TIGA figura Malaysia yang cukup terkenal ini berjaya menepis cemuhan ramai terhadap sekumpulan pelukis mural apabila hasil seni mereka mendapat perhatian daripada tuan punya wajah. Bukan kaleng-kaleng ye wajah yang diabadikan ini. Harap-harapnya tak ada la pula tangan-tangan gatal yang menconteng mural berkenaan!! : KitaReporters

Lukisan mural tiga figura Malaysia pada dinding Klinik Putra Medik, Batu 3 di Kuantan, Pahang. - Kredit foto-foto: https://facebook.com/story.php?story_fbid=1013141752463196&id=100013021428761


Lagi cerita-cerita berkenaan mural:

https://kitareporters.com/search?search=mural


Baru-baru ini tular dan berlaku kekecohan berkaitan mural Yang di-Pertuan Agong dan beberapa pemimpin negara yang diconteng oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab dengan perkataan yang kurang sopan. Berikutan itu, pihak berkuasa mengambil keputusan memadam mural berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tengku Hassanal dan Dato' Sri Wan Rosdy bergambar kenangan pada mural yang memaparkan wajah mereka.


Sejarah seakan berulang apabila sekumpulan pelukis mural di Kuantan pula menerima nasib sama apabila lukisan mereka menerima kecaman daripada beberapa individu nakal. 

Nak melukispun orang tak suka. 

Sudahlah tak tahu hujung pangkal mengenai lukisan mural senang-senang je nak kecam. Inilah sikap segelintir individu yang tidak senang dengan hasil kerja orang lain.

Biarpun agak kecewa, kumpulan pelukis yang mahu dikenali dengan nama Projek06 tidak patah semangat sebaliknya menepis kecaman dan cemuhan apabila berjaya menyiapkan mural itu sepenuhnya. 

Cemuhan bukan halangan. Syabas anak muda!. Anda hebat!

Apa yang dilukis sehingga mendapat kecaman? Teruk sangatkah mural itu? 

Sebenarnya, Projek06 melukis mural wajah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada dinding Klinik Putra Medik Batu Tiga, Kuantan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63.



Sebelum ini, mural tersebut telah dikritik kerana lukisan yang belum siap tersebar dalam media sosial, namun kini hasil yang telah siap sangat cantik!

Kumpulan Projek06 terdiri daripada Mohd Amir Farouk, 30; Kamal Mohd Idris, 29; Ahmad Fadzril Abdul Ruzsnan, 26; Muhammad Ikmal Abdul Manan, 25, dan dua lagi pelajar praktikal Abied Rohman Jamaluddin, 20; dan Azri Azahar, 31.

Jurucakap Projek06, Mohd Amir Farouk berkata, pada peringkat awal melukis mereka menerima kecaman dalam Facebook kerana ada yang bergambar ketika belum siap sepenuhnya, malah ada yang membuat laporan polis dengan dakwaan menghina pemimpin.

"Lukisan itu belum siap sepenuhnya kerana faktor cuaca dan kekangan masa. Bagaimanapun kami dinasihatkan supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) turut memasang CCTV bagi memantau aktiviti kami. Pemasangan CCTV juga mengelakkan sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Tengku Hassanal melihat mural wajah baginda pada dinding Klinik Putra Medik, Batu 3


Kumpulan pelukis berkenaan akhirnya mampu tersenyum lebar dan menepis kecaman yang diterima apabila Tengku Hassanal sendiri berangkat mencemar duli melihat hasil seni wajah baginda itu.

Mohd Amir berkata, kehadiran dua daripada tiga wajah ikonik yang dianggap hero Malaysia dan negeri Pahang itu ke lokasi mural merupakan satu penghormatan buat mereka.


Tengku Hassanal dan Dato' Sri Wan Rosdy bergambar kenangan pada mural yang menjadi kontroversi sebelum ini.


"Memang tak sangka lukisan wajah Tengku Hassanal, Datuk Seri Wan Rosdy dan Dr Hisham jadi tular. Lebih membanggakan apabila Tengku Hassanal memuji dan memberi galakan untuk kami terus berkarya. Menteri Besar Pahang juga mempelawa untuk berjumpa.

"Alhamdulillah selepas hampir empat tahun berkarya dengan menghasilkan lebih 100 hasil akhirnya kami dikenali. Kami juga ingin berterima kasih kepada Dr Seelan dari Klinik Putra Medik yang memberi idea melukis wajah pemimpin kesayangan rakyat ini," katanya.




Mural wajah ikonik bersaiz 18.3 meter panjang dan 6.1 meter lebar siap dalam tempoh 10 hari menggunakan kaedah cat dan spray.

Dato' Sri Wan Rosdy menerusi akaun Facebook miliknya turut memuji hasil lukisan mural Projek06 itu.

Beliau menulis: "Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli bagi melihat potret Tuanku diabadikan pada dinding Klinik Putramedic Kuantan.

Mural ini dihasilkan oleh 6 orang anak muda tempatan yang berbakat. Sungguh cantik hasil kerja tangan mereka.
Menjunjung kasih Tuanku."

https://www.facebook.com/1635765436639544/posts/2703413373208073/ 


Oleh itu, jangan suka mengeji atau mengecam hasil kerja orang lain jika kita sendiri tidak pandai melakukan yang terbaik. Usul periksa terlebih dahulu sebelum menyebarkan berita tidak benar. - KitaReporters 

Kumpulan Pelukis Projek06
2
1
0
0
0

Copy Link: