PENULARAN wabak maut COVID-19 di negeri Sabah makin menjadi-jadi. Ia menyumbang kepada kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu setiap hari sejak akhir September 2020. Disebabkan kedudukan geografi Negeri Di Bawah Bayu berkenaan agak jauh dengan Lembah Klang, maka sudah tentu pertambahan kes baharu saban hari ini turut menyebabkan kekurangan kepakaran dan petugas kesihatan. : KitaReporters



Kredit foto: https://www.coronatracker.com/country/malaysia/


Rentetan daripada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sekadar berdiam diri begitu sahaja. KKM sebaliknya telah bertindak menghantar petugas kesihatan dari Semenanjung ke Sabah.

Setakat ini, sudah hampir 800 anggota KKM pada pelbagai skim dan perkhidmatan telah dimobilisasi untuk menangani situasi penularan COVID-19 di Sabah.

Sudah pasti proses mobilisasi petugas kesihatan ini akan terus menjadi keutamaan buat KKM, di samping beberapa keperluan lain di Sabah pada saat ini.




Di samping Sabah, beberapa kawasan di negeri Kedah dan sekitar Lembah Klang juga antara kawasan berstatus merah yang memerlukan perhatian lebih daripada pihak kerajaan.

Justeru, KKM telah banyak bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain untuk memaksimumkan gerak kerja agar rakyat dapat selamat dari wabak maut berkenaan.

Sebagai contoh, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak mewujudkan "makeshift hospital" (hospital sementara) di dalam fasiliti Penjara Pokok Sena, Kedah.



Untuk tujuan itu, sebanyak dua blok bangunan bengkel sedia ada di dalam kawasan penjara tersebut ditukar fungsi menjadi fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesakit COVID-19.

Memberangsangkan, fasiliti berstatus sementara itu dapat menampung sehingga 250 orang dan boleh menepatkan para pesakit dari penjara sekitar Kedah juga.

Hospital "makeshift" itu bukan calang-calang fasiliti. Ia dilengkapi kemudahan kategori tiga dan empat kerana mempunyai fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Syabas diucapkan kepada semua jentera kerajaan yang tidak putus-putus mencari solusi dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan berbangkit tatkala kita sedang berhadapan situasi semi darurat sebegini.

Ayuh kita tolong kerajaan dan diri sendiri dengan sentiasa amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard atau SOP yang ditetapkan. - KitaReporters



1
1
0
0
0

Copy Link: