SUATU tindakan yang dilakukan oleh para pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap peniaga gerai yang beroperasi di tepi jalan atau luar bangunan kedai mempunyai sebab-sebab tertentu dan alasan munsabah. Antara faktor yang menjadi punca termasuklah sikap peniaga terlibat yang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh pihak PBT. : KitaReporters  

Berniaga di gerai-gerai tepi jalan perlu lesen atau permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlesenan Pihak Berkuasa Tempatan di samping mematuhi syarat-syarat ditetapkan antaranya menutup khemah atau payung yang digunakan serta membawa pulang peralatan perniagaan bagi memastikan kawasan yang dijadikan tempat berniaga bersih dan kemas.
Lagi cerita-cerita berkaitan peniaga gerai:

https://kitareporters.com/search?search=peniaga


Syarat-syarat ditetapkan termasuklah tidak mempunyai lesen atau permit berniaga, meninggalkan khemah atau kanopi dan peralatan perniagaan termasuk kerusi meja di tempat berniaga, masalah kebersihan, menghalang kelancaran lalu lintas di kawasan berniaga dan pelbagai aspek lainnya. 

Juga turut dikenal pasti termasuklah berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan seperti di bahu jalan, berhampiran jalan keluar masuk taman-taman perumahan, berhampiran persimpangan jalan, kawasan jalan sempit yang boleh mengakibatkan aliran lalu lintas menjadi sesak dan berbahaya.


Keadaan seperti ini banyak berlaku di sekitar kawasan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 19 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang meliputi 14 buah taman perumahan, kawasan perniagaan dan pusat pertanian,
Ahli Majlis MPSJ yang juga Pengerusi JKP Zon 19, M. Ambarasan Murugesu dalam pertemuan di Lestari Perdana ketika diminta mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Perlesenan MPSJ menyita dan merampas peralatan niaga termasuk kerusi meja, khemah dan kanopi yang ditinggalkan di tempat niaga di beberapa tempat sekitar kawasan berkenaan menegaskan ia berpunca daripada kesalahan yang dilakukan para peniaga terlibat.
Katanya, para peniaga yang dikenakan tindakan tidak mempunyai lesen atau permit perniagaan yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlesenan MPSJ bagi menjalankan perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan tersebut.

Ahli Majlis MPSJ yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 19, M. Ambarasan Murugesu (kiri) berbincang dengan Exco Kerajaan Selangor yang juga ADUN Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud mengenai pelbagai perkara di kawasan zon berkenaan termasuk isu peniaga gerai.

Juga, katanya, sikap para peniaga yang tidak mematuhi arahan menutup khemah atau kanopi serta membawa pulang peralatan niaga masing-masing, sebaliknya meninggalkannya di tempat mereka berniaga.
"Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang sebahagian penduduk di kawasan perumahan yang terlibat. Malahan pemandangan di tempat niaga seolah-olah seperti kawasan setinggan dengan khemah atau payung besar yang ditinggalkan tidak seragam sedangkan tempat itu kawasan urban," ujarnya.
Malahan menurutnya, aduan diterima ada sesetengah peniaga terlibat tidak menitikberatkan aspek kebersihan sehingga menimbulkan risiko seperti menjadi tempat pembiakan nyamuk atau sarang tikus serta haiwan-haiwan lain.
Sebagai orang yang bertanggungjawab, beliau memandang serius mengenai isu peniaga gerai yang tidak mematuhi arahan Jabatan Perlesenan MPSJ di sekitar kawasan JKP Zon 19 sewaktu menjalankan kegiatan apa juga jenis perniagaan sama ada makanan, minuman, buah-buahan dan lain-lainnya.
Sehubungan itu, pihaknya boleh membantu menyelesaikan isu berbangkit dengan syarat mereka yang igin berniaga di kawasan terbuka seperti di taman-taman perumahan, kawasan pinggir jalan yang benar-benar sesuai dan tidak menganggu mana-mana pihak.

M. Ambarasan Murugesu (dua daripada kiri) menyatakan sesuatu termasuk isu peniaga gerai kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana, Hairi Eberahim (kiri sekali) sewaktu beliau berkunjung ke taman perumahan berkenaan yang juga menghadapi masalah peniaga gerai tidak mematuhi syarat dan peratutan Jabatan Perlesenan MPSJ.
Bagaimanapun tegasnya, mereka juga mestilah mematuhi syarat dan arahan digariskan oleh Jabatan Perlesenan MPSJ termasuklah memohon lesen atau permit perniagaan, menutup khemah atau payung besar dan membawa pulang peralatan niaga serta memastikan kebersihan di tempat niaga terjaga dengan baik.
Pada pertemuan itu, M. Ambarasan mahu setiap orang yang ingin berniaga melalui medium utama gerai sebagai platform dengan menggunakan khemah atau payung besar perlu mendapat kebenaran bertulis dari pihak Badan Pengurusan Bersama (JBM) atau Persatuan Penduduk di mana mereka tinggal.
Langkah tersebut, jelasnya antara lain bagi mempastikan hanya warga taman perumahan terlibat sahaja berniaga di kawasan berkenaan dan sekitarnya bukan seperti yang berlaku sekarang, di mana ramai yang berniaga datang dari luar.

Para pegawai penguat kuasa Jabatan Perlesenan MPSJ mengangkut peralatan perniagaan yang ditinggalkan secara kekal  oleh peniaga berhadapan bangunan perniagaan Speed Mart 99 di Jalan LP 7/5, Seksyen 7, Lestari Perdana, Bandar Putra Permai.
Pihak JKP Zon 19, kata M. Ambarasan, ada menerima aduan terdapat individu yang tidak tinggal di taman perumahan terlibat menjalankan perniagaan tanpa mematuhi peratutan dan arahan Jabatan Perlesenan MPSJ di samping menimbulkan pelbagai masalah seperti wujudkan isu lalu lintas, masalah parking, kebersihan di kawasan tempat niaga dan mencacatkan pemandangan seolah-lah seperti kawasan setinggan.
Baru-baru ini, pegawai penguat kuasa dari Jabatan Perlesenan MPSJ telah menyita dan memberi amaran kepada beberapa peniaga di sekitar kawasan JKP Zon 19 MPSJ termasuk di Jalan LP 7/5, Seksyen 7, Lestari Perdana yang menjalankan operasi menjual berbagai jenis makanan dan minuman, kuih muih serta nasi lemak kerana tidak mematuhi peraturan termasuk menutup payung besar atau khemah dan membawa pulang peralatan setelah selesai berniaga.

Di samping tidak mempunyai lesen atau permit niaga setelah diberi ingatan dan nasihat beberapa kali. 

Gerai perniagaan yang beroperasi di Seksyen 7 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai seperti juga di tempat-tempat lain dalam kawasan JKP Zon 19 perlu ditutup dan dikemaskan selepas habis berniaga bagi mematuhi syarat Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya selain mengelakkan gerai-gerai itu mencacatkan pemandangan.

Bagaimanapun pada Khamis 24 September 2020 lalu, pegawai-pegawai penguat kuasa Jabatan Perlesenan MPSJ telah bertindak merampas khemah dan peralatan perniagaan setelah amaran tidak dibenarkan berniaga 14 hari yang diberikan tidak dipatuhi dan diendahkan.
Dalam kontes ini, M. Ambarasan meminta kepada penduduk di sekitar kawasan JKP Zon 19 MPSJ yang ingin berniaga di tempat terbuka yang sesuai perlu memohon lesen atau permit perniagaan sebelum beroperasi, di samping mematuhi syarat dan arahan yang diberikan bagi mengelak daripada tindakan sita atau barangan niaga dirampas.
Bagi mereka yang sudah menjalankan perniagaan tetapi tidak mempunyai lesen niaga memohonlah segera dengan MPSJ. 

Dapatkan surat sokongan kebenaran berniaga di tempat yang ditetapkan melalui Ahli Majlis MPSJ, JMB dan Persatuan Penduduk di tempat masing-masing terlebih dahulu sebagai langkah mengelakkan tindakan pihak penguatkuasa perlesenan.

Anggota penguat kuasa PBT tidaklah bersikap zalim dengan menyita atau merampas barangan serta peralatan perniagaan tanpa sebab atau alasan munasabah jika seseorang peniaga mematuhi syarat dan peraturan telah ditetapkan Jabatan Perlesenan. - KitaReporters

Berniaga di kawasan berhampiran bulatan boleh menimbulkan berbagai risiko tidak diingini seperti di Bulatan Persiaran Lestari Perdana berhampiran simpang ke Taman Desaminium, Seksyen 7, Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan. Malahan menjadi gangguan kepada kelancaran aliran lalu lintas bila ada pelanggan yang berhenti sewenang-wenangnya untuk membeli barangan di gerai berkenaan.

0
0
0
0
0

Copy Link: