Berita Terkini| Tiada stesen LRT ditutup! Hanya premis perniagaan di 3 stesen ditutup - MOT!
Published byKementerian Pengangkutan memaklumkan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang terbabit adalah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral. - Kredit foto: Wikipedia
SEMUA perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang disenaraikan bawah Sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) beroperasi seperti biasa.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang terbabit adalah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.
“Perkhidmatan pengangkutan awam penting terutama kepada petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Justeru semua stesen pengangkutan awam perlu terus beroperasi bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan, stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu selain penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Ahad, 9 Mei 2021.
Bagaimanapun katanya, premis perniagaan di stesen yang terbabit akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini, Ahad, 9 Mei sehingga 11 Mei ini mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, sebarang penutupan atau pembukaan semula premis perniagaan tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.
Kementerian Pengangkutan turut mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal.
"Ini termasuk menggunakan cecair pembasmi kuman,
memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas
kod MySejahtera," katanya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
KEMENTERIAN Pengangkutan memaklumkan sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan tertakluk kepada arah MKN. - Kredit foto: Berita Harian