ANGSI Bird Race 2024 mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat burung dan orang ramai dan ia memberi petanda baik untuk dimasukkan dalam aktiviti kalendar pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 26).

Walaupun pertama kali acara berkaitan burung itu diadakan di Negeri Sembilan, ia seperti memberi suntikan semangat baharu kerana peserta begitu teruja untuk mengambil bahagian selain menimba ilmu baru mengenai pertandingan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi, berkata walaupun acara bird race atau perlumbaan cari burung bukan baharu kepada peminat burung di dalam dan luar negara tapi masih ramai yang belum mengetahui secara mendalam mengenai pertandingan itu sehingga ada menganggap ia aktiviti "lumba burung". 

Peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah begitu tekun meneropong untuk mencari burung sempena Angsi Birdrace 2024 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Beliau berkata, apabila Angsi Birdrace 2024 diadakan di Ulu Bendul, peserta menganggap ia acara yang menarik kerana mereka perlu meredah hutan dan bekerjasama dalam pasukan untuk mencari spesies burung sama ada menggunakan pancaindera mata atau bantuan bino (binokular atau teropong).

"Saya gembira kerana Angsi Birdrace 2024 bukan saja menarik ramai peserta mengambil bahagian terutama pelajar sekolah tapi program itu membantu mempromosi produk ekopelancongan di Negeri Sembilan.

"Saya berharap aktiviti ini dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan bagi menarik lebih pelancong apatah lagi kita bakal menyambut Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) pada 2026," katanya di Majlis Perasmian Penutup Angsi Birdrace 2024 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Negeri Sembilan.  

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin; Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan) Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah; dan Setiausaha Majlis Daerah Kuala Pilah, Putra Hashim.    


Muhammad Sufian Maradzi


Angsi Birdrace 2024 mendapat kerjasama teknikal dari Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Wild Bird Club Malaysia (WBCM).

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Terbuka membabitkan 17 kumpulan, terdiri daripada pelajar matrikulasi Negeri Sembilan, wakil agensi kerajaan dan orang awam, manakala  27 kumpulan lagi bagi kategori sekolah menengah terdiri daripada 18 sekolah di Negeri Sembilan. 

"Saya yakin aktiviti ini dapat memberi pengetahuan dan pengalaman baru kepada peserta. Sebelum ini, aktiviti bird race diadakan di Bukit Fraser yang kini mencecah edisi ke-35, diikuti Taiping Bird Week, Perlis Bird Race, Suaka Burung Panti Bird Race.

"Melihat sambutan baik dalam kalangan peserta dari seluruh negeri, saya optimis Angsi Bird Race akan mendapat tempat di hati peminat burung di seluruh negara selain pemangkin bagi mengumpul data yang boleh digunakan kerajaan negeri bagi menentukan hala tuju pengurusan serta pembangunan sumber hutan negeri ini," katanya lagi. 


Program bird race amat sesuai dijadikan aktiviti masa lapang bersama keluarga selain dapat menghirup udara segar di hutan.


Muhammad Sufian difahamkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengadakan lima siri Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan sejak 2007. 

Ia bermula di Hutan Simpan Angsi, Gunung Besar Hantu dan Lembah Jemaloi (Hutan Simpan Kenaboi), Gunung Telapak Buruk (Hutan Simpan Berembun) dan Hutan Simpan Sungai Menyala. 

"Sebanyak lima siri seminar turut dilaksanakan dan ia menghimpun pelbagai pembentangan penemuan baharu dan hasil kajian sepanjang ekspedisi yang dijalankan.

"Negeri Sembilan boleh berbangga kerana mempunyai landskap kawasan hijau yang menarik. Data terkini, kawasan Hutan Simpanan Kekal seluas 155,086 hektar atau 23 peratus daripada keluasan tanah di negeri ini.

"Sebagai Hutan Hujan Tropika, ia  menjadi gedung-mega simpanan kepelbagaian biologi flora dan fauna yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. 

"Ia memiliki spesies flora seperti  alga, briofit, paku-pakis, gimnosperm, monokot dan dikot selain spesies fauna seperti mamalia, burung, amfibia, reptilia, ikan air tawar dan kumbang," katanya. 


Muhammad Sufian (kiri) bertanya sesuatu dengan Ismail Mamat (tiga dari kanan) dan Presiden NEST, Sulaiman Salikan (dua dari kanan) ketika mengunjungi reruai NEST sempena Angsi Birdrace 2024.


