Gempa bumi Turkiye: Istana Rom usia 2,200 tahun rosak! Mungkin ada lagi monumen sejarah turut rosak!
Published byIstana bersejarah Gaziantep kini mengalami kerosakan dan
kemusnahan akibat gempa bumi kuat berlaku di Turkiye pada 6 Februari 2023. - Kredit
foto: Anadolu Agency/Anadolu/Anadolu Agency via Getty Images
Keindahan Istana Gaziantep sebelum runtuh dilanda gempa bumi di Turkiye. - Sumber foto: https://www.castles.nl/gaziantep/
Turkiye, sebuah negara indah dan unik apabila sebahagian negara itu terletak di Asia dan sebahagiannya lagi di benua Eropah.
Ia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan sejarah selain popular dengan destinasi pelancongan yang menarik.
Turkiye ditimpa musibah besar apabila negara itu digoncang buat seketika pada Isnin (6 Februari 2023) sehingga lebih 12,000 rakyatnya terkorban dan 62,914 yang lain cedera.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Turkiye
Kejadian gempa bumi kuat melanda daerah Pazarcık dan Elbistan, di wilayah Kahramanmaras. turut memusnahkan bangunan-bangunan, premis-premis pejabat, perniagaan dan kediaman termasuk tempat-tempat sejarah dan pelancongan sehingga menjejaskan aktiviti-aktiviti dan kehidupan rakyatnya.
Ahli-ahli sejarah atau pengkaji-pengkaji sejarah dunia pula bimbang apabila beberapa tempat bersejarah dilaporkan musnah sehingga ada kemungkinan monumen-monumen sejarah pun turut rosak dan hancur.
Antara lokasi yang menarik untuk dikunjungi oleh para pelancong ialah mengenali sejarah silam Istana Gaziantep yang dibina oleh orang-orang Rom di Turkiye. - Sumber foto: https://www.castles.nl/gaziantep/
Sebuah tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berusia 2,200 tahun di Turkiye iaitu Istana Gaziantep kini mengalami kerosakan teruk akibat kesan gegaran kuat gempa bumi berukuran 7.8 dan 7.7 pada skala Richter. Istana bersejarah itu dibina pada abad ke-2 dan ke-3 oleh orang-orang Rom yang terletak di atas sebuah bukit di tengah-tengah Gaziantep.
Banyak catatan sejarah dan peristiwa silam (pahit) berlaku ke atas Istana Gaziantep atau dahulunya dikenali sebagai Aintab.
Ketika pemerintahan Maharaja Byzantine Justinian I pada abad ke-6, istana ini mengalami pembesaran (kawasan) dan pengubahsuaian (bangunan). Pada asalnya merupakan sebuah kubu tentera Rom dibina atas timbunan batu-batu besar. Byzantine kemudian mendirikan struktur bangunan di atas lereng-lereng batu tersebut. Sebagai langkah keselamatan, orang-orang Rom membuat parit kering di sekeliling kawasan istana sebagai satu strategi pertahanan mereka daripada serangan pihak musuh.
Istana Gaziantep merupakan salah satu tapak warisan dunia UNESCO yang berusia 2,200 tahun di Turkiye. - Sumber foto: https://www.castles.nl/gaziantep/
Pada tahun 661 Masehi
(M), istana itu jatuh ke tangan pemerintahan orang-orang Islam Bani Umaiyah sehingga 962M; dan 3 abad (301 tahun) kemudian ia ditawan semula oleh Byzantine. Pada tahun 1067 istana berkenaan sekali lagi telah
bertukar tangan dan diambil alih oleh Kesultanan
Seljuk. Namun ianya tidak kekal lama apabila Tentera Salib berjaya menawan Gaziantep
pada tahun 1098.
Istana itu sering menjadi rebutan dan sasaran oleh pihak
musuh sehingga terjadinya beberapa siri peristiwa bertukar tangan atau saling
tawan dan menawan untuk menguasai Gaziantep.
Pada tahun 1181, orang-orang Ayyubyiah telah merampas
istana Rom itu; dan 37 tahun (1218) kemudian Sultan Seljuk kembali menguasai semula Gaziantep.
Penaklukan silih berganti oleh puak Ilkhanate dan Mamluk. Tempoh ini berlangsung sehingga tahun 1516 apabila istana itu akhirnya ditawan oleh Empayar Uthmaniyyah. Sejak itu, Istana Gaziantep tidak lagi menjadi rebutan apabila telah kehilangan kepentingan ketenteraannya.
“Beberapa benteng di bahagian timur, selatan dan tenggara Istana Gaziantep yang terletak di daerah Şahinbey tengah musnah akibat gempa bumi; dan terdapat banyak serpihan batu-batu dan besi bertaburan di atas jalan raya,” lapor Anadolu, agensi berita kerajaan Turkiye.
Namun begitu, sejarah tetap akan menjadi sejarah dan Istana Gaziantep tampil dengan sejarah baharunya; tetapi kali ini ‘amarah alam’atau malapetaka dunia memahatkan sejarah pahit di bumi Turkiye. - KitaReporters
Sumber:
https://www.thevocket.com/gempa-bumi-terburuk-di-turki-hancurkan-istana-rom-berusia-2200-tahun-ini-apa-yang-anda-perlu-tahu/
https://www.castles.nl/gaziantep-castle#gallery995b18d9ba-37
https://edition.cnn.com/travel/article/gaziantep-castle-destroyed-turkey-earthquake/index.html