SEJAK adanya media sosial, doktor kini lebih mudah memberi kesedaran dan informasi yang tepat serta pantas dalam kalangan masyarakat kita mengenai pelbagai penyakit. Namun persoalannya, sejauh mana masyarakat kita menerimanya dengan mudah dan berlapang dada? Ragam manusia terutama masyarakat Melayu yang tebal dengan kepercayaan pantang larang ‘nenek moyang’ dilihat sukar menerimanya. : KitaReporters


Tidak semua, tapi ada segelintir masyarakat yang masih kuat berpegang kepada pantang-larang itu sering menentang nasihat yang diberikan oleh doktor.

Contoh pantang-larang yang paling menjadi kontroversi dan tular dalam media sosial ialah berpantang selepas bersalin.

Gambar hiasan... - Kredit foto: Google Image


Walaupun generasi muda kini ramai yang sudah melupakan pantang-larang dan amalan ketika berpantang, namun mereka terpaksa mengikutinya kerana ketika tempoh itu, mereka dijaga oleh ibu yang masih kuat berpegang kepada kepercayaan lama itu.

Jadi, nak tak nak, mereka terpaksa ikut. Kononnya kalau tidak berpantang, akan menyebabkan berlakunya pelbagai perkara buruk.

Stigma yang ‘pekat’ melekat dalam gaya hidup masyarakat Melayu ini perlu dikekalkan sampai bila-bila. Itu kata mereka!

Namun, bagi pendapat doktor atau lebih tepat perubatan moden, pantang-larang yang diamalkan itu tidak masuk akal! 

Ia bukan bermakna masyarakat Melayu tidak boleh mengamalkannya, tetapi ada banyak fakta yang tidak tepat. 

Itulah yang cuba disampaikan oleh Pakar Kesihatan Ibu Hamil & Janin, Dr Imelda Balchin kepada masyarakat yang lebih percaya pantang-larang dulu kala daripada nasihat doktor.


Sejak dulu lagi, Dr Imelda berjuang dalam media sosial mengubah mentaliti masyarakat mengenai amalan berpantang yang boleh dikatakan mengarut.

Antara isu yang pernah diperjuangkannya ialah mitos tentang larangan minum air sejuk (ais) dan makan laksa untuk wanita yang sedang berpantang.

Menurut pantang-larang tersebut, ibu yang sedang berpantang tidak boleh sesekali mengambil dua bahan berkenaan kerana dibimbangi mendatangkan kemudaratan.

Terbaharu, sekali lagi isu berpantang menjadi tular dalam media sosial apabila ada pihak yang memperlekehkan nasihat daripada Dr Imelda.


Menjawab persoalan itu, Dr Imelda menegaskan sekali lagi orang dulu-dulu berpantang tetapi mereka tetap aktif melakukan pelbagai kerja rumah dan aktiviti.

Berbanding orang zaman kini yang berpantang tetapi segala-galanya dilakukan oleh mesin dan alatan moden. 

Jadi, pantang-larang sudah tidak relevan lagi buat masa kini kerana gaya hidup yang pasif disebabkan pelbagai kemudahan yang ada.

Sementara itu, Dr Amalina Che Bakri yang pernah menggegarkan masyarakat apabila berjaya memperolehi 17 A1 dalam peperiksaan SPM pada tahun 2004, menyokong dan turut sama menyedarkan masyarakat mengenai amalan berpantang.


Menurut Dr Amalina, masyarakat sepatutnya mendidik ibu-ibu muda bersikap positif ketika berpantang dan bukan menakut-nakutkannya.

“Kita perlu membantu wanita-wanita muda dan bersikap positif semasa mereka melalui proses berpantang, bukan dengan cara menakut-nakutkan.

“Kita perlu mendidik wanita kita dengan ilmu yang tepat. Mari memperkasakan wanita melalui pendidikan kesihatan. Ia bermula dengan anda,” tulisnya dalam Twitter.

Tak salah untuk kita mengamalkan pantang-larang, tetapi janganlah berlebihan atau ‘over claim’ yang itu tak boleh, yang ini tak boleh. 

Sedangkan apa yang Dr Imelda dan Dr Amalina nasihatkan, berpandu kepada ilmu dan fakta yang telah dipelajari. - KitaReporters

1
1
0
1
0

Copy Link: