PARA anggota APM Kuala Langat menunjukkan isyarat tangan bagus di depan buaya tembaga betina yang ditangkap di Kampung Labohan Dagang, Banting pada13 Februari 2021. - Kredit foto: FB APM K. Langat.


TALINYA sebanyak dua utas dan sepanjang 50 meter dengan kekuatannya mampu menampung dan mengikat bebanan seberat 1,000 hingga 2,000 kilogram.

Tiga jam diperlukan oleh sepasukan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Langat, Selangor untuk menjerut dan menawannya.

Diketuai Lt. M (PA) Fatin Nasuha Ngimran, ‘Mak Sang Bedal’, seekor buaya tembaga betina, akhirnya berjaya ditangkap oleh pasukan APM berkenaan kira-kira pukul 3.35 petang, Sabtu 13 Februari 2021.


Kisah-kisah menarik berkaitan buaya:

https://kitareporters.com/search?search=buaya


RIDUAN NORDIN


Bukan itu sahaja, sebanyak 45 butir telur haiwan reptilia seberat 200 kilogram itu turut ditemukan di sarangnya, kira-kira 3 kilometer dari Sungai Dengkil di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor.

Pegawai Pejabat APM daerah itu, Kapten (PA) Riduan Nordin berkata, “kami menggunakan tali yang sebelum ini dipakai bagi latihan abseiling, namun jenisnya memang yang selalu untuk menangkap haiwan-haiwan liar seperti buaya dan biawak.


IBU buaya tembaga ini ditangkap APM Kuala Langat dengan menggunakan dua utas tali latihan abseiling sepanjang 50 meter. - Kredit foto FB APM K. Langat.


“Seutas tali digunakan untuk menjerut buaya itu pada rahangnya dan seutas lagi pada ekornya supaya haiwan itu tidak melibas. Kami perlu mengambil masa tiga jam dan menangkapnya dengan berhati-hati.

“Saya rasa inilah kali pertama APM Kuala Langat berjaya melakukan tangkapan buaya sejak saya ditugaskan di sini,” katanya.

Riduan menambah, pihaknya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima laporan daripada penduduk Kampung Labohan Dagang pada kira-kira pukul 12.35 tengah hari pada 13 Februari 2021 itu.


ANTARA 45 butir telur buaya tembaya yang ditemukan di sarangnya. - Kredit foto FB APM K. Langat.


GERAK-GERI berhati-hati dan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan anggota APM dalam menangkap haiwan reptilia seganas buaya tembaga ini. - Kredit foto FB APM K. Langat.


RAHANG buaya tembaga yang ditangkap ini perlu diikat kukuh supaya tidak menggelupur atau cuba menggigit. - Kredit foto FB APM K. Langat.


“Buaya ini agak agresif malah mahu melawan apabila kami cuba menangkapnya mungkin kerana berasa terancam dan mahu melindungi telur-telurnya.

“Namun para anggota kami sentiasa mengutamakan keselamatan dengan berdiri agak jauh daripadanya selain yakin tenaga reptilia ini tidak begitu kuat apabila berada di darat berbanding jika di sungai.

“Beratnya 200 kilogram dan sepanjang 14 kaki (4.27 meter). Buaya itu kemudiannya kami serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Petaling, Shah Alam,” katanya.

Buaya yang nama saintifiknya, crocodylus porosus itu dipercayai datang dari sungai berhampiran malah terdapat sebatang parit di situ yang mungkin membolehkan reptilia tersebut menyusurinya untuk menetaskan telur-telurnya.


BAHAGIAN belakang atau ekor buaya juga perlu diikat kukuh supaya tidak melibas. - Kredit foto FB APM K. Langat.


TELUR-TELUR 'Sang Bedal' yang ditangkap ini turut diserahkan kepada Perhilitan Selangor untuk tindakan susulan. - Kredit foto FB APM K. Langat.

4
2
1
0
0

Copy Link: