Wajarkah nama pesakit, bekas pesakit COVID-19 didedahkan??
Published byBARU-BARU ini negara dikejutkan dengan 147 warga asing yang melarikan diri daripada kuarantin COVID-19.
Pada 13 Mei 2020, Jabatan Kesihatan Malaysia meminta 396 penumpang pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau melalui dua penerbangan berasingan tampil untuk saringan. Kalau rakyat tahu nama dan kenal mereka, bukankah senang dilakukan pengecaman serta penjarakan sosial?? Tapi wajarkah?? : KitaReporters
Saranan melakukan saringan tersebut berikutan enam penumpang dari penerbangan Air Asia AK5742 pada 1 Mei 2020 dan AK5740 pada 4 Mei 2020 didapati positif COVID-19.
Kesemua mereka dipercayai kini berada di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.
Juga pada tarikh sama seorang lelaki tekad berjalan kaki untuk menemui keluarganya dari Segamat, Johor ke Kuala Terengganu, Terengganu berikutan tiada bas atau kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP) ini.
Namun, hajat tersebut tidak kesampaian apabila dia ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Rompin, Pahang.
Lebih meruntun hati, selepas bedah siasat dijalankan, mangsa disahkan pula sebagai positif jangkitan Covid-19.
Datuk Norasyikin Abdul Ghani
Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Datuk Norasyikin Abdul Ghani menggesa kerajaan mendedahkan identiti pesakit dan bekas pesakit COVID-19.
Norasyikin berkata, kaedah pemberitahuan adalah sama seperti kusta dahulu walaupun kusta tidak berjangkit.
"Tindakan ini supaya orang ramai yang berada di sekitar atau rumahnya atau pernah mempunyai kontak dengan dirinya lebih berjaga-jaga dan boleh membantu.
"Tempat kuarantin yang sepatutnya dipasang kawat berduri bukannya di rumah orang-orang yang sah tidak ada kebarangkalian untuk positif.
"Tetapi di rumah-rumah mereka yang telah dikenal pasti dan disahkan positif COVID-10," katanya kepada wartawan.
Beliau turut mencadangkan label "Awas pesakit COVID-19 " digantung pada pesakit bagi memberi amaran seperti yang dipraktikan terhadap pesakit tibi (tuberkulosis).
Katanya, dengan demikian, barulah automatik orang menjarakkan diri bukan dengan mengkuarantin semua orang tetapi biar orang menjarakkan diri sendiri.
"Langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) betul tetapi kurang tepat perlaksanaannya kerana rakyat tidak tahu hendak jarakkan diri dari siapa?
"Sama seperti penyakit tibi dulu sudah diisytihar Malaysia bebas daripada tibi, tetapi sekarang sudah ada balik sebab pendatang asing, malah wad tibi pun penuh terpaksa tunggu giliran.
"Dalam isu sekarang, COVID-19 lagi bahaya, maka sepatutnya mesti lebih berhati-hati. Jika tibi pun boleh muncul semula, apa lagi COVID-19," katanya.
Tambahnya, sama seperti orang kurang upaya (OKU), bukan mereka minta jadi OKU tetapi apabila orang lain diberitahu status mereka supaya keistimewaan diberi.
Sama seperti pesakit COVID-19, didedahkan supaya boleh diberikan keistimewaan, tambahnya bila ditanya mengenai saranan radikalnya.
"Berjaya atau tidaknya kaedah ini, dapat dilihat nanti apabila yang tidak kena COVID-19 pun sukarela gantung label.
"Ini mendidik mereka supaya rasa bertanggungjawab kerana tidak mahu orang lain kena jangkitan COVID-19," katanya.
Norasyikin turut mencadangkan, tempat tumpuan awam seperti pusat membeli belah boleh menyediakan laluan kaunter pembayaran khas untuk bekas pesakit COVID-19.
"Ini penting kerana bilangan mereka ramai... beribu-ribu orang, kita tidak tahu pun jika bersebelahan dengannya. Malah hampir bersentuh dengan petugas kaunter pun.
"Mengikut laporan sebelum ini, yang sudah disahkan sembuh pun boleh menjadi positif semula.
"Hipotesisnya bukan kerana jangkitan tetapi saki baki COVID-19 masih ada dalam diri mereka dan hanya perlukan masa sahaja untuk membiak semula," katanya.
Kredit foto: Twitter KKM
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mendakwa tidak timbul sebarang masalah mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pusat kuarantin khususnya yang melibatkan sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebaliknya menegaskan, tindakan 147 warganegara asing yang melarikan diri dari pusat kuarantin bukan bermakna SOP KKM lemah kerana mereka terbabit boleh diambil tindakan tegas. - KitaReporters