PEMBUKAAN lebih banyak PPV akan memudahkan orang ramai mendapat suntikan dengan lebih mudah.  - Kredit foto: Sinar Harian


KERAJAAN menyasarkan untuk membuka kira-kira 600 pusat pemberian vaksin (PPV)  di seluruh negara menjelang hujung 2021 ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ketika ini, ada sebanyak 357 PPV di seluruh negara termasuk tiga PPV berskala mega iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di Shah Alam.

"Kita akan terima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini, jadi bilangan PPV akan ditambah di seluruh negara bagi memudahkan suntikan vaksin.

"Pertambahan PPV akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat supaya lebih ramai orang dapat diberikan vaksin demi mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang hujung tahun ini," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian, Khamis, 3 Jun 2021.

Katanya lima PPV berskala mega akan mula beroperasi di sekitar Lembah Klang bermula 7 Jun ini iaitu tiga di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur yang mampu memberi antara 2,000 hingga ke 8,000 suntikan setiap hari.

"Kita juga memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan vaksinasi termasuk PPV sementara memandangkan kita akan menerima lebih banyak bekalan vaksin bermula bulan ini," ujarnya.

Dalam masa sama beliau berkata, selain PPV kekal, kerajaan juga akan mewujudkan PPV bersifat sementara seperti PPV masjid yang bakal dilaksanakan di Terengganu dalam masa terdekat sebagai projek perintis. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Pembukaan PPV akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mandapat suntikan. Kredit Astro Awani. 

 

0
0
0
0
0

Copy Link: