Guru tabika pertaruh nyawa! Selamatkan kucing dibelit ular sawa batik! 6m, 100kg! Pukul dengan kayu!
Published byKredit foto : APM Setiu
SEORANG guru tabika (taman bimbingan kanak-kanak) nekad mempertaruh nyawa bagi menyelamat seekor kucing kesayangan ibunya apabila dia bertindak memukul beberapa kali dengan sebatang kayu pada bahagian ekor ular sawa batik sepanjang enam meter yang sedang membelit kucing tersebut di Kampung Batu 24, Sungai Tong, Setiu, Terengganu pada 24 Disember 2022 lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari, ular sawa terbabit yang beratnya kira-kira 100 kilogram dikatakan sedang bersembunyi di dalam lubang di sebalik timbunan tangga rumah yang usang berdekatan dengan rumah ibunya, Hasnah Abu Bakar, 59, sebelum haiwan itu membelit kucing tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
NUR Syuhada Othman bersama dengan seorang petugas APM Daerah Setiu. - Kredit foto: APM Setiu
Sebelum kejadian, guru tabika itu, Nur Syuhada Othman, 36, sedang membersih sampah di halaman rumah ibunya tiba-tiba dia terdengar bunyi bising kucingnya di lokasi berkenaan.
Dia berkata, tanpa membuang masa Nur Syuhada terus pergi ke lokasi kucingnya yang sedang menjerit itu.
Menurutnya, alangkah terkejutnya apabila Nur Syuhada tiba di situ, dia melihat kucing kesayangan ibu sedang dibelit dengan ekor ular sawa batik itu.
Nur Syuhada berkata, tanpa merasa takut dia mengambil sebatang kayu lalu memukul beberapa kali di ekor ular itu yang akhirnya kucing itu dapat diselamatkan selepas haiwan itu melepaskan semula kucing itu daripada genggamannya.
MOHD Sakri Hamzeh (dua dari kanan) dan anggota APM bersama dengan seekor ular sawa batik sepanjang enam meter yang berjaya ditangkap di Kampung Batu 24, Sungai Tong, Setiu, Terengganu pada 24 Disember 2022. - Kredit foto: APM Setiu
``Awalnya, saya sangkakan ular itu kecil dan saya merasa takut juga melihat ekor ular sawa bercorak batik sebegitu tetapi saya dalam ketakutan tetap berusaha untuk menyelamatkan kucing.
``Sebelum itu, saya hanya melihat ekornya sahaja yang sedang membelit kucing manakala kepala dan badan haiwan itu tidak kelihatan kerana bersembunyi di dalam lubang tersebut,’’ katanya ketika dihubungi pada 25 Disember 2022 memberitahau bahawa kucing yang berjaya diselamatkan itu masih hidup lagi.
ULAR sawa batik (bulatan biru) bersembunyi di dalam lubang di bawah timbunan tangga rumah usang sebelum berjaya ditangkap oleh APM Daerah Setiu. - Kredit foto: APM Setiu
Guru tabika itu mendakwa sehari sebelum kejadian itu, seekor kucing lain juga milik ibunya telah hilang dari rumahnya dan dipercayai teah dimakan oleh ular sawa itu.
Nur Syuhada yang bertugas di Tabika KEMAS di Teluk Bidara, Dungun berkata jikalaulah dia tahu ular sawa itu besar tidak mungkin dia mendekati diri untuk memukul ekor haiwan kerana bimbang dengan keselamatan nyawanya.
Dia yang baharu pulang bersama keluarga bercuti di rumah ibunya di Kampung Batu 24 sejak dua minggu lepas.
MOHD NIZU HUSSIEN
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Hussien berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, kira-kira pukul 1.10 tengah hari, lima anggota APM bersama Ketua Operasinya, L/Kpl Mohd Sakri Hamzeh tiba di lokasi kejadian tersebut.
``Semasa anggota kami tiba, ular sawa batik masih terdapat di dalam lubang tersebut dan kami mengambil masa selama 15 minit untuk menangkap haiwan itu,’’ katanya.
Kredit foto: APM Setiu
Mohd Nizu menasihat orang ramai terutama penduduk di pendalaman agar berhati-hati ketika berada di kawasan timbunan sampah sarap atau bahan-bahan busuk kerana kawasan seperti itu biasanya dijadikan tempat bersembunyi bagi haiwan liar.
Apatah lagi, katanya, ketika ini musim hujan menyebabkan ular keluar dari hutan untuk mencari makanan. - KitaReporters