Video| Nak rasai diami rumah Hobbit? Misty Mountain, Janda Baik gamit pengunjung! Macam kat movie set!
Published by.
Video memaparkan bangunan bilik bilik Hobbit dan Rainforest di bukit Misty Mountain, Janda Baik, Bentong, Pahang. - Kredit video: YouTube Rashidah Ibrahim
Bagai mengantuk disorongkan bantal, sedang terfikir-fikir nak bercuti di tempat unik dalam negara, tiba tiba muncul dalam FB posting mengenai satu tempat percutian yang menyediakan penginapan rumah Hobbit.
Teruja bukan main, terimbau kunjungan ke Hobbiton Movie Set (set filem) di Mata Mata, New Zealand Utara, tempat penggambaran siri filem The Lord of the Rings dan The Hobbit.
Pengaruh filem berkenaan mewujudkan rumah-rumah penginapan berkonsepkan Hobbit di serata dunia. Di Malaysia pun ada, selalunya jauh dari Kuala Lumpur tapi tak sangka, saya baru tahu ada, tak jauh iaitu di Janda Baik, Bentong, Pahang, jarak memandu dari Gombak sekitar 45 minit saja.
Kalau di set filem Mata Mata, rumah Hobbit yang kelihatan melata berkeluasan terhad, rendah, sesuai untuk manusia kerdil (dwarf), tetapi kebanyakan tempat penginapan dibina dengan ukuran menepati kegunaan manusia normal kini.
Empat bilik Hobbit dibina sederet, di kawasan paling atas bukit Misty Mountain. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim
Sebaik ternampak posting penginapan rumah Hobbit di Janda Baik, terus saja Google untuk mengetahui lebih lanjut, rupanya tempat itu dikenali Misty Mountain, terletak di satu kawasan berbukit yang dilitupi pokok dan padang menghijau. Berlokasi di satu kawasan tanah seluas tiga ekar.
Tika laman sesawangnya dibuka, tertera maklumat: “Manjakan diri dengan pengalaman semula jadi yang mewah di Misty Mountain. Kami bukan sebuah hotel tetapi sebuah ladang, menyediakan empat bilik hutan hujan (Rainforest) dan empat bilik Hobbit yang ditata indah.
Selami ketenangan tempat percutian terpencil ini, dan berjalan-jalan santai di sekitarnya yang ditanami pokok buah-buahan selain ada kandang haiwan jinak, kambing, arnab, ayam dan Itik.
Lain daripada kebiasaan, tempat percutian ini berkonsepkan ladang (farm) yang mana pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti memanah, bermain dengan haiwan peliharaan dan berkelah. Kanak-kanak semestinya seronok, bermanja dengan haiwan di situ sambil berkelah.
Dipendek kan cerita, kami sekeluarga terus menempah tiga bilik untuk enam dewasa, tiga kanak-kanak. Sampai pada harinya, bergeraklah kami dari tiga tempat berbeza di Selangor iaitu Sungai Buloh, Setia Alam dan Puchong, memandu ke sana melalui Gombak, tidak sampai sejam sudah sampai di Misty Mountain.
Sesampai di kawasan tempat letak kereta, kami dijemput oleh Buggy yang membawa kami ke halaman padang, di kaki bukit Misty Mountain. Buat peringatan, siapa yang ingin ke sana, pastikan makan tengah hari dahulu kerana di Misty Mountain tidak ada kedai makan ataupun gerai. Seandainya mahu disediakan makanan, kena tempah awal.
Jadi, sampai di kawasan Rawat dan Rehat Karak pada tengah hari itu kami makan dahulu dan solat di surau, sampai di sana sedang elok dengan waktu untuk daftar masuk kira-kira 3 petang.
Selepas disambut pemiliknya dan diberikan penerangan ringkas, kami pun masuk bilik masing-masing. Sebelum itu kami diingatkan supaya jangan membiarkan pintu dan tingkap terbuka lama untuk mengelak daripada dimasuki serangga dan hidupan yang menjadikan kawasan sekitar habitatnya.
Perhatikan perbezaan, ini adalah rumah Hobbit yang sebenar yang terdapat di Hobbiton Movie Set, Mata Mata, New Zealand Utara. - Kredit Foto: Rashidah Ibrahim
Tiga bilik yang ditempah terletak berasingan, yang pertama di kawasan bawah bukit, yang kedua di pertengahan bukit (Rainforest) dan ketiga di atas bukit (Hobbit). Yang menginap di bilik Rainforest dan Hobbit perlu menapak ke atas bukit, mula-mula jalan landai, sehingga ke bilik Rainforest, dari Rainforest ke penginapan Hobbit, tanah semakin meninggi dan curam.
Sepanjang laluan, ada batu pijak disediakan untuk kemudahan menapak, justeru tidaklah terlalu sukar untuk mendaki hanya perlu melangkah berhati-hati, kerana keadaan tanah yang tidak rata. Perhatikan langkah betul-betul sewaktu mendaki tangga di celahan pokok, dalam 10-15 minit, dah pun sampai ke penginapan atas bukit.
Nampak saja bangunan Hobbit masing-masing teruja, terus bergambar. Terdapat empat bilik Hobbit di bangunan masing-masing, sederet, yang mana bilik airnya terletak di luar, unit penginapan lain semuanya bersekali bilik air. Di kawasan rumah Hobbit, terdapat pantry di bangunan tersendiri.
Beg bekalan makanan malam kami tinggalkan di pondok makan di kaki bukit, kerana tak kuasa nak usung naik ke atas bukit. Selepas solat maghrib, semua turun semula ke pondok makan untuk menikmati bekalan yang dibawa.
Kawasan kaki bukit menempatkan pondok makan, kolam renang, reban arnab dan padang permainan.
Hampir selesai makan malam, petugas di situ memasang unggun api (bonfire) untuk menceriakan suasana malam. Sempat pula anak-anak buat kejutan, mengeluarkan kek harijadi buat penulis. Diminta meniup lilin dan potong kek, hanya untuk gimik sambutan.
Bercuti di tempat sebegitu membawa bayi usia tiga bulan agak tidak sesuai tetapi emak dan ayahnya gigih bergilir menggendong ke sana sini. Si anak lelaki usia 3 tahun lagilah, lasaknya nak berlari ke sana ke mari, puas menghalang takut terjatuh, mujur yang usia 4 tahun lebih tu terkawal sikit kelakuannya.
Apa pun berbaloi juga bawa mereka, seronok dapat bermain dengan haiwan jinak, si anak kambing bernama Pipi. Kambing dewasa dan tua dikurung dalam kandang, selain ada juga arnab, ayam dan itik di kandang dan reban masing-masing.
Disediakan kegiatan memanah
Satu perkara perlu diingat, keluar bermain di kawasan berbukit dan berhutan seperti itu terutama pada malam hari, jangan lupa baca ayat pelindung untuk keselamatan kanak-kanak dan dewasa.
Pagi esoknya, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan itu, melawat kandang haiwan, dan menyertai kegiatan memanah di padang. Sayangnya bukan musim buah, kalau tidak mungkin dapat menikmati buah-buahan segar dari ladang. Bagi yang lasak dan berani, turut disediakan kegiatan berjalan malam. Untuk kami, tidaklah!
Demikian kisah percutian 2 hari 1 malam kami di Misty Mountain, yang memberikan kenangan suasana segar, dekat dengan alam dengan sedikit pengalaman petualang (adventurous). - KitaReporters
Padang luas tempat kegiatan unggun api (bornfire), berkelah, dan bermain. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim