Ombak besar! Jenkaut hanyut 15m ke laut! Penduduk bimbang!
Published byAPABILA tiba musim tengkujuh yang biasanya berlaku setiap tahun pada bulan November, Disember dan Januari, penduduk yang tinggal di pinggir pantai menjadi resah. Tiupan angin kencang dari Laut China Selatan juga membawa ancaman ombak besar dan menyebabkan banyak kawasan pantai terhakis, sekali gus membimbangkan penduduk mengenai keselamatan mereka dan keluarga. : KitaReporters
Kredit foto-foto: FB Radzie Drone
Lagi kisah-kisah berkaitan tengkujuh:
https://kitareporters.com/search?search=tengkujuh
Bagi kaum nelayan di Terengganu, mungkin musim tengkujuh dianggap sebagai masa mereka untuk `berehat’ buat sementara waktu akibat mereka tidak dapat turun ke laut menangkap ikan kerana ombak sentiasa bergelora selain cuaca yang tidak menentu.
Namun di sebalik kebimbangan orang ramai itu serta keresahan kaum nelayan kerana tidak dapat mencari rezeki di laut, berlaku kejadian yang mengejutkan serta tidak disangkakan di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus pada Khamis, 12 November 2020.
Sebuah jenkaut kelihatan dihanyutkan ke tengah lautan sejauh kira-kira 15 meter selepas ombak besar yang kuat menghakis kawasan pantai di sekeliling tempat mesin berat itu diletakkan.
JENKAUT dihanyutkan air ombak yang besar sejauh kira-kira 15 meter di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, Terengganu pada 12 November 2020. - Kredit Foto: FB Radzie Drone.
Sebelum itu, jenkaut berkenaan berada di situ untuk melakukan kerja-kerja pembinaan penahan ombak di pesisir pantai di kawasan itu tetapi kerja tersebut terpaksa diberhentikan seketika kerana cuaca buruk yang tiba pada hari kejadian tersebut.
Pembinaan penahan ombak di kawasan terbabit sepatutnya disiapkan beberapa bulan lepas tetapi projek itu tertangguh disebabkan masalah pendamik Covid-19.
Kredit Foto : FB Man Burger
WAN ZAKARIA WAN MOHAMAD
Seorang penduduk Kampung Pengkalan Maras, Wan Zakaria Wan Mohamad, 63, berkata ombak besar berserta angin kencang mula melanda di kawasan pantai itu selama dua hari berturut-turut sejak hari Rabu, 11 November 2020.
Beliau menyifatkan kejadian bencana alam itu pada kali ini adalah paling teruk berbanding beberapa tahun yang lepas.
Bercakap kepada media pada Sabtu, 14 November 2020, Wan Zakaria yang tinggal berhampiran dengan kawasan pantai di kampung itu memberitahu akibat gelombang besar itu, rumah kediamannya yang sebelum itu terletak kira-kira 200 meter dari pantai tetapi kini rumahnya dianggarkan jarak 10 meter berhampiran pantai itu.
KEADAAN kawasan pantai Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus selepas ombak besar pulih pada 13 November 2020.
Kredit Foto : FB Man Burger
``Ombak kali ini memang besar dan saya boleh dikatakan selama dua malam tidak tidur lena kerana asyik berjaga bimbang dengan air ombak besar serta angin semakin kuat itu yang boleh sampai ke kawasan rumah saya.
``Tetapi saya bersyukur dalam masa dua hari itu tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya dan keluarga saya, semuanya selamat cuma kawasan rumah saya yang berubah iaitu semakin dekat dengan air laut ,’’ katanya yang tinggal di Kampung Pengkalan Maras, sejak kecil lagi.
Wan Zakaria berharap kepada pihak kerajaan supaya dapat membina kerja-kerja banteng penahan ombak di pinggir pantai secepat mungkin apabila keadaan cuaca di laut pulih seperti biasa.
Menurutnya lagi, kerja tersebut patut dilakukan kerana ia dapat mengurangkan risiko hakisan pantai sekiranya berlaku ombak besar selain ia juga dapat menjaminkan keselamatan penduduk lain kira-kira 100 keluarga yang tinggal berhampiran dengan pantai itu. - KitaReporters
Kredit foto-foto: Kredit Foto: FB Radzie Drone.