PKPD di Besut diperluas! Dikuatkuasakan di 13 kampung dalam mukim Pelagat dari 20 Mei - 2 Jun!
Published bySELEPAS lima hari penduduk di kawasan perumahan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Seberang Jertih, Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kini perintah tersebut diperluaskan membabitkan semua kampung di Mukim Pelagat, Besut.
PKPD di Mukim Pelagat, Besut, Terengganu melibatkan 13 kampung dilaksanakan mulai Khamis 20 Mei 2021 hingga 2 Jun 2021.
Lagi laporan-laporan penuh berkaitan PKPD
Anggota tentera memasang kawat duri di perumahan RAKR Pelagat 3, Jertih yang dikenakan PKPD
Kampung terbabit ialah Kampung Alor Selinsing, Bukit Yong, Tok Motong, Lak Lok Dalam, Lak Lok, Padang Landak, Padang Luas, Padang Luas Hilir, Padang Tapong, Paroh, Kubang Siam, Seberang Jerteh, RAKR Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 serta 3.
Pelaksanaan PKPD membabitkan keseluruhan kampung Mukim Pelagat dilakukan berikutan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut.
Sebuah ambulan mengambil pesakit COVID-19 dari sebuah rumah di RAKR Pelagat Tiga, Jertih untuk dihantar ke hospital
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga Isnin, 17 Mei 2021, sebanyak 199 kes positif COVID-19 telah direkodkan di semua lokaliti terbabit selepas KKM melakukan 1,092 ujian saringan.
"Pelaksanaan PKPD ini bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa 18 Mei 2021.
Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut.
Dr Nor Azimi Yunus
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus melahirkan kebimbangan apabila dua hari berturut-turut Terengganu menunjukkan tiga digit kes harian COVID-19.
Katanya, ketika ini seramai 14 orang sedang dirawat di ICU Hospital Sultahah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
"Apapun kami tidak terkejut langsung. Ini kerana tatakelakuan rakyat Terengganu sendiri yang memberi ruang dan peluang COVID-19 bersuka ria di Terengganu,” tulisnya dalam catatan Facebook milik beliau. - KitaReporters