Video| Gajah liar musnahkan tanaman penduduk Kpg Tenang! Ditangkap Perhilitan selepas 2 minggu!
Published byAnggota UTG Perhilitan memeriksa jejak gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Tenang, Labis, Johor. - Kredit foto-foto: Perhilitan
SELEPAS hampir dua minggu penduduk Kampung Tenang, Labis di Johor berusaha menghalau gajah liar yang memasuki kawasan kebun dan memusnahkan tanaman mereka, akhirnya seekor gajah jantan berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama penduduk kampung.
Ketua Kampung Tenang, Ismail Abu Bakar, 64, berkata ancaman haiwan liar tersebut yang memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk seperti kelapa sawit dan pisang mula dikesan pada 15 Mei 2021 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gajah
Gajah Jantan yang memasuki kawasan kebun dan memusnahkan tanaman penduduk Kampung Tenang, Labis berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan.
"Selain melaporkan ancaman tersebut kepada pihak Perhilitan, penduduk kampung mengambil inisiatif mewujudkan satu jawatankuasa bertindak untuk berkawal di kawasan terlibat yang bertujuan menghalau haiwan liar tersebut.
“Kira-kira 30 penduduk terdiri daripada pemilik kebun terbabit serta Ahli Jawatankuasa JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) yang dibahagikan mengikut kumpulan seramai enam orang setiap kumpulan ditugaskan membuat rondaan setiap malam sebelum disertai kakitangan Perhilitan,” katanya.
Kredit video: Perhilitan
Katanya, serangan gajah liar itu berlaku pada awal pagi sekitar pukul 3 atau 4 pagi ketika penduduk penduduk sedang tidur memaksa sebahagian besar penduduk bersama pemilik kebun berkawal sepanjang malam menghalau haiwan tersebut menggunakan mercun.
Menurut Ismail, akibat pencerobohan gajah tersebut, penduduk mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah RM48,000 berikutan kemusnahan tanaman mereka.
“Sebelum ini Perhilitan ada memasang pagar elektrik di sempadan kawasan hutan dan kampung, namun sejak kebelakangan ini didapati pagar tersebut gagal berfungsi dengan baik menyebabkan gajah liar tersebut memasuki kawasan kebun penduduk yang berhampiran kawasan hutan.
Penduduk kampung diberi taklimat mengenai langkah-langkah keselamatan oleh kakitangan Perhilitan sebelum membuat rondaan di kawasan kebun penduduk kampung. - Kredit foto: Perhilitan
“Diharap dengan tertangkap gajah liar ini dan tindakan Perhilitan yang berjanji akan melantik kontraktor untuk menyelengara pagar elektrik tersebut dalam tempoh terdekat akan dapat menyelesaikan masalah ancaman gajah liar yang sudah lama tidak berlaku di kampung kami,” katanya.
Ismail berkata, kerja-kerja pemindahan gajah liar tersebut akan dilakukan sebaik pihak Perhilitan membawa gajah denak dari Temerloh, Pahang yang mungkin mengambil masa satu atau dua hari.
Untuk rekod, pada tahun 2009, sejumlah 12 ekor gajah liar berjaya ditangkap oleh Perhilitan dan dipindahkan ke Pusat Santuari Gajah di Hulu Terengganu dan sejak itu tiada ancaman gajah liar kepada tanaman penduduk.
Penduduk kampung dan kakitangan Perhilitan membuat persiapan mengumpul pisang hutan sebagai makanan gajah denak yang akan sampai dari Temerloh, Pahang.
Sementara itu, seorang penduduk, Herman Abdullah, 42, yang turut mengalami kerugian akibat kemusnahan tanaman melahirkan rasa lega dengan tertangkapnya gajah tersebut.
“Selepas ini kami penduduk kampung tidak perlu lagi berdepan risiko diserang oleh gajah liar semasa membuat rondaan pada waktu malam di sekitar kawasan kebun penduduk, sekali gus boleh memanfaatkan waktu tersebut bersama keluarga.
“Kami penduduk kampung juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Perhilitan yang mengetuai dan menjadi tulang belakang kepada usaha menangani masalah ancaman gajah liar ini,” katanya. - KitaReporters
Herman Abdullah