Wanita hebat! Dr Madiha Fuad CEO PlusVibes! Mahu memperjuang kesihatan mental untuk masyarakat!
Published byOrangnya sentiasa menguntum senyum, bicaranya lembut dan sopan. Menghormati siapa saja tidak kira umur, pangkat dan kedudukan. Itulah dia, Dr Madiha Fuad.
Dalam kelembutan yang dimilikinya, tak siapa sangka wanita ini pernah menguruskan 5 buah syarikat berkaitan makanan dan minuman, fesyen, hiasan dalaman, perisian serta analisis pelaburan.
Beliau juga adalah pengasas dan CEO PlusVibes sebuah aplikasi mobile untuk kesihatan mental. Ini adalah sebuah aplikasi yang membantu individu yang mengalami kemurungan dan masalah kesihatan mental meluahkan masalah mereka tanpa dikenali serta berkomunikasi atas talian dengan wakil persatuan berdaftar.
Aplikasi ini adalah percuma, mereka yang mengalami masalah kemurungan dan perlu berkongsi masalah boleh memuat turun aplikasi tersebut.
Menurut Dr Madiha, biasanya mereka yang mengalami kemurungan tidak mahu berjumpa sesiapa dan tidak mahu orang lain tahu mereka sedang mengalami depresi, jadi dengan aplikasi ini mereka boleh berkongsi masalah melalui online (dalam talian) sahaja.
Ada juga yang sukar hendak berjumpa kaunselor, kerana masalah tertentu. Umpamanya masalah nak keluar rumah, dan masalah perlu membayar konsultasi jika berjumpa pakar dan sebagainya.
Oleh itu dengan memuat turun aplikasi ni mereka boleh meluahan apa yang menganggu perasaan mereka dan mendapat bantuan secara maya dengan kadar segera.
Trend zaman sekarang ramai yang lebih suka berkongsi kisah secara online dengan pihak tertentu dengan identiti yang tidak mahu dikenali, berbanding datang jumpa kaunselor dan bercakap secara berdepan atau bersemuka.
Aplikasi PlusVibes ini sekarang telah diguna pakai oleh lebih 50 ribu pengguna.
Menurut Dr Madiha, "uniknya aplikasi ini ialah ia menghubungkan komuniti dalam satu platfom yang membolehkan sesiapa sahaja berbual tanpa dikenali serta kerahsiaan identiti mereka adalah terjamin.
"Selain boleh berkomunikasi tanpa dikenali, PlusVibes juga mengandungi pelbagai artikel serta video aktiviti sebagai rujukan pengguna dalam memberi mereka motivasi " katanya lagi.
Dr Madiha yang mesra dipanggil Maddy adalah Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan. Dilahirkan di Kuala Lumpur, tetapi pada usia setahun beliau telah mengikuti ibu dan ayahnya ke beberapa negara kerana ayahnya bekerja sebagai Duta Malaysia.
Mulanya beliau berpindah ke Arab Saudi iaitu di Jeddah dan beliau bersekolah di situ. Kemudian berpindah pula ke London bila ibu bapanya ditugaskan di situ, dan menghabiskan peringkat sekolah rendah.
Kemudian bila ayahnya bertukar ke Tokyo, Jepun, beliau menyambung sekolah pada peringkat menengah. Sekali lagi apabila ibu bapanya berpindah ke Paris, beliau sempat menghabiskan sekolah menengah dan diploma di sana.
Pada usia 19 tahun, beliau balik ke Malaysia seorang diri untuk menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Shah Alam.
Dr Madiha yang fasih bertutur dalam 5 bahasa, termasuk bahasa Jepun, Perancis dan Inggeris memberitahu pada masa itu, beliau pulang ke Malaysia dengan tidak tahu berbahasa Melayu.
"Hidup masa tu sangat mencabar dan masih saya ingat bila seorang pensyarah bertanya pada saya 'kamu tak tau cakap Melayu ye, Quran tau baca ke?'," katanya.
Itu sesuatu yang menguatkan semangatnya untuk terus menguasai bahasa Melayu. Beliau berkawan dengan ramai budak-budak Melayu dan sentiasa berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Beliau belajar banyak perkara daripada pelajar Melayu. Beliau juga belajar adab dan sopan masyarakat Melayu daripada rakan-rakan dan pensyarah-pensyarahnya di UiTM. Baginya perkara paling sedih ialah apabila berjauhan dengan keluarga dan tinggal di Malaysia sorang diri.
"Saya belajar banyak perkara bila balik Malaysia, saya berkawan dengan ramai budak-budak Melayu untuk fasih berbahasa Melayu. Pernah hari raya saya tinggal kat hostel di UiTM sorang-sorang. Memang sedih sangat, sebab rasa kesaorangan dan kesunyian tu sangat menusuk jiwa saya," katanya.
Ditanya mengapa dia membangunkan aplikasi PlusVibes untuk membantu mereka yang kemurungan, Dr Madiha memberitahu, sewaktu membuat PhDnya pada tahun 2020, dia mengalami kemalangan dan menyebabkan masalah saraf yang agak serius.
Dia telah separa lumpuh (semi paralyse) untuk tempuh setahun dan tidak boleh gerak. Dia menjadi OKU dalam tempoh setahun itu.
"Masa tu saya mengalami anxiety dan depression, serta panik attack. Saya keseorangan dan tidak ada sistem sokongan kerana ibu bapa saya masih di luar negara " katanya.
Tapi beliau mengumpul kekuatan sewaktu menjadi orang kurang upaya dalam tempoh setahun untuk bangkit semula menjadikan dirinya yang lebih bersemangat dan berhasrat membantu orang lain yang senasib dengannya.
Dia bangun daripada masalah kemurungan dan cuba fikir positif untuk teruskan hidup. Masa tu beliau bercadang membuat aplikasi kesihatan mental ini, kerana kebetulan masa tu masa COVID. Ramai juga yang mengalami kemurungan ketika itu.
Cadangan itu dikemukakan kepada rakan-rakannya dan dia mendapat banyak sokongan daripada pelbagai pihak untuk membangunkan aplikasi kesihatan mental ni.
Dr Madiha tidak sangka aplikasi PlusVibes ini mendapat sokongan daripada golongan profesional dalam kesihatan mental seluruh Malaysia.
"Masa tu kami start secara percuma, tolong bagi kaunseling bagi positive vibes (semangat) pada mereka yang mengalami masalah mental dan kemurungan terutama ketika melalu fasa COVID-19," jelasnya lagi.
Sejak itu Dr Madiha dan rakan-rakannya sudah menjalankan banyak program mengenai kesihatan mental dengan pihak universiti swasta dan tempatan, dengan organisasai korporat, jabatan kerajaaan dan banyak lagi.
Salah satu funder atau penyumbang mereka ialah Teraju atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera, di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Teraju memberi mereka setengah juta ringgit untuk membangunkan aplikasi ni.
"Sekarang sudah ada 50 ribu users kat apps tu dan saya dijemput ke beberapa negara untuk berkongsi tentang PlusVibes ni di negara China, Korea Selatan, Taiwan, Kemboja dan negara-negara Asia lain. Aplikasi ini juga sedang dikembangkan di seluruh Asia dan beberapa negara lain," ujarnya.
Dr Madiha yang juga pemenang anugerah Teraju Superb 2022 memberitahu antara misi PlusVibes adalah untuk mewujudkan satu sistem sokongan yang terbaik untuk masyarakat.
Oleh itu, bagi anda yang mengalami kemurungan, depresi, masalah rumah tangga, kewangan, kesukaran, untuk tidur, kes buli, penderaan mental dan fizikal, kesunyian dan pelbagai masalah lagi yang ingin dikongsi tanpa mendedahkan identiti anda, aplikasi PlusVibes ini mungkin boleh membantu, muat turun sekarang dala https://www.plusvibes.com - KitaReporters