KALAU hendak melihat gajah bersiar-siar bersama pelancong, datanglah ke Taman Negara Kuala Tahan. Terkini pelancong melihat gajah 'bersiar-siar' secara bebas di chalet Mutiara Taman Negara Resort, Kuala Tahan. Pasti pelancong akan teruja!! : KitaReporters

Pelawat domestik yang baharu tiba di Mutiara Taman Negara Resort, Kuala Tahan bergambar sebelum menjalani saringan suhu badan dan taklimat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang disampaikan oleh petugas hospitaliti. - Kredit gambar: Ihsan Sabri Abdullah


Selepas kerajaan memberikan kelonggaran bagi sektor pelancongan beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), keputusan itu cukup signifikan bagi orang ramai dapat keluar rumah khususnya keselesaan mereka merentas negeri.

Hal ini sudah tentu menyaksikan ramai pelawat domestik mengunjungi pusat peranginan di negara ini dan berjalan-jalan selepas empat bulan 'berehat' panjang di rumah.  

Gambar fail pada 2012... Seekor gajah liar yang berkeliaran berdekatan resorts MTNR yang sempat dirakamkan oleh seorang pelancong. - Kredit gambar: ihsan Sabri Abdullah


Namun bukan sahaja manusia, malahan haiwan pun ingin bersiar-siar di luar kawasan hutan apabila mendapat tahu kerajaan melonggarkan pergerakan menerusi pematuhan PKPP dan norma baharu.

Kesempatan itu menyaksikan seekor gajah liar 'melawat' pusat peranginan hutan tropika Taman Negara itu apabila haiwan itu didapati  'menyelinap' masuk ke kawasan chalet Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) di Kuala Tahan, Jerantut untuk turut sama 'bersiar-siar' selepas empat bulan 'bersembunyi' dalam hutan akibat ancaman wabak COVID-19 dan tempoh penguatkuasaan PKP.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam pada 15 Julai 2020 itu, seekor gajah liar telah 'mengejutkan' beberapa orang pelawat yang ketika itu belum tidur apabila haiwan itu tiba-tiba berada di hadapan sebuah chalet dan mematahkan tanaman landskap, iaitu tiga batang pokok Pisang Kipas (Travellers Palm) sebagai makanan.

Sabri Abdullah (kiri) dan seorang kakitangan MTNR Kuala Tahan sedang melihat tanaman landskap pokok Pisang Kipas (Travellers Palm) yang dipatahkan oleh seekor gajah liar sebagai makanan di hadapan sebuah resort. - Kredit gambar: Ihsan Sabri Abdullah


Pengurus Pelancongan dan Hospitaliti MTNR, Sabri Abdullah berkata, penginap chalet berkenaan, Eurin Morgan seorang 'expatriate' dari Kuala Lumpur bersama tiga orang anaknya terkejut dengan kehadiran gajah liar berkenan apabila mendengar jeritan nyaring haiwan itu.

Katanya, menerusi cerita pelawat expatriate itu, bunyi gajah liar itu mematahkan batang dan pelepah Pisang Kipas kedengaran malahan penghuni berkenaan nampak teruja dengan kejadian itu apabila berjaya mengintai dari celah tingkap chalet. 

"Menerusi alat perakam CCTV, pegawai keselamatan resort mendapati seekor gajah sedang makan batang dan pelepah Pisang Kipas serta mencari tumbuhan lain di hadapan chalet berkenaan.

"Mereka kemudian bertindak menghalau haiwan liar ini ke hutan berdekatan sambil membanyakkan lagi pemasangan lampu supaya gajah tidak datang semula," katanya ketika ditemui di Kuala Tahan dekat Jerantut pada 16 Julai 2020.

Sabri Abdullah melihat tanaman landskap pokok Pisang Kipas (Travellers Palm) yang tumbang akibat 'dilanyak' oleh gajah liar sebagai makanan di hadapan sebuah resort yang didiami oleh keluarga 'expatriate' dari Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Sabri, pelawat tidak perlu bimbang kerana kehadiran gajah dan haiwan liar lain dari habitat di hutan berdekatan chalet MTNR merupakan fenomena yang 'lumrah' kerana fauna itu keluar semata-mata untuk mencari makanan

"Kawasan chalet ini, selain gajah pernah dimasuki oleh haiwan liar lain yang semata-mata untuk mencari makanan, tetapi tidak mengganggu keselamatan penginap. 

"Malahan, sehalus-halus serangga yang berwarna-warni juga boleh dilihat pada waktu malam.

"Apapun pelawat yang menginap di sini tetap selamat dan sentiasa dipantau oleh petugas keselamatan yang membuat rondaan termasuk dikesan menerusi alat perakam CCTV," ujarnya.

Pengkaji gajah liar Taman Negara, dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Nature Wildlife Association, Nani Montreuil. - Kredit gambar: Ihsan Sabri Abdullah

Pengurus Pelancongan dan Hospitaliti Mutiara Taman Negara Resort, Sabri Abdullah

Sabri berkata, kajian populasi gajah liar di Taman Negara Kuala Tahan pernah dibuat oleh Nani Montreuil dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Nature Wildlife Association, iaitu gajah dewasa di taman itu berusia antara 30 hingga 35 tahun dan mempunyai tapak kaki bersaiz antara 15 hingga 18 inci.

"Dalam tempoh empat bulan PKP ini, sudah enam kali direkodkan kehadiran kawanan gajah liar antara lapan hingga sebelas ekor ke kawasan penginapan MTNR berbanding cuma seekor sahaja semalam," katanya.

Tambahnya, pelawat tidak perlu bimbang kerana haiwan itu cuma mencari makanan pada waktu malam. 

Lagipun, kata beliau, langkah keselamatan yang ketat di kawasan resort diberi keutamaan termasuk bantuan daripada renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang terletak berdekatan MTNR.

Dataran Mutiara Taman Negara Resort yang ceria dan bersih 'menggamit' kedatangan pelawat domestik. - Kredit gambar: Ihsan Sabri Abdullah


Pelawat domestik yang ingin merasai pengalaman bermalam di resorts MTNR serta melihat haiwan liar, unggas dan serangga serta kedamaian hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu bolehlah menghubungi Sabri Abdullah menerusi talian 014 8393900 atau kaunter MTNR 09 2662200/2663500 dan juga mengunjungi laman sesawang http://www.mutiaratamannegara.com. - KitaReporters

0
1
1
0
0

Copy Link: