Ali Saifuddin berbudi kepada tanah! Petani berjaya terung dari Kampung Labu, Tembeling Tengah
Published byPERTANIAN merupakan satu perniagaan antara slogan yang menitip semangat serta usaha penduduk luar bandar 'berbudi kepada tanah' menjalankan aktiviti berkebun di halaman dan belakang rumah untuk memperoleh sumber rezeki. Ini yang dilakukan oleh seorang petani Kampung Labu, Mukim Tembeling Tengah, Jerantut, Mohd Ali Saifuddin Samad, 49. : KitaReporters.
MOHD ALI SAIFUDDIN SAMAD
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pertanian:
https://kitareporters.com/search?search=pertanian
Mohd Ali Saifuddin memilih terung (Solanum melongena Linn) sebagai tanaman komersial sejak bulan Julai tahun ini sudah mampu menarik nafas lega apabila hasil tanaman itu mula dipasarkan.
Usahanya setelah dipilih di bawah kluster utama fertigasi program Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) di Mukim Tembeling Tengah, Jerantut ternyata berbaloi apabila sudah tiga kali tanamannya dituai dan sehingga ini menembusi pasaran di Pasar Selayang (Selangor) dan bandar Jerantut.
"Saya merintis tanaman terung selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) kira-kira empat bulan lalu dengan menanam benih terung dalam 1,021 buah polybeg berasaskan kaedah fertigasi di kawasan berdekatan rumah seluas suku ekar (0.1 hektar).
"Mahu tidak mahu, saya perlu mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM5,000 untuk membeli polybeg, peralatan tanaman (pertanian) dan kos baja di samping peringkat awal belum berhasrat memohon bantuan mana-mana pihak," katanya di Kampung Labu, Jerantut.
Mohd Ali Saifuddin Samad (duduk) sedang memetik hasil sambil dilihat oleh pengunjung ke kawasan tanaman terung fertigasi di Kampung Labu, Jerantut.
Menurut Mohd Ali Saifuddin, bersama isterinya, Norazimah Abdullah Sidek, 38, mereka bertekad untuk terus berusaha walaupun pada awal pembabitannya masih kurang yakin akan hasilnya kerana tidak ada kemahiran asas konsep tanaman fertigasi.
Katanya, selain mempelajari kaedah itu daripada rakan petani lain dan mula 'celik' mengenai pengurusan tanaman setelah menjalani kursus Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) anjuran Jabatan Pertanian.
"Saya berdepan sikit masalah kerana terung yang ditanam secara fertigasi agak sukar dijaga kerana ia memerlukan penjagaan baja yang mencukupi membabitkan perbelanjaan tinggi berbanding ditanam di batas tanah,” katanya.
Dia berkata, dengan bantuan lima orang anak secara bergilir-gilir mengurus tanaman itu, akhirnya nampaklah hasil apabila terung boleh dipetik selepas empat bulan dikira matang dan mula dipasarkan.
"Penuaian hasil yang pertama kira-kira seberat 300 kilogram dan pemborong dari Pasar Selayang datang sendiri ke kebun kami dan mengambil terung yang siap diisi dalam bakul dengan harga RM4 sekilogram. Pendapatan pertama sebagai rangsangan untuk saya meneruskan pengurusan tanaman ini.
Mohd Ali Saifuddin Samad memetik hasil terung untuk pasaran ke Lembah Kelang dan bandar Jerantut di Kampung Labu, Jerantut.
"Saya juga menghantar hasil ini sendiri ke pasar dan kedai runcit di bandar Jerantut dengan harga RM5 sekilogram memandangkan kos menyewa kenderaan dari kampung ini ke bandar agak tinggi," katanya.
Mengulas lanjut, dia menjangkakan hasil yang bakal dipungut antara 800 hingga 900 kilogram sehingga bulan Disember tahun ini ini memandangkan tanaman itu masih mengeluarkan hasil (buah).
Bagi Norazimah, usaha menggalakkan suaminya mencuba nasib di bidang pertanian kerana kehidupan mereka tertekan setelah bermula tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat bekerja mengambil upah di kebun sawit yang agak jauh serta tuntutan perbelanjaan tanggungan ramai.
"Kita sudah tahu cara menguruskan tanaman ini setelah memperoleh hasil pertama dan sehingga ini tanaman terung masih mengeluarkan hasil mula dipungut secara berperingkat untuk dihantar ke Pasar Selayang dan mana-mana kedai runcit dan pasar di bandar Jerantut.
"Saya dan suami mula mencongak untuk tanaman seperti cili kulai di samping mengekalkan terung berasaskan permintaan di pasaran," ujarnya.
ZULKEFLY ZAADUN ZABIR
Sementara itu, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, Mohd Ali Saifuddin antara 33 orang petani di mukim tersebut yang terbabit dengan kluster program Amalan Pertanian Baik (MyGAP) di bawah pemantauan Jabatan Pertanian dan Pejabat Penghulu Mukim itu.
Beliau berkata, petani lain terlibat dengan program MyGAP, iaitu kumpulan (pekebun) perintis yang paling ramai iaitu di Felda Sungai Retang dan selebihnya di kampung tradisional pesisir Sungai Tembeling, iaitu Kampung Labu, Kampung Gol, manakala projek nangka madu dan lembu di Kampung Lubuk Payung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah.
"Program ini di bawah khidmat nasihat Jabatan Pertanian, manakala pengurusan Felda Sungai Retang menyediakan kemudahan kawasan tanaman dan lojistik tertentu untuk pekebun MyGAP yang terdiri daripada kalangan generasi kedua anak peneroka berkenaan
"Usaha ini membantu menambah pendapatan keluarga lebih lagi mereka berdepan tekanan dalam tempoh pemulihan pandemik COVID-19 sehingga ini termasuk musim tengkujuh pada penghujung tahun," ujarnya. - KitaReporters
Deretan pokok terung berasaskan tanaman kaedah fertigasi di kawasan seluas 0.1 hektar usaha Mohd Ali Saifuddin Samad dan keluarganya berdekatan rumah di Kampung Labu, Jerantut.