MELANGKAH masuk ke ladang buah tin yang terletak Kuala Kubu Bharu, Selangor ini seperti bermimpi kerana buah syurga yang hanya banyak diperoleh di negara Timur Tengah ini mampu hidup segar di negara kita.

Malah, merasai sendiri memetik buah tin yang masak dan ranum ini pasti membuatkan ramai yang akan jatuh cinta  dengan buah tin yang tumbuh segar di negara sendiri.


Lagi kisah menarik berkaitan usahawan muda berjaya




Percubaan menarik petani moden ini telah membuka lembaran baharu kepada Mohamad Hafidz Arifin untuk menjadi usahawan pertama di negara yang terlibat dalam penanaman buah tin.

Memulakan kerja-kerja tanaman buah tin sebagai hobi membuatnya tidak mahu pandang ke belakang lagi dan terus melangkah walaupun mengetahui ‘perjalanan’ dipilih mempunyai cabaran tersendiri.

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) kini boleh menarik nafas lega selepas memulakan langkah dalam dunia tanaman buah tin pada 2019 sudah membuahkan hasil.



Kini hampir 2,000 pokok buah tin tumbuh segar di rumah hijau yang dilindungi cuaca dan serangga perosak di ladang yang terletak di Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu.

Dibantu oleh lima pekerja yang juga anak tempatan dari Felda tersebut membuatkan Hafidz kini berjaya mengutip 50 kilogram buah tin sehari sehingga tidak cukup tangan melayan permintaan daripada banyak pihak.

Malah, turut menyimpan hasrat untuk memperluaskan tanaman dan berhasrat menjadi peladang buah tin yang terbesar di negara.



Pemilik kepada Ladang Buah Tin Afta Benifigs kini dalam proses menambahkan lagi rumah hijau yang dijadikan tapak untuk penanaman buah tin.

Permintaan yang tinggi mendorong untuk menambahkan pengeluaran selain berhasrat untuk mengutamakan pasaran tempatan sebelum eksport ke negara-negara jiran.

Katanya, penanaman buah tin yang kaya dengan khasiat khusus untuk kesihatan ini tidak banyak kerenah asalkan  mempunyai cahaya yang mencukupi membolehkan tanaman ini tumbuh segar.



“Peluang yang ada di negara kita yang mempunyai cuaca panas sepanjang tahun tidak perlu dilepaskan dan saya sendiri telah membuktikan tanaman ini boleh pergi jauh sekiranya diberikan tumpuan yang serius,” ujar anak muda ini yang memulakan penanaman buah tin di Janda baik, Pahang, sebelum mengembangkan tapak tanamam di lokasi terkini yang mempunyai keluasan yang lebih luas.

Malah anak muda yang pernah berkecimpung dalam dunia minyak dan gas di beberapa tempat di luar negara ini juga berkata, ladangnya dibuka kepada umum dan memberi peluang kepada pengguna untuk merasai pengalaman memetik buah tin yang segar dari pokok. 

“Kalau sebelum ini kita hanya berpeluang memetik strawbery di Cameron Highland kini buah tin juga boleh dipetik dan dimakan secara terus dari ladang,” kongsinya yang turut membuat kursus dan ceramah untuk penanaman buah tin.



Hafidz pada masa sama turut mempelbagaikan produk jualan yang bukan hanya terhad kepada  jualan buah tin sahaja.

‘Kita juga mempelbagaikan produk  jualan termasuklah teh buah tin yang diproses segar daripada daunnya dan kini dalam proses untuk menghasilkan jem buah tin dan juga sambal buah tin yang boleh dimakan bersama nasi lemak,” kongsinya yang turut menjual anak pokok buah tin.

katanya produk pertanian yang dilakukan kini semuanya adalah hasil usaha sendiri, hasil penyelidikan dan bacaan di Internet.

Namun anak muda ini berharap supaya dapat bekerjasama dan diberi panduan dengan agensi-agensi  pertanian di negara ini bagi membolehkan membolehkan dia terus maju.



Hafidz berkata, peluang yang ada dengan keadaan panas sepanjang masa tidak boleh dilepaskan dan situasi berkenaan membuka peluang untuk negara kita menjadi pengeluar buah tin terbesar di dunia sekiranya diberi jalan selain penekanan yang serius oleh pihak berwajib.

"Kalau di Turki pengeluarannya hanya terhad kepada empat bulan disebabkan faktor cuaca pun mereka boleh  menjadi pengeluar terbesar dunia, jadi kita yang mempunyai cuaca baik sepanjang tahun pula tidak mahu menggunakan peluang yang ada ini adalah satu kerugian besar," kongsinya.

Inilah contoh anak muda yang berwawasan dan memiliki impian yang besar dan sanggup melepaskan kerjaya selesa demi berbakti kepada tanah.

Semoga usaha keras itu nanti bukan sahaja menguntungkan tapi mampu  jana pendapatan negara melalui eksport buah tin ke seluruh dunia suatu hari nanti.

Kita sebagai rakyat yang sayangkan negara tercinta, apa lagi jomlah sokong usaha keras anak tempatan ni. Kalau bukan kita yang bantu siapa lagi... jomlah pergi ladang rasai sendiri pengalam petik buah tin! - KitaReporters



12
13
0
11
0

Copy Link: