Oleh SUHARNE ISMAIL

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) 


Secara amnya, kecuaian adalah perlanggaran kewajipan untuk berhati-hati dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Kemudaratan termasuk kecederaan diri, kerosakan kepada harta benda dan juga kerugian ekonomi. 

Kecuaian perubatan atau medical negligence pula adalah satu konsep undang-undang yang timbul apabila pusat perubatan (hospital/klinik) dan pengkhidmatnya (doktor, jururawat dan sebagainya) gagal menyediakan tahap penjagaan standard yang mengakibatkan kecederaan kepada pesakit. 

Kecuaian perubatan boleh berlaku dalam banyak situasi seperti:

  • Gagal mendiagnosis penyakit dengan tepat walaupun pesakit menunjukkan simptom yang boleh diuruskan dengan cekap dan munasabah oleh doktor professional;
  • Preskripsi ubat atau pemberian dos yang salah menyebabkan kesan sampingan kepada pesakit;
  • Kecuaian semasa prosedur pembedahan atau semasa proses kelahiran;
  • Penangguhan rawatan (delay in treatment);
  • Rawatan psikiatri.
Kecuaian perubatan adalah juga melibatkan rawatan yang sepatutnya tidak diberi (thing that have not been done) atau kegagalan memberitahu risiko-risiko rawatan yang dicadangkan.
Apabila berlaku kecuaian perubatan, pesakit mempunyai hak untuk membawa tuntutan terhadap pusat perubatan dan pengkhidmatnya (doktor, jururawat dan sebagainya). Bagi membolehkan tuntutan kecuaian perubatan berjaya, pesakit perlu membuktikan elemen-elemen kecuaian perubatan wujud. 

Gambar hiasan


Terdapat elemen kecuaian perubatan yang perlu dibuktikan oleh pesakit:

Pertama ialah tugas berhati-hati (duty of care) iaitu kewajipan pusat perubatan atau pengkhidmatnya untuk memastikan pesakit mendapat rawatan yang wajar serta diktiraf oleh badan perubatan. Pesakit perlu dimaklumkan dan faham tentang jenis-jenis rawatan serta kesan-kesan sampingan sesuatu rawatan. 
Kedua, perlanggaran tugas berhati-hati (breach duty of care). Ini berlaku apabila doktor telah gagal mencapai standard piawaian perubatan yang sepatutnya atau bertindak secara tidak wajar. 
Ketiga pula ialah punca atau penyebab (causation) di mana pesakit perlu membuktikan bahawa tindakan doktor tersebut adalah menjadi punca langsung (direct cause) kecederaan atau bahaya kepada pesakit. 

Dalam erti kata lain kecuaian doctor tersebut menjadi sebab kepada berlaku kecederaan yang lebih serius kepada pesakit. Dalam situasi ini, keterangan pakar perubatan diperlukan untuk menyokong hujah bahawa kecuaian doktor adalah penyebab berlakunya kecederaan.

Keempat, pesakit mengalami kerugian atau kecederaan (damages) akibat kecuaian perubatan tersebut. Ini adalah termasuk kecederaan fizikal, kerugian kewangan seperti kehilangan pendapatan, kesedihan mental atau trauma (post-traumatic stress disorder) atau tekanan emosi. 

Tempoh had masa untuk membawa tuntutan bagi kecuaian perubatan:

Seksyen 6(1)(a) Akta Had Masa menetapkan bahawa tuntutan kecuaian mesti difailkan dalam tempoh enam (6) tahun dari tarikh perbuatan cuai berlaku atau enam (6) tahun selepas tarikh kecederaan itu timbul. 

Had masa ini hanya terpakai jika tuntutan adalah terhadap institusi perubatan swasta atau doktor perubatan swasta. Dalam erti kata lain, selepas enam (6) tahun, mana-mana pihak adalah dihalang daripada membuat tuntutan.

Bagi pihak yang membawa tuntutan ke atas pusat perubatan awam, Akta Pihak Berkuasa Awam 1948 yang mengawal tindakan terhadap hospital kerajaan dan penjawat awam menetapkan tempoh had masa hanya tiga (3) tahun dari tarikh kecuaian atau kecederaan berlaku. 

Tuntutan kecuaian perubatan juga boleh dibawa oleh waris bagi pihak si mati jika kematian pesakit berpunca daripada perbuatan cuai. Seksyen 7, Akta Undang-undang Sivil 1956 menyatakan bahawa waris mempunyai masa tiga (3) tahun untuk memfailkan tuntutan kecuaian perubatan di mahkamah bagi mendapatkan pampasan untuk si mati.



Remedi undang-undang yang boleh diberikan oleh mahkamah dalam kes kecuaian perubatan:

Di Malaysia, mangsa untuk kecuaian perubatan mempunyai beberapa cara perundangan yang boleh digunakan. Kebiasaannya mahkamah akan memberi ganti rugi am atau ganti rugi khas. 

Ganti rugi am diberikan untuk kecederaan fizikal atau mental seperti kesakitan, penderitaan, kesedihan emosi atau kematian.

Manakala ganti rugi khas diberikan oleh mahkamah untuk setiap kerugian kewangan pada masa sebelum kecederaan berlaku dan pada masa hadapan. Ini termasuklah kos perubatan, kos rawatan perubatan susulan, kos jagaan dan kos kelengkapan perubatan.

Walau bagaimanapun, jumlah ganti rugi adalah mengikut budi bicara mahkamah dan bergantung kepada keadaan setiap kes.

Seperti dalam kes Nur Adeena bt Mohd Syahmir lwn Kerajaan Malaysia & Ors [2023] 10 MLJ 580, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan Malaysia selaku Defendan untuk membayar pampasan sebanyak RM5.6 juta atas kecuaian perubatan sebuah hospital kerajaan. 

Mangsa (Plaintif) di dalam kes ini dilahirkan secara Caesarean pada 12 Mei 2020 telah mengalami kecederaan saraf tunjang kerana komplikasi ketika pembedahan. Siasatan mendapati bahawa pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan caesarean dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.

Akibatnya plaintif telah lumpuh dari leher ke bawah dan plaintif bergantung kepada ventilator serta dipasang trakeostomi (tebukan di leher). 

Plaintif melalui bapanya telah memfailkan saman kecuaian perubatan terhadap kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan yang bertugas semasa kelahirannya. 

Mahkamah di dalam kes ini memutuskan bahawa jumlah ganti rugi yang diberikan adalah sesuatu yang amat perlu memandangkan ia adalah sebagai perbelanjaan yang akan ditanggung oleh penjaganya. Juga terdapat keterangan pakar menyatakan bahawa jangka hayat plaintif hanya sehingga usianya 23 tahun sahaja. 

Juga terdapat kes cuai khatan di mana mahkamah memberi ganti rugi sebanyak RM3.1 juta kepada seorang remaja (plaintif) kerana proses berkhatan ketika berusia 10 tahun adalah tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. 

Pegawai perubatan telah cuai apabila alat sulit atau ‘glans penis’ plaintif terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan dengan segera oleh pegawai perubatan berkenaan. 

Ibu bapa plaintif hanya dimaklumkan yang saluran kencing anaknya telah terpotong. Akibat kecuaian tersebut, plaintif bukan sahaja mengalami kecacatan kekal tetapi telah kehilangan keyakinan diri.


Gambar hiasan


Oleh itu sebelum memulakan sesuatu tindakan ke atas pihak yang melakukan kecuaian, dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kecederaan, laporan perubatan, ujian diagnostik, dan resit-resit bayaran perlu dikemukakan kepada pihak peguam. Kes kecuaian perubatan boleh menjadi mencabar kerana ia bergantung kepada bukti perubatan yang jelas. 

Peguam akan berhubung dengan pakar perubatan yang kepakarannya selari dengan bidang perubatan di mana kecuaian berlaku sebelum tuntutan saman difailkan. Laporan akan dikeluarkan oleh pihak pakar perubatan selepas penilaian mendalam dilakukan ke atas kecederaan yang dialami. 

Justeru, mangsa (pesakit) perlu memberi segala bukti kukuh untuk menyokong tuntutan kecuaian perubatan berjaya di mahkamah dan mendapat pampasan yang sepatutnya.

Sebagai alternatif, pesakit juga boleh membuat aduan dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sebuah badan berkanun yang mengawal selia amalan perubatan di Malaysia. Mereka mempunyai kuasa menjalankan siasatan serta membuat sekatan, menggantung atau membatalkan lesen pengamal perubatan yang didapati cuai.
Kesimpulannya, adalah penting untuk mengambil maklum bahawa kecuaian perubatan adalah salah satu daripada konsep undang-undang yang memberi hak kepada mangsa (pesakit) untuk membawa tuntutan ke atas pusat perubatan, pengkhidmatnya atau pengamal perubatan. 

Di Malaysia, terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan yang mengawal selia amalan perubatan dan penjagaan kesihatan bagi memastikan kesejahteraan pesakit terjamin.


Suharne Ismail ialah Pensyarah, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

14
10
0
16
0

Copy Link: