PIHAK Pengurusan Surau As-siddiq (SAS) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor terus mengambil langkah mengemaskinikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 kedatangan jemaah bagi menunaikan solat lima waktu. Surau itu juga yang sudah mendapatkan kelulusan mengadakan semula solat Jumaat lebih empat minggu lalu turut dibenarkan menerima kedatangan jemaah 250 orang sekarang ini berbanding sebelum itu hanya 40 jemaah sahaja. : KitaReporters


Pengimbas suhu badan dan sanitizer automatik membantu mempercepatkan proses merekodkan maklumat kedatangan. 


Lagi cerita-cerita berkaitan surau:

https://kitareporters.com/search?search=surau


Sehubungan dengan itu, bagi mempercepatkan proses mengimbas suhu badan dan merekod kedatangan jemaah, pihak SAS kini menggunakan pengimbas suhu badan dan sanitizer dispenser automatik sepenuhnya.

Penggunaan peralatan automatik itu disambut baik oleh ramai jemaah kerana mempercepatkan lagi proses mengimbas suhu badan dan menyapu sanitizer serta merekod maklumat kedatangan ke surau berbanding penggunaan pengimbas manual sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa SAS, Mohd Zainuddin Sulakah (kanan) memantau jemaah mengimbas suhu badan. 


Setiausaha SAS, Raja Fakran Raja Ahmad Supian, berkata langkah itu diambil dalam usaha mempercepatkan proses mengimbas suhu badan, menyapu sanitizer dan merekod maklumat dalam buku yang disediakan terutama pada waktu solat Jumaat.

Menurutnya, pengimbas suhu automatik itu lebih tepat bacaannya walaupun digunakan bersilih ganti setiap jemaah berbanding pengimbas suhu manual sebelum ini yang menjadi tidak tepat bacaannya dan terpaksa beberapa kali dipancarkan pada dahi.

Seorang jemaah menyasarkan dahi pada pengimbas suhu badan automatik, manakala tangannya menadah semburan sanitizer di bawah. 


“Penyemburan sanitizer juga berfungsi secara automatik apabila jemaah menyasarkan dahi pada pengimbas suhu badan itu, manakala tangan mereka hanya perlu menadah pada bekas sanitizer di bawah.

“Ini akan menjimatkan pula penggunaan sanitizer yang akan keluar dengan lebih konsisten selain mengelak sentuhan kepada peralatan yang digunakan jemaah, sekali gus mampu membanteras penularan virus Covid-19,” katanya.

Mohd Zainuddin menunjukkan Sijil Pengesahan Sanitasi yang diterima SAS.


Raja Fakran berkata, SAS juga telah dianugerahkan Sijil Pengesahan Sanitasi oleh Persatuan Penyelidikan Penarafan Pengguna kerana telah melalui proses sanitasi yang mengikuti SOP Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sanitasi yang dilakukan hujung bulan lalu oleh syarikat Virus Buster Specialist dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara percuma. 

Seorang jemaah sedang merekodkan maklumat kedatangan pada buku yang disediakan.


“Sanitasi yang dilakukan secara menyeluruh di semua kawasan SAS bagi memastikan jemaah dapat menunaikan solat dengan selamat tanpa berasa bimbang dengan penularan Covid-19. Sanitasi itu merupakan kali kedua dilakukan selepas kali pertama dibuat oleh pihak berkuasa tempatan awal April lalu.

“Saya berharap setiap jemaah, imam dan penceramah hadir ke SAS supaya sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung dengan sempurna, menulis nama, nombor telefon dan suhu badan pada buku yang disediakan serta membawa sejadah sendiri dari rumah,” katanya. - KitaReporters

Kredit foto: FB Surau As Siddiq BTHO

14
0
0
0
0

Copy Link: