COVID-19: JURUTERBANG PUN HILANG SAYAPNYA
Published byADA ‘sayap’ tetapi tidak boleh terbang. Kerana tidak boleh terbang membelah awan biru, pendapatan pun turut ‘terbang’. Akibatnya terpaksa balik ke kampung halaman sementara menunggu boleh terbang semula atau mencari punca pendapatan lain. : KitaReporters.com
PESAWAT Airbus A380 China Southern Airlines. - Kredit foto: Airlines-pic.net
Inilah nasib juruterbang warga asing yang berkhidmat dengan beberapa syarikat penerbangan China.
Serangan penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19 yang melanda China dan menular ke beberapa negara lain, turut menjejaskan kerjaya mereka.
Ini kerana dengan merebaknya wabak tersebut yang mengakibatkan sekatan atau pengurangan penerbangan dalam negara dan antarabangsa, permintaan untuk khidmat udara jatuh mendadak.
Sementara sekatan dan pengurangan penerbangan ini bertujuan mengekang penularan COVID-19, ia memberi kesan serius kepada industri penerbangan China.
Pengurangan penerbangan menyebabkan ramai juruterbang tidak ada kerja atau kurang kerja.
Tempiasnya begitu terasa khususnya kepada juruterbang luar negara kerana mereka diberi cuti tanpa gaji.
Memetik
laporan Reuters, ada antara juruterbang ini telah kembali ke negara asal masing-masing
sambil mengintai peluang kerja dengan syarikat penerbangan lain atau membuat
kerja yang berlainan dengan profesion mereka.
Gejala ini bukan
sahaja menimpa juruterbang dari luar tetapi juga dirasai juruterbang
dari China sendiri. Sekalipun kerja
mereka lebih terjamin, pendapatan mereka jatuh merudum kerana gaji mereka banyak
bergantung kepada jam perbangan atau ‘flying hours’.
Dengan permintaan untuk pengangkutan udara menurun, jumlah jam penerbangan mereka juga
menurun dan seterusnya pendapatan menurun.
KELAS Ekonomi Premium syarikat China Southern Airlines, antara syarikat penerbangan besar China yang banyak menggaji juruterbang asing. - Kredit foto: csair.com
Dianggarkan sebanyak 80 peratus daripada kapasiti penerbangan yang dijadualkan dalam negeri dibatalkan. Keadaan lebih parah dengan sekatan perjalanan oleh beberapa negara luar terhadap rakyat dari tanah besar China, atau sekatan rakyat negara luar untuk ke China.
Ini bermakna syarikat penerbangan China juga tidak dapat terbang ke negara-negara berkenaan.
Faktor dalaman dan luaran ini memberi pukulan teruk kepada syarikat-syarikat penerbangan negara itu.
Syarikat
penerbangan yang banyak menggaji juruterbang luar, terutama China Southern
Airlines dan syarikat penerbangan dalam Kumpulan Hainan seperti Fuzhou Airlines
dan Tianjin Airlines, terpaksa bertindak tegas dan pantas untuk mengurangkan
kerugian yang dialami.
Cuti tanpa gaji kepada juruterbang adalah satu pilihan yang diambil oleh syarikat-syarikat ini.
Difahamkan cuti ini diberi sehingga wabak COVID-19 reda dan perkhidmatan penerbangan kembali pulih.
PESAWAT Hainan Airlines membelah awan biru. - Kredit foto: Business Traveller.
Namun masalahnya tidak diketahui berapa lama lagi keadaan akan menjadi normal. Kerana itu juruterbang-juruterbang ini memilih kembali ke negara asal.
Tidak guna menunggu jika gaji tiada. Lebih baik berada di kampung halaman mencari kerja lain.
Menurut laporan, ramai juruterbang kembali ke Australia pada Januari lalu dan bulan ini (Februari sehingga kini) tanpa kepastian bila akan kembali ke China.
Ketidakpastian ini mendorong mereka mencari kerja lain di tanah air sendiri atau negara lain.
Pada dasarnya, juruterbang asing dibayar gaji lebih tinggi daripada rakyat tempatan.
Mereka pula bekerja secara kontrak. Ertinya lebih mudah bagi mereka menamatkan perkhidmatan serta mencari kerja lain jika berlaku pengurangan atau pembuangan kerja.
Dengan pesatnya sektor pengangkutan udara China, negara itu menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada juruterbang asing berpengalaman.
Sambil itu juruterbang tempatan berpeluang menimba ilmu daripada juruterbang asing ini.
Angka yang
dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China menunjukkan jumlah
juruterbang naik lebih sekali ganda kepada 1,500 orang antara tahun 2010
hingga 2019 .
Jumlah ini
bakal naik beberapa kali ganda dalam tempoh 20 tahun akan datang apabila China
dijangka memerlukan sehingga 124,000 jurterbang ekoran golongan pertengahan
kini lebih memilih untuk menaiki kapal terbang sebagai pengangkutan.
PESAWAT milik Fuzhou Airlines, syarikat penerbangan dalam Kumpulan Hainan. - Kredit foto: Airlines Info.
Namun bagi juruterbang asing, situasi sekarang di mana mereka diberi cuti tanpa gaji menyebabkan mereka tawar hati.
Oleh itu, jika kedaan bertambah baik nanti pun, kemungkinannya mereka tidak akan kembali ke tanah Tembok Besar itu.
Seorang jurterbang dengan Fuzhou Airlines memberitahu, dia diberi cuti tanpa gaji apabila COVID-19 menyerang dan bimbang dia akan dicutikan terus.
Dia perlu berusaha mencari kerja lain kerana tidak dapat bertahan dengan cuti tanpa gaji.
Dia yang
enggan dikenali memberitahu sedang berusaha mencari kerja berhampiran kediamannya. Namun sehingga ini tawaran gaji adalah lebih rendah berbanding sebagai
juruterbang di China.
China adalah antara negara menawarkan gaji tinggi kepada juruterbang asing.
Seorang juruterbang mampu meraih pendapatan sehingga RM1.2 juta setahun.
Juruterbang
Tianjin Airlines, yang juga tidak mahu dikenali memberitahu Reuters, dia
dimaklumkan sekurang-kurangnya tempoh tiga hingga empat bulan diperlukan sebelum
juruterbang asing dipanggil semula untuk bekerja.
Dia tidak
sanggup menunggu tanpa kepastian. Nasibnya baik kerana telah pun mendapat
pekerjaan dengan sebuah syarikat penerbangan lain.
Sementara seorang juruterbang tempatan China Southern Airlines pula memberitahu, dia sangat jarang terbang sekarang.
Ekoran itu dia hanya dibayar satu per enam hingga satu per lapan daripada gaji biasa.
Kataya, apa yang dilakukan kini alah bergembira bersama keluarga, makan dan tidur mencukupi di samping membuat eksesais dan terus belajar.
Ini membolehkan dia bersedia dan bertenaga menghadapi apa juga cabaran yang bakal mendatang. - KitaReporters.com
PESAWAT Tianjin Airlines sedia untuk berlepas dari lapangan terbang Tianjin. - Kredit foto: Routesonline.