Pejabat Yayasan Diraja Sultan Mizan di Kuala Terengganu


YAYASAN Diraja Sultan Mizan (YDSM) menyumbang 8,000 unit kit ujian kendiri Covid-19 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam usaha membantu pihak berkuasa menangani  pandemik COVID-19 di negeri ini.

Sumbangan tersebut bagi meringan dan meminimumkan beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari JKNT dalam pelaksanaan setiap ujian COVID-19 memandangkan ujian tersebut agak mudah untuk dilakukan di samping mendapatkan keputusan yang segera.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kit ujian COVID-19

Azri Sani (kiri) menyampaikan sumbangan kit Ujian Kendiri COVID-19 kepada Dr Kasemani


Azri Sani Mazlan


Penyerahan sumbangan tersebut dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk  Azri Sani Datuk Mazlan, kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong.

Turut hadir adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Azizul Rahim Ahmad Zambri; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perkembangan Kesihatan Awam/Primer JKNT, Datuk Dr. Hasnan Arwit Hassan; dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyakit Berjangkit (CDC) JKNT, Dr. Azmani Wahab.



Setiausaha kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail berkata, sumbangan yang bernilai RM280,000 itu mampu meringankan beban serta tanggungjawab petugas barisan hadapan khususnya dari JKNT dalam pelaksanaan setiap ujian COVID-19. 

"Ia juga membantu mempercepatkan proses pengasingan kendiri bagi mana-mana individu yang mempunyai kontak dengan individu positif wabak berkenaan selepas mendapat keputusan segera,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis 26 Ogos 2021.

Selain itu, katanya, bantuan tersebut juga bagi meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf untuk melakukan ujian COVID-19.



Katanya, YDSM juga turut memberi sumbangan makanan kepada barisan hadapan JKNT di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sejak Februari 2021 lalu dengan perbelanjaan RM30,000 sebulan.

Dalam pada itu juga, YDSM turut memberikan sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf khususnya kepada penerima bantuan YDSM yang terjejas sumber pendapatannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak tahun lepas (2020). 

"Sebanyak RM200,000 telah diperuntukan bagi tujuan ini yang memberi manfaat kepada kira-kira 900 keluarga yang terjejas," tambahnya kenyataan tersebut. - KitaReporters


Dr Kasemani menerima sumbangan Kit Ujian Kendiri COVID-19 daripada Azri Sani mewakili Yayasan Diraja Sultan Mizan.

0
1
0
0
0

Copy Link: