta satu lagi sejarah baharu apabila dijadikan lokasi pengumpulan monumen di dasar laut.

Sebanyak 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN telah dilabuhkan di dasar laut Pulau Bidong melalui projek khas, 'The First ASEAN Underwater Mini Landmark' atau Mercu Tanda Mini Bawah Laut ASEAN Pertama (AUMIL) pada 8 November 2021 lalu, sekali gus mencipta sejarah di Asia Tenggara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pulau Bidong


Monumen di dasar laut menjadi daya tarikan baharu di Pulau Bidong, Terengganu. - Kredit foto: FB UMT


Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, sempena penganjuran Seminar ASEAN mengenai Pemeliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air.

Hadir sama pada pelancaran tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar serta Duta Besar negara-negara ASEAN di Malaysia.

Menurut Nancy, produk pelancongan baharu tersebut akan menjadi Pameran Warisan Budaya Bawah Air ASEAN yang pertama dalam sejarah ASEAN.


Nancy Shukri menurunkan tandatangan beliau pada tabung gas sebagai gimik perasmian. - Kredit foto: FB UMT


"Monumen tersebut diletakkan pada kedalaman 10 sehingga 15 meter, projek kebudayaan ini telah diluluskan pada 2019 dengan jumlah peruntukan RM290,955 (USD$70,000) di bawah Tabung Kebudayaan ASEAN.

“Kita akan mengalakkan pelancong daripada negara-negara jiran ini untuk datang kembali ke Terengganu sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan serta menaikkan nama negeri yang sinonim dengan produk perikanan,” katanya.

Tambah beliau, Pulau Bidong bakal menjadi syurga buat penggemar aktiviti menyelam skuba dan fotografi bawah air antarabangsa.

Katanya lagi, selain menggalakkan usaha memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, AUMIL juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat ASEAN. 


Replika Masjid Sultan Haji Omar Al Saifuddien,Brunei


Perletakan 11 monumen termasuk monumen simbol penyatuan ASEAN itu merupakan projek MOTAC dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Jabatan Warisan Negara yang dibiayai Tabung Kebudayaan ASEAN.

Projek berkenaan menjadi salah satu platform bagi  perkongsian Ilmu dan pertukaran budaya antara negara-negara ASEAN

Antara monumen boleh dilihat adalah Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Monumen Kemerdekaan Kemboja dan Monumen Patuxai.

Monumen Nasional Indonesia, Pagoda Shwedagon, Monumen Jose Rizal, Merlion, Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan, Pagoda Tran Quac dan Monumen Simbol Penyatuan ASEAN.

Agak menarik, kepakaran dan kemahiran anak tempatan dari kampung Tok Badir, Bukit Payong, Kuala Terengganu, 11 replika mercu tanda tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh hampir dua bulan. - KitaReporters


Pagoda Tran Quac Vietnam



14
8
1
17
0

Copy Link: