Mohd Norazly melihat gambar sebagai panduan untuk menghasilkan replika gajah yang pertama di Pahang. - Kredit foto-foto: Mohd Rafi Mamat
BESI buruk memang banyak kegunaannya.
Bukan sekadar dikitar semula tetapi juga digunakan kembali untuk menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif dan berinovasi. Hanya yang arif bijak menilai kelebihan dan keistimewaan besi buruk ini.
Siapa sangka besi buruk boleh digunakan untuk menghasilkan replika haiwan yang pastinya menarik minat orang ramai untuk melihatnya dengan lebih dekat.
Ini terbukti apabila bahan terbuang daripada alat ganti motosikal dan kereta terbuang telah digunakan sebaik mungkin oleh Mohd Norazly Mohamad, 40, apabila berjaya menghasilkan 'gajah' seberat 600 kilogram dengan ketinggian kira-kira 2.1 meter! Berat betul replika gajah ni!
Bahan besi buangan lain yang turut digunakan termasuk spanar boleh laras, playar, parang, pisau menoreh getah, penutup tangki minyak dan pelapik skru.
Mohd Norazly berjaya menghasilkan replika gajah seberat 600 kilogram daripada alat ganti motosikal dan kereta terbuang.
Walaupun tidak memiliki kemahiran khusus dalam pembuatan seni kreatif ini, ia bukan penghalang kepada Mohd Norazly menyahut cabaran rakannya lebih-lebih lagi ia bertujuan untuk dijadikan bahan pameran di Taman Tema Kubang Gajah, Temerloh.
Menurutnya, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk menghasilkan replika berkenaan yang dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu membuat lakaran diatas lantai dan kertas; membentuk rangka menggunakan besi bulat R6 dan R10 dan melekatkan bahan terbuang seterusnya mengecat.
Mohd Norazly juga mengambil masa seminggu untuk menghasilkan rangka replika gajah dan proses cantuman 100 peratus menggunakan kimpalan jenis MIG (Metal Innert Gas Welding) ataupun dikenali sebagai Kimpalan Logam Gas Lengai.
"Selepas rangka terbentuk proses seterusnya melekatkan bahan terbuang, 80 peratus menggunakan pelbagai alat ganti motosikal dan kereta bersaiz kecil serta sederhana yang diperbuat daripada besi.
"Paling banyak digunakan ialah alat ganti motosikal seperti rantai, tongkat, spoket dan 'gear' pijak. Alat ganti kereta antaranya pelapik dan komponen brek dan kereta," katanya yang menetap di Felda Lepar Hilir 2, Kuantan.
Mohd Norazly menggunakan cat pengilat atau 2K sebanyak dua liter menggunakan kaedah semburan.
Mohd Norazly turut mendapat bantuan daripada enam rakannya yang membantunya mendapatkan alat ganti motosikal dan kereta terpakai selain turut berkongsi idea bagi memberi hasil yang paling memuaskan.
"Saya menggunakan lebih 500 kilogram besi terbuang yang dibekalkan oleh beberapa rakan yang diperoleh daripada bengkel kenderaan di Temerloh," katanya.
Beliau berkata, perasaan gementar sentiasa bermain dalam diri sepanjang proses menyiapkan replika gajah berkenaan kerana bimbang tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan kerana baru kali pertama menghasilkan produk seperti itu.
Mohd Norazly mengambil masa tiga minggu untuk menghasilkan replika gajah daripada besi terbuang.
Mohd Norazly berkata, sebelum ini dia hanya terbabit menghasilkan pelbagai peralatan perkilangan dalam sektor perladangan kelapa sawit termasuk rangka traktor walaupun memiliki kemahiran dalam bidang pertukangan besi selama 17 tahun.
Katanya, dia sering kali 'bersembang' dengan replika gajah itu untuk menghilangkan debaran sepanjang menyiapkan kerjanya itu dan dianggap berjaya walaupun kelihatan agak kurang sesuai. Selalu orang bercakap dengan pokok, dia sembang dengan besi buruk!
Mohd Norazly mengambil masa antara lapan hingga 10 jam sehari selama tempoh itu untuk menyiapkan replika berkenaan.
"Saya terpaksa bekerja hingga lewat malam untuk menyiapkannya kerana ramai yang melihat hasil kerja saya dan tidak sabar untuk bergambar sebagai kenangan.
"Untuk memberi hasil yang lebih menarik, tahan lebih lama, kemas dan kelihatan 'cantik', saya menggunakan dua liter cat jenis pengilat atau 2K secara semburan," katanya.
Mohd Norazly menggunakan pelbagai jenis alat ganti motosikal dan kereta untuk menghasilkan replika gajah.
Mohd Norazly berkata, kos menghasilkan replika gajah berkenaan di antara RM10,OOO hingga RM15,000 dan faktor harga besi yang mahal ketika ini menyebabkan harganya dianggap tinggi. Harga besi buruk juga kini mencecah RM3 sekilogram.
"Saya difahamkan replika yang saya hasilkan merupakan yang pertama di Pahang dan mungkin juga di Malaysia. Saya bercadang menghasilkan lebih banyak replika haiwan bersaiz besar seperti badak, kuda, dinasor, lembu dan kerbau sekiranya mendapat tempahan," katanya.
Mohd Norazly menggunakan kimpalan jenis Arka Tungsten Gas Lengai (TIG) untuk menghasilkan replika gajah.
Menurutnya, replika haiwan yang dihasilkan daripada besi terbuang sudah terkenal di Thailand bagi tujuan hiasan di taman permainan dan kediaman dan kini menjadi produk pelancongan terkenal di sana.
"Saya berharap produk ini dapat diterima di negara ini pada masa akan datang kerana ia satu cabang seni kraf tangan yang sangat kreatif," katanya.
Jom sokong usaha murni Mohd Norazly dan mereka yang miliki kemahiran bolehlah mula cari besi buruk untuk hasilkan lebih banyak replika haiwan. Wujudkan semula 'pandai besi' yang begitu popular suatu masa dahulu. - KitaReporters
Kanak-kanak tidak melepaskan peluang melihat lebih dekat replika gajah.