Berita Terkini| Tiada rentas negeri! Namun Lebuh Raya KLK, LPT1 siap sedia kendali balik raya!
Published byPENGENDALI Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Anih Berhad bersedia mengurus operasi tol, trafik dan fasiliti di lebuh raya itu walaupun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan menjelang perayaan Aidilfitri kali ini.
Anih menjangkakan purata harian trafik di KLK mencecah
70,180 kenderaan dan 40,250 kenderaan di LPT1 bermula Sabtu, 15 Mei hingga 17
Mei 2021.
Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik
Hussein berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengguna lebuh raya
terutama di Pahang dapat menikmati perjalanan yang selesa ketika merentas
daerah melalui KLK dan LPT1.
Menurutnya, pihak konsesi akan memastikan kemudahan
lebuh raya seperti di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah,
perkhidmatan tol dan trafik sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi
sebarang kemungkinan.
"Bagi membendung penularan wabak Covid-19, semua
fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard
(SOP) norma baharu yang ditetapkan.
"Pengguna lebuh raya dinasihati sentiasa mematuhi
SOP yang telah ditetapkan terutama ketika menggunakan kawasan R&R dan Hentian
Sebelah," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat, 7 Mei 2021.
Nik Fauzi berkata, sebagai tanggungjawab sosial
korporat syarikat (CSR) pihaknya menyediakan pelitup muka percuma yang akan
diedarkan kepada pengguna di semua Pusat Khidmat Pelanggan di sepanjang KLK dan
LPT1 bermula pada Isnin, 10 Mei ini.
Pengguna juga dinasihatkan memastikan baki kad dan
e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
"Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke
kios layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah
dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK, R&R Temerloh
Timur, R&R Temerloh Barat dan Plaza Tol Gambang bagi LPT1.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web Anih Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan
Facebook LPT1 Timur," katanya.
Menurutnya, sebarang kecemasan boleh menghubungi
talian 24 jam LPT Line menerusi 1-700-818-700 atau 09-5479 111. -KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter