Hikmah PKP! Raih pendapatan dari bisnes tanam jual cendawan!
Published byPELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 secara tidak langsung membuka peluang kepada ramai orang menceburi bidang pekerjaan lain kerana hilang sumber pendapatan apabila diberhentikan kerja atau menerima separuh gaji sejak Mac 2020 lalu. : KitaReporters
Kamarul Zaman Muhd Sanusi meneliti bongkah yang akan mengeluarkan cendawan tiram kelabu dalam tempoh beberapa hari lagi.
Lagi cerita-cerita berkaitan pengusaha:
https://kitareporters.com/search?search=pengusaha
Hal demikian itu, turut terkesan kepada sepasang suami isteri Kamarul Zaman Muhd Sanusi dan Hailena Shaikh Omar yang terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sampingan bagi menambah pendapatan keluarga seperti menjual rendang ayam, daging masak hitam dan makanan kesihatan secara dalam talian.
Sepanjang tempoh PKP pasangan itu menjual lebih 450 kilogram daging masak hitam apabila mendapat sambutan luar jangkaan dengan pengedaran sekitar Lembah Klang terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Apabila
jualan daging masak hitam semakin menurun pasangan suami isteri itu kini
beralih kepada penanaman cendawan tiram kelabu yang kini semakin mendapat
sambutan dalam kalangan penduduk sekitar
tempat tinggal mereka di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, sejak
beberapa bulan lalu.
Kamarul Zaman melahirkan rasa bersyukur apabila tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan bersama-sama keluarga menghasilkan sumber pendapatan sampingan.
Kamarul berkata, bermula dengan 50 bongkah untuk menanam cendawan itu kini beliau telah menambah kepada 9,000 bongkah apabila permintaan cendawan itu semakin meningkat sehingga pengedarannya meluas ke Bangi, Shah Alam dan beberapa tempat sekitar Lembah Klang.
Menurutnya,
tanaman itu yang diusahakan dalam bangsal khas di kawasan tanah lapang belakang
rumahnya mampu mengeluarkan cendawan tiram kelabu antara 10 kilogram dan
15 kilogram sehari dengan dua kali tuaian iaitu sebelah pagi dan petang selepas
ditanam melebihi 45 hari.
Kamarul Zaman kini sedang memperlengkapkan lagi bangsal khas itu untuk menambah tanaman cendawan kepada 12,000 bongkah.
“Saya menganggap bidang tanaman cendawan ini adalah usaha bersama sekeluarga kerana idea itu datang daripada isteri, manakala tiga anak saya sentiasa ringan tulang membantu dalam kerja penanaman cendawan itu dan pembungkusan untuk dijual.
“Saya kini
sedang memperlengkapkan lagi bangsal berkenaan untuk membolehkan menanam 12,000
cendawan itu kerana berhajat untuk menghasilkan burger cendawan yang kini
semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Hailena Shaik Omar menunjukkan hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang akan dibungkus untuk dihantar kepada penduduk BTHO yang membuat tempahan.
Sementara itu, Hailena, berkata suaminya begitu gigih mengusahakan tanaman cendawan berkenaan apabila turut mendapatkan bimbingan serta tunjuk ajar daripada kenalannya yang sudah 15 tahun terbabit dalam bidang itu di Melaka.
Menurutnya,
selain itu beliau bersama suaminya mempraktikan lagi cara penanaman cendawan
berkenaan untuk lebih berkesan yang dipelajari menerusi saluran YouTube seperti kaedah
penanaman dan penjagaan yang betul, pengurusan bongkah bagi menghasilkan
cendawan tiram kelabu berkualiti.
Hailena berhati-hati memetik cendawan tiram kelabu supaya tidak rosak.
“Pada awalnya kami terkesan dengan PKP ini seperti orang lain, namun ada hikmah bagi kami sekeluarga kerana daripada aktiviti belakang rumah sahaja dapat menghasilkan produk untuk dijual kepada orang ramai yang mendatangkan sumber pendapatan.
“Menyeronokkan
apabila kami sekeluarga dapat mengeluarkan peluh walaupun terpaksa berkurung,
suami pula terpaksa ulang-alik dengan bermotosikal atau kereta untuk menghantar
tempahan khusus yang diterima daripada penduduk sekitar BTHO,” katanya.
Kepada orang ramai yang ingin membuat tempahan cendawan tiram kelabu yang diusahakan pasangan suami isteri ini boleh menghubungi atau menghantar pesanan WhatsApp ke nombor telefon bimbit 017-247 6717 (Kamarul Zaman). - KitaReporters
Hailena sedang membungkus cendawan tiram kelabu yang sudah ditempah.