Muhammad Sufian (kiri) menerima penerangan mengenai Taman Eko Rimba, Panti, Kota Tinggi daripada petugas Jabatan Perhutanan Negeri Johor sempena Angsi Birdrace 2024.


Beliau berbangga kerana Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan banyak melaksanakan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam seperti Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Program Restorasi Hutan, Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot, Program Penanaman Pokok Bakau serta Central Forest.

"Inisiatif ini membantu  memberi kesedaran kepada masyarakat bagi memulihara khazanah hutan yang tidak ternilai ini untuk tempoh jangka panjang. 

"Sehingga kini, sebanyak 1,031,067 batang pokok telah ditanam menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Negeri Sembilan. Sasaran seterusnya ialah penanaman 1.5 juta pokok untuk tempoh 2021-2025.

"Di dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045, kerajaan negeri memfokuskan ekopelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan di Negeri Sembilan iaitu 60 peratus pelancongan pantai, 30 peratus ekopelancongan dan 10 peratus pelancongan warisan/budaya," katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pertubuhan Ekosistem Kelestarian Alam (NEST) sebagai pasukan teknikal yang berusaha memastikan Angsi Bird Race 2024 dijalankan dengan berjaya.  


Acara simbolik Kempen Penanaman 100 juta Di seluruh Negara sempena Angsi Bird Race 2024 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Sementara itu, Ketua Juri Angsi Birdrace 2024, Ismail Mamat, berpuas hati dengan jumlah peserta yang mengambil bahagian terutama kategori sekolah kerana setiap peserta begitu komited dan bersungguh-sungguh sepanjang acara itu diadakan selain mahu menimba ilmu baharu mengenai pelbagai spesies burung.

Beliau berkata, Angsi Birdrace 2024 adalah pendedahan yang baik bagi menarik minat orang ramai apatah lagi generasi muda untuk mengenali secara lebih dekat aktiviti itu walaupun bagi peminat burung ia adalah acara sinonim yang dijalankan di dalam dan luar negeri.

"Saya mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan kerana mengambil inisiatif menganjurkan Angsi Birdrace 2024, ia sesuatu pendedahan yang baik kepada masyarakat terutama dalam perkembangan acara berkaitan burung di negeri ini. 

"Maklum balas daripada peserta juga menggalakkan malah ada yang bertanya pelbagai soalan berkaitan burung termasuk acara seperti itu yang akan diadakan lagi kerana mereka berminat untuk mengambil bahagian," katanya.


Ismail Mamat


Bagi kategori terbuka, pasukan Malkoha muncul juara dengan jumlah 51 spesies burung, sekali gus menggondol wang tunai RM1,000 , tempat kedua dengan hadiah RM700 dimenangi The Punai (48 burung) dan ketiga, Keluarga Burung Panti (47 burung) menerima hadiah RM400.

Bagi kategori sekolah pula, tempat pertama dimenangi  Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban yang berjaya mengumpul 30 spesies burung, sekali gus menerima wang tunai RM600, tempat kedua juga dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani yang menggondol wang tunai RM400 dan tempat ketiga ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu, Kuala Klawang, meraih wang tunai RM250. 

Pemenang sagu hati bagi kategori terbuka menerima wang tunai RM200, manakala bagi kategori sekolah masing-masing menerima RM150.  


Pasukan Malkoha muncul juara bagi kategori Terbuka sempena Angsi Birdrace 2024.


Ismail yang juga Timbalan Presiden NEST, berkata ada empat check point disediakan di kawasan Taman Eko Rimba Ulu Bendul selain di kawasan pendakian ke Gunung Angsi tapi bagi kategori sekolah, mereka hanya perlu mendapat pengesahan di tiga check point saja.

"Semua penyertaan untuk Angsi Birdrace 2024 adalah percuma dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan turut menyediakan penginapan, makan dan minum sepanjang program, manakala kemudahan bino dibekalkan NEST.

"Memang menarik Angsi Birdrace 2024 walaupun ia sekadar acara percubaan untuk melihat maklum balas orang ramai tapi usaha itu berhasil. 

"Insya-Allah jika aktiviti ini dijalankan lagi seperti yang dicadangkan di Hutan Simpan Kenaboi pada  tahun depan (2025), dan saya yakin sambutannya akan lebih hebat apatah lagi menjelang sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan pada 2026," katanya. - KitaReporters


Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Seremban menang tempat pertama Angsi Birdrace 2024 bagi kategori sekolah menengah. 

15
4
0
7
0

Copy Link: