Shariman Yusuf Mohamed Zain (kanan) memberi beg guna semula kepada seorang pengunjung Bazar Ramadan Putrajaya sambil diperhatikan Dr Zaliha Mustafa dan Fadlun Mak Ujud.


Penggunaan plastik yang berleluasa di Malaysia menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak kerana boleh memudaratkan alam sekitar. 

Kita sering menggunakan beg plastik ketika membeli-belah di pasar raya, restoran, selain menggunakan straw dan pembungkus atau bekas plastik. Plastik-plastik yang dibuang di tempat yang salah menyebabkan alam sekitar tercemar serta mengganggu habitat di darat atau lautan.

Kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, penggunaan plastik di Malaysia adalah kedua terbesar di Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78 kg plastik setahun.


Dr Zaliha memberi bubur lambuk kepada seorang pengunjung Bazar Ramadan Putrajaya sempena Program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya. 


Menyedari bahaya plastik khususnya beg plastik dalam kehidupan manusia dan alam sekitar,  Alam Flora Sdn. Bhd. anak syarikat Malakoff Corporation Bhd. menggalakkan orang ramai membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, pihaknya akan  meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula dan bahaya plastik walaupun ia akan mengambil masa demi memastikan penyelesaian kepada alam sekitar.  


 Orang ramai membanjiri Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya untuk membeli juadah berbuka puasa.


"Ia sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik sekali guna yang memberi kesan terhadap alam sekitar.

“Penggunaan beg plastik sekali guna memberi impak besar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Justeru, cara terbaik menangani masalah itu ialah mengajak masyarakat membudayakan amalan membawa beg guna semula.

“Budaya dan amalan positif ini pasti mengambil sedikit masa tapi saya yakin ia boleh menjadi sebahagian rutin mereka,” katanya pada Program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya. 

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.


Dr Zaliha bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga murtabak di Bazar Ramadan Putrajaya.


Sempena program itu, Alam Flora mengagihkan 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk menggunakan bekas guna semula kepada pengunjung di bazar Ramadan, Presint 3, Putrajaya.

Beliau berkata, Alam Flora turut menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah.

"Ini sekali gus mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.  

“Jika secara purata kita menggunakan tiga beg plastik ketika membeli makanan selama sebulan dalam bulan Ramadan dan jika menggantikan dengan beg guna semula, insya-Allah orang ramai mengurangkan 90 beg plastik,” katanya. 


Dr Zaliha (dua dari kiri) berbuka puasa bersama Shariman, Fadlun dan tetamu lain di Laman Iftar, Dataran Putrajaya.


Sementara itu, Dr Zaliha berkata penggunaan beg kitar semula adalah langkah kecil tetapi amat berkesan dalam mengurangkan kebergantungan kepada plastik sekali gus menyokong amalan kelestarian.

"Inisiatif ini bukan sekadar memupuk kesedaran mengenai kepentingan produk biodegradasi, tetapi ia selari dengan usaha bandar rendah karbon serta visi Bandar CHASE, Clean City ke arah persekitaran yang lebih hijau, bersih, dan lestari.

Bandar CHASE ialah bandar yang memiliki aspek Bersih (Clean), Sejahtera (Healthy), Maju (Advanced),  Selamat (Safe) and Mesra Alam (Eco-friendly).


Orang ramai berbuka puasa beramai-ramai di Laman Iftar, Dataran Putrajaya yang dibuka sepanjang Ramadan 1446H.  


"Semoga usaha kecil ini memberi manfaat besar dan menginspirasi lebih ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan serta menghargai alam sekitar demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Selesai di Bazar Ramadan, Dr Zaliha, Shariman Fadlun dan tetamu lain bergerak ke Laman Iftar, Dataran Putrajaya untuk menyantuni orang ramai yang hadir berbuka puasa dalam suasana harmoni di bulan yang mulia ini. - KitaReporters


22
20
0
20
0

Copy Link: