Terbaiklah SK Pintas Raya! Murid miskin, asnaf dapat komputer tablet! Ikuti PdPR masa PKP 3.0!
Published byUNTUK memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran, Sekolah Kebangsaan Pintas Raya (SKPR) di Batu Pahat, Johor menyumbangkan 10 komputer tablet kepada murid asnaf dan anak yatim sekolah itu supaya dapat mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh ketika pandemik Covid-19 sekarang ini.
Pemilihan murid dilakukan berdasarkan pendapatan perkapita keluarga adalah RM1,500 ke bawah hasil perbincangan bersama-sama antara barisan pentadbir serta beberapa guru SKPR yang telah berusaha mencari dana untuk pembelian peranti itu sejak hujung Februari 2021 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan SK Pintas Raya
Seorang ibu melahirkan rasa bersyukur menerima sumbangan tablet komputer yang diusahakan oleh PIBG dan warga pendidik SKPR.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Prof Madya Dr Nik Hisyamuddin Mohd Noor yang turut mengemukakan idea bagi menjayakan usaha itu akhirnya berhasil mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Rentatan itu Guru Bimbingan Kaunseling SKPR, Cikgu Huda Embong menyenaraikan 10 murid yang layak menerima sumbangan komputer tablet tersebut dan diserahkan kepada ibu bapa mereka serta penjaga terbabit di kedai menjual peralatan elektronik berkenaan pada minggu lalu.
Cikgu Huda Embong
Cikgu Huda berkata, Guru Besar SKPR, Yuasmadi Selamat sejak daripada awal lagi turut memberi sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan itu supaya murid terbabit tidak tercicir dalam pembelajaran norma baharu.
Menurutnya, usaha itu juga sebagai tanda kecaknaan dan prihatin pihak sekolah, PIBG dan warga pendidik SKPR terhadap murid berkenaan untuk membantu mempermudahkan mengikuti PdPR seperti mereka yang lain.
“Pihak sekolah berasa terharu apabila ada dalam kalangan murid ini terpaksa mendapat info PdPR melalui ihsan kawan-kawan dan jiran disebabkan ketiadaan telefon untuk mengikuti secara dalam talian apabila guru subjek bersiaran menerusi Google Meet dan sebagainya.
“Sumbangan komputer tablet ini diharapkan memberi motivasi kepada murid terbabit iaitu kemiskinan bukanlah penghalang untuk berjaya tetapi keinginan yang luar biasa dan kegigihan berusaha menghadapi apa jua rintangan menjadi asas kecemerlangan dalam kehidupan,” kata Cikgu Huda.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1 (Pentadbiran ) SKPR, Cikgu Anuar Ahmad berkata, rata-rata ibu bapa serta penjaga melahirkan rasa bersyukur atas bantuan pihak sekolah menyumbangkan peranti berkenaan dan talian internet diberi percuma kerana mereka tidak mampu untuk membelinya.
“Ketika
mengendalikan kelas PdPR bagi Subjek Bahasa Melayu pada 17hb Jun lalu semua
murid yang menerima tablet komputer itu begitu bersemangat dan aktif
mengemukakan pelbagai soalan sepanjang bersiaran,” katanya.
Yuasmadi (tiga dari kiri) bersama Cikgu Anuar Ahmad (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada murid miskin dalam Program Ziarah Cakna pada Februari lalu.
Sementara itu, Yuasmadi berkata, mulai Februari 2021 lalu, SKPR melancarkan Program Ziarah Cakna iaitu mengunjungi lima keluarga murid anak yatim dan asnaf pada setiap bulan untuk menghulurkan bantuan keperluan harian yang terkesan berikutan PKP.
"Saya terharu apabila mengetahui ada sesetengah murid daripada keluarga terbabit terpaksa melakukan kerja sambilan bagi mencari sumber pendapatan untuk membantu ibu menyara keluarga sedangkan mereka sepatutnya berada di samping buku untuk mentelaah pelajaran," katanya. - KitaReporters
Yuasmadi Selamat