Video| Hasil seni empat kerat Karim Embong! Langgar (Surau) Rindu dibina hasil ilham, impian!
Published bySEKALI pandang ia kelihatan seperti rumah terbiar yang belum siap kerana tidak mempunyai dinding malah yang ada hanya kerangka kayu yang tidak dicat dan dalam keadaan buruk. Namun, bagi yang sudah biasa menjejak kaki ke lokasi tersebut sudah mengetahuinya ia adalah sebuah surau kayu dinamakan Langgar Rindu. : KitaReporters
Langgar (Surau) Rindu diperbuat daripada kayu hasil seni paling unik di Terengganu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan seni:
https://kitareporters.com/search?search=seni
Terletak di Kampung Rhu Tapai, Merang, ia hasil keringat dan kudrat tulang empat kerat yang dibina oleh seorang penduduk untuk diabadikan sebagai rumah ibadat bagi komuniti setempat serta persinggahan bagi mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat.
Surau berukuran 1,064 kaki persegi milik penggiat seni, Abdul Karim Embong, 62, yang dipasak dan disambung menggunakan skru itu menjadikan kayu pokok tembesu terbuang serta kayu cengal hasil sumbangan orang ramai sebagai bahan binaan asas.
Penggiat Seni Terengganu Abdul Karim Embong
Lebih menakjubkan, kerja-kerja pembinaan surau yang dibina tanpa sebarang lakaran pelan itu bermula sejak Mac 2014 dan kini sudah 80 peratus siap.
Katanya, bukan mudah untuk menyiapkan sebuah surau sebegini tanpa peralatan mencukupi dan hanya menggunakan tulang empat kerat. Dia pula, jelasnya, bukan seorang yang mahir sangat dalam ilmu pertukangan.
Replika ikan diperbuat daripada kayu diletakkan di tangga surau.
"Adakalanya pembinaan surau ini tergendala
kerana masalah kewangan, namun saya bersyukur kerana niat saya untuk membina
rumah ibadat ini mendapat sokongan daripada individu yang prihatin dan dermawan
yang tampil menghulurkan sumbangan wang tunai atau bahan binaan,” katanya.
“Terbaharu, saya terima kayu tembesu berusia sekitar
300 tahun yang akan saya guna untuk tambah kira-kira 280 kaki persegi lagi pada
bahagian surau tersebut," tambahnya.
Sehingga ini,beliau tidak dapat mempastikan jumlah sebenar kos pembinaan surau itu tetapi menganggarkan nilai keseluruhan binaan surau itu mencecah RM100,000.
Hasil kerja seni Pak Su Arif membina surau daripada kayu kayan terbuang menarik perhatian pelancong
Berbaju lusuh dan bertongkat, Abdul Karim atau lebih mesra disapa sebagai Pok Su Arif berkata, berkat sokongan banyak pihak termasuk anak-anaknya membantu merealisasikan impian untuk membina surau itu.
Selain surau untuk kemudahan komuniti setempat, aktivis seni itu juga sedang membina sebuah pusat pengajian Islam dinamakan Madrasah Al-Insan Saka Iman berhampiran surau itu bagi menempatkan seramai 50 orang pelajar untuk mendalami ilmu agama.
Pak Su Arif ketika ditemui penulis di surau yang dibinanya
Abdul Karim turut berkongsi inspirasi sehingga
mendorong beliau menamakan surau miliknya itu sebagai Langgar Rindu.
Beliau berkata, gelaran itu agak jarang digunakan
masyarakat Melayu sebaliknya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dagang
terdiri daripada suku kaum Boyan.
“Langgar mempunyai empat makna antaranya pelanggaran, surau atau madrasah, tempat pengajian agama, kawasan pemakaman diraja serta bumbung rumah mempunyai anjung disambung dari bumbung asal,” katanya.
“Jadi, bagi memperkayakan dan mencantikkan lagi bahasa kita, saya memilih untuk menggelar rumah ibadat ini sebagai langgar yang bermaksud surau," katanya.
Ruang solat Suray Langgar Rindu
Keunikan reka bentuk Langgar Rindu sebagai persinggahan untuk menunaikan ibadat mendapat tumpuan ramai termasuk pelancong yang berkunjung ke surau “Langgar Rindu” yang kini menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara selepas ia tular dalam media sosial.
Katanya, pelancong paling jauh adalah
pasangan suami isteri dari Jepun yang singgah ke Malaysia selepas ke Bali,
Indonesia dan sempat menyatakan kepadanya bahawa “Langgar Rindu” adalah binaan
paling unik pernah dilihat, meskipun telah melancong ke seluruh pelosok dunia.
“Selain itu, ada juga pasangan Muslim dari Austria yang sanggup datang ke kampung ini setelah melihat video ‘Langgar Rindu’ di Youtube. Mereka juga mahu meninggalkan anak mereka di Madrasah Al Insan Saka Iman, milik saya, untuk diberi didikan agama," kata Abdul Karim.
Menurutnya lagi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, adalah antara pemimpin negara yang pernah melawat surau berkenaan.
Pemili
Pemilik Surau Langgar Rindu bersama Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dek kerana keunikan “Langgar Rindu” yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan apabila berkunjung ke Terengganu.
Katanya, kebanyakan pelancong
menyangka “Langgar Rindu” adalah rumah persendirian namun terkejut apabila
diberitahu ia adalah surau dan tempat belajar agama.
“Namun, apa yang menyentuh hati saya
kerana mereka (bukan islam) turut memberi sumbangan kewangan kepada saya dengan
alasan apa yang dilakukan ini adalah satu usaha yang baik, tambahan pula mereka
sangat kagum kerana sepanjang berada di ‘Langgar Rindu’, hati seolah-lah begitu
dekat dengan alam,” katanya. - KitaReporters