TUNGGU APA?? BALIKLAH CEPAT ATLET DI AS, UK!!
Published byRANCANGLAH awal dan lekaslah pulang ke tanah air! Mesej ini ditujukan terutama kepada 12 atlet dari Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan dua di United Kingdom (UK) ekoran penularan wabak maut penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19) sekarang. : KitaReporters
REEZAL Merican Naina Merican. - Kredit foto FAM
Langkah segera pulang itu disarankan oleh Kementerian Luar sebelum kedua-dua negara Barat ini mengenakan perintah berkurung sepenuhnya (total lockdown), sekali gus bakal menggantung semua penerbangan komersial.
Nasihat berkenaan disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut memanjangkannya menerusi siaran media pada Isnin, 30 mac 2020.
“Menteri Luar (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah menasihati agar rakyat Malaysia di dua negara (Amerika Syarikat dan UK) membuat perancangan awal untuk balik ke Malaysia sebelum ‘lockdown’ (perintah berkurung) dan semua penerbangan komersial mungkin diberhentikan.
“(Selain mereka) atlet-atlet dari Malaysia yang kini berada di 11 lagi negara seperti di Thailand (15 orang), Australia (tujuh), Jerman (tiga), Jepun (dua), manakala seorang di setiap negara seperti Kanada, Sweden, Perancis, Switzerland, Singapura, Taiwan dan Indonesia.
“Mereka dan keluarga mereka turut dinasihatkan untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini atau sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan,” kata Reezal.
Beliau menambah, kesemua 48 atlet berkenaan termasuk atlet profesional dan atlet-atlet yang bernaung di bawah persatuan-persatuan sukan kebangsaan atau negeri yang kini berada di luar negara berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Daripada jumlah tersebut, 25 atlet terlibat dalam Program Podium (renang, berbasikal, olahraga, muay Thai dan golf), manakala 23 orang di luar Program Podium (lawan pedang, hoki ais, bola sepak, luncur ombak, mendayung, luncur ais, golf, papan selaju dan ragbi),” katanya.
KELAYAKAN Piala Dunia/Piala Asia: Malaysia (kuning) melawan Vietnam di Bukit Jalil antara yang terpaksa dijadualkan semula dari 31 Mac 2020. - Kredit foto FAM
Jelas Reezal, antara sebab atlet-atlet tersebut masih berada di luar negara ialah mengikuti pengajian tinggi atau bersekolah iaitu seramai 16 orang.
“Sembilan lagi mewakili kelab luar negara sebagai atlet profesional, 15 atlet sedang mengikuti latihan atau menyertai pertandingan, tujuh lagi pemastautin tetap dan seorang sedang bercuti,” jelasnya.
Katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan-persatuan masing-masing telah pun berhubung dengan atlet-atlet tersebut untuk mengetahui perkembangan dan keadaan mereka.
“Kedua-dua pihak ini juga telah menasihati mereka agar mematuhi perintah dan arahan yang dikuatkuasakan di negara-negara yang masing-masing berada,” katanya.
Institut Sukan Negara (ISN) pula ujarnya, turut akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet Program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah dalam talian (online).
“ISN juga akan menasihati para jurulatih dan atlet-atlet untuk membuat pengubahsuaian terhadap program latihan atlet dalam mengekalkan kecergasan, fokus dan motivasi mengikut kesesuaian di negara-negara terbabit,” katanya.
Walau bagaimanapun Reezal menyedari, perkembangan Covid-19 di luar negara mungkin berubah dari semasa ke semasa, justeru kementerian dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan-persatuan sukan akan sentiasa memantau perkembangan dan keperluan semasa.
“Kami juga bersedia untuk membantu atlet-atlet Malaysia di luar negara untuk pulang ke tanah air sekiranya keadaan memerlukan,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Luar dari 2015 hingga 2018.
SAINGAN Divisyen Perdana ARC di Bukit Jalil pada Mei dan Jun 2020, menentang Korea Selatan dan Hong Kong juga ditunda.
Ketika ini termasuk beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara dari 18 Mac hingga 14 April 2020, banyak kejohanan besar sukan popular ditangguhkan dan ditunda ke tarikh yang belum dapat dipastikan.
Antaranya yang sudah berlangsung atau terpaksa dijadualkan semula gara-gara Covid-19 ialah bola sepak Liga Malaysia (Super dan Perdana) dan Piala FA, Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Liga Futsal Perdana Malaysia (MFPL), badminton Terbuka Malaysia, Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.
MFPL hanya sempat berlangsung dalam minggu pertama malah terpaksa dimainkan tanpa penonton gara-gara Covid-19 sebelum ditangguhkan terus. - Kredit foto: FAM