KERAJAAN masih lagi membuka penyertaan pengamal perubatan swasta khususnya untuk berkhidmat di Pusat Saringan Covid-19 dan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) mengikuti lokaliti berhampiran di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berharap penyertaan lebih ramai pengamal perubatan swasta itu kerana mampu mempercepatkan lagi usaha kerajaan memastikan pencapaian status imuniti kelompok dan seterusnya melandaikan keluk penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai komitmen dan sumbangan pelbagai pihak dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

 “Pengamal perubatan swasta turut menyumbang perkhidmatan mereka dengan cara berkhidmat sebagai sukarelawan dengan menyampaikan perkhidmatan di fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, Selasa 15 Jun 2021.

Pada Mac 2021 lalu, kerajaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bersetuju menawarkan bayaran perkhidmatan kepada pengamal perubatan swasta sebagai penghargaan bagi sumbangan diberikan.

“Selaras dengan usaha kerajaan memperluaskan saringan Covid-19 dan mempercepatkan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerajaan masih lagi membuka penyertaan pengamal perubatan swasta khususnya untuk berkhidmat mengikuti lokaliti berhampiran di seluruh negara,” katanya lagi.

Bagi pengamal perubatan swasta yang berminat, mereka boleh membuat pendaftaran dengan melayari portal KKM: http://www.moh.gov.my dan ke bahagian Iklan Pembelian Perkhidmatan Doktor Pakar Swasta dan Doktor Swasta Secara Kontrak (Contract For Service) Dalam Tempoh Penularan Wabak Covid-19. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: