PENCARIAN mayat nelayan warga emas yang hilang di laut sejak seminggu lalu berakhir apabila jasad mangsa ditemukan terapung-apung di permukaan air pada kedudukan 28 batu nautika timur dari Kuala Terengganu oleh beberapa nelayan tempatan pada pagi 23 Mei 2022.

Sebelum itu, nelayan terbabit, T. Razali Wok, 74, yang berasal dari Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu dipercayai terjatuh kira-kira pukul 5.30 pagi pada 16 Mei 2022 lalu ketika warga emas itu bersama tiga rakannya dalam perjalanan pulang ke jetinya selepas mencandat sotong.

Mangsa dipercayai terjatuh dari botnya pada kira-kira empat batu nautika dari Kuala Chendering.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan mati lemas


Berikutan dengan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang membabitkan bot Perkasa 1234, aset udara AW 139 dan agensi Jabatan Perikanan telah dilancarkan tetapi gagal menemui mangsa.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada nelayan tempatan mengenai penemuan objek terapung di permukaan air laut yang dipercayai jasad warga emas itu.

Maritim Terengganu bersama Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengerakkan bot Pengawal 16 untuk membawa jasad mangsa ke Jeti Maritim Terengganu.



‘’Mayat T. Razali di bawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu oleh polis untuk dibedah siasat. 

‘’Kami mengucapkan terima kasih kepada nelayan terbabit dan meminta kerjasama dengan masyarakat terutama komuniti Maritim supaya melaporkan segera sebarang maklumat kecemasan serta salah laku di perairan,’’ katanya dalam kenyataannya pada 23 Mei 2022.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian MERS 999 atau 09-6223657 Pusat Operasi Maritim Negeri. - KitaReporters


 

12
10
0
9
0

Copy Link: