Lebih 10,000 penduduk Nyior Chabang dan sekitarnya mendapat manfaat dengan pembukaan Klinik Kesihatan Nyior Chabang pada 11 November 2024.

Majlis pembukaan rasmi klinik ini disempurnakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr. Mansor Ismail.

Bangunan baru ini direka khas untuk memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pesakit yang mendapat rawatan di klinik ini nanti.

Antara kemudahan yang terdapat di Klinik Kesihatan Nyior Chabang ini ialah bilik kecemasan, bilik rawatan, bilik unit kesihatan keluarga, bilik farmasi, bilik penolong pegawai perubatan, stor dan tandas. 




Pastinya pesakit yang mendapat rawatan di klinik kesihatan ini selesa dengan ruang menunggu yang dilengkapi dengan penghawa dingin dan asas struktur bangunan yang dibina dengan berkonsepkan raft foundation yang direka oleh jurutera profesional Ir Wan Abdul Rahim. 

Dengan keluasan keseluruhan 2,080 kaki persegi, Klinik Kesihatan Nyior Chabang kini bersedia memberi perkhidmatan kesihatan yang mesra dan efisien untuk pesakit.

Projek naik taraf klinik desa kepada klinik kesihatan ini menelan belanja sebanyak RM500 ribu dengan tempoh pelaksanaan selama 22 minggu, bermula pada 5 Mei 2024 dan siap sepenuhnya pada 5 Oktober 2024. 

Peruntukan bagi naik taraf ini adalah di bawah Rancangan Boleh Pinda atau Rolling Plan Empat (RP4) susulan lawatan mantan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.

Semoga klinik ini dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum kepada pesakit, sekali gus mengurangkan kesesakan pesakit di Klinik Kesihatan Padang Matsirat nanti. - KitaReporters



15
14
0
18
0

Copy Link: