COVID-19: NAK MAMPUS MINUM, HIDU PELUNTUR?
Published byTIDAKKAH kita terasa 'mewa' (bingung) melakukan perbuatan yang tolol gara-gara takut terjangkiti wabak COVID-19 yang boleh mengancam nyawa dengan harapan kononnya dapat melindungi kita seperti minum air bercampur peluntur?? Karut!! : KitaReporters
Ke manakah letaknya kewarasan akal manusia sehingga tidak mampu menilai sesuatu yang baik dan sesuatu yang dapat memberi kesan sampingan sekiranya memakan atau meminumnya secara membabi buta??
Pelbagai jenis petua dan herba tumbuh-tumbuhan diciptakan tuhan di muka bumi bagi merawat segala macam sakit sama ada penyakit kronik, separa kronik atau penyakit berjangkit.
Langkah untuk mencuba sesuatu yang samar-samar atau tidak disahihkan keberkesanannya mampu mengundang "sakit" baharu yang mampu mengancam nyawa jika tidak dikawal secara teratur.
Kredit foto: FB @Suhairi Majid
Pusat Racun Negara menerusi kenyataannya menyangkal sekeras-sekerasnya meminum cecair peluntur dapat menghapuskan virus COVID-19 dengan pantas, selain daripada mendekati atau merebak ke seluruh badan peminumnya.
Mitos yang terbaru selepas kes "tag kesihatan" dan daun semambu benar-benar memeranjatkan warga maya kerana umumnya mengetahui kandungan kimia yang ada di dalam cecair tersebut mampu meragut nyawa dengan sekelip mata.
Kandungan kimia berupa hidrogen peroksida yang mampu merengsa tekak dan usus peminumnya mampu berkeadaan seolah-olah dibakar dengan api yang marak dan berlanjutan.
"Hidrogen peroksida adalah salah satu disinfektan yang digunakan untuk membasmi kuman dan virus di permukaan terutama permukaan barang atau kawasan yang sering disentuh, dan digunakan pada kadar pencairan dan kaedah yang ditetapkan.
"Mitos minum hidrogen peroksida atau apa-apa cecair disinfektan adalah langsung tidak berasas malah ia boleh mendatangkan kesan keracunan yang teruk.
"Kesan terbakar yang teruk pada saluran pemakanan serta pendarahan dalam perut biasa dilaporkan melibatkan kepekatan hidrogen peroksida melebihi 10%.
"Di dalam salur darah, hidrogen peroksida boleh membentuk gelembung gas dan menyebabkan kesan yang lebih teruk seperti sawan, serangan jantung dan boleh mengakibatkan kematian.
"Semua jenis disinfektan atau cecair pembasmi kuman adalah untuk kegunaan luaran sahaja," jelas agensi racun kebangsaan itu.
Kenyataan yang dikeluarkan menerusi FB @Pusat Racun Negara
Selain itu, tabiat suka menghidu dalam jumlah kepekatan yang tinggi mampu memberi risiko pada saluran pernafasan terutama di bahagian jantung.
Pendedahan cecair kepada bahagian mata atau kulit pula boleh menyebabkan kesan terbakar yang kronik bergantung kepada kepekatan dan jumlah cairan yang telah terkena pada bahagian tertentu.
Kredit foto: FB @Pusat Racun Negara
"Sekiranya dihidu pada kepekatan yang tinggi, hidrogen peroksida boleh mengakibatkan kerengsaan yang teruk pada saluran pernafasan.
"Tidak boleh digunakan dengan cara meminum atau menyemburnya secara terus kepada manusia.
"PRN berharap agar rakyat Malaysia tidak mudah percaya dengan mitos atau amalan yang memudaratkan seperti ini", tambahnya.
Seramai lebih 1 juta orang telah disahkan positif COVID-19 di seluruh dunia dan hampir 39,000 orang meninggal dunia akibat wabak berkenaan.
WHO menerusi laporannya memberitahu COVID-19 adalah suatu penyakit yang dikategorikan sebagai pandemik. - KitaReporters