Frederik The Great kuda paling tampan di dunia! Lebih 100k pengikut FB! RM100k pendapatan sebulan
Published byFrederik bukan sahaja jinak, malah gemar menerima ciuman. - Kredit foto-foto: FB Frederik The Great
BUKAN sesuatu yang memeranjatkan dan perkara luar biasa jika gelaran “paling tampan” diberikan kepada manusia, sebaliknya agak janggal sekiranya gelaran tersebut diberikan kepada seekor haiwan atau lebih tepat kepada seekor kuda seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.
Pada tahun 2016, seekor kuda jantan berusia 19 tahun yang dinamakan Frederik the Great sempena nama Raja Prusia di Berlin, Jerman pada abad ke-18 telah dimahkotakan sebagai World’s Most Handsome Horse (Kuda Paling Tampan Di Dunia) oleh media dan orang ramai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kuda
Frederik bukan sahaja mempunyai susuk tubuh yang menarik, tetapi memiliki ketangkasan dan kekuatan fizikal. - Kredit foto: FB Frederik The Great
Sejak itu, orang ramai mula berkongsi gambar Frederik di internet sehingga menjadi tular dalam media sosial dan tidak hairanlah laman Facebook milik Frederik The Great (@frederikthegreatfriesianstallion) ketika ini diikuti seramai lebih 100,000 orang.
Malah Frederik mampu meraih pendapatan lebih RM100,000 sebulan melalui penglibatan dalam bidang pengiklanan dan pengambaran filem.
Frederik dilahirkan di Belanda dan dibeli oleh seorang wanita bernama Stacy Nazario seorang pemilik Pinnacle Fiesians iaitu sebuah kawasan penternakan kuda di Arkansas, Amerika Syarikat ketika kuda jantan baka Fiesians itu berusia enam tahun pada tahun 2007.
Frederik mempunyai daya tarikan tersendiri kerana memiliki surai (bulu di tengkuk) yang panjang beralun selain susuk tubuh gagah berotot sasa dengan warna hitam berkilau serta memiliki kepantasan dan kekuatan fizikal sehingga mampu memukau sesiapa sahaja setiap kali berlari.
Surai (rambut di tengkuk) yang panjang dan ikal merupakan salah satu aset "ketampanan" Frederik.
Menurut pemiliknya Stacy Nazario, Frederik sering mengeluarkan suara rengekan yang kuat ketika memasuki arena pertunjukan seolah-olah mengumumkan kehadirannya kepada penonton.
“Frederik mempunyai perwatakan semula jadi yang manja, lembut dan mempersona selain suka beraksi menunjukkan ketampanannya setiap dikelilingi orang ramai di samping gemar diberikan ciuman.
“Bukan sahaja mempunyai fizikal yang menarik, kuda ini juga sangat fotogenik dalam setiap bidikan gambar membuatkan orang ramai sanggup terbang dari seluruh negara semata-mata ingin melihatnya secara peribadi,” kata wanita tersebut.
Namun di sebalik penampilan bergaya dan kehidupan di kandang serba mewah, kuda itu terpaksa menjalani rutin penjagaan diri yang sangat padat selain penjagaan makanan, senaman serta proses membersihkan surai
seperti kerja-kerja pengeringan yang memakan masa sehingga dua jam.
Frederik begitu manja dengan pemiliknya, Stacy Nazario. - Kredit foto: FB Frederik The Great
Bagi memastikan penampilan Frederik sentiasa menarik, dua orang petugas akan menguruskan bahagian surai sepanjang 182 cm yang juga merupakan salah satu aset ketampanannya sementara seorang petugas lagi ditugaskan untuk memberi perhatian kepada bahagian ekornya.
“Pada musim panas, Frederik memerlukan penjagaan yang lebih rapi kerana kulit hitamnya boleh menjadikannya terlalu panas.
“Justeru, pada musim panas, kuda itu banyak menghabiskan masa di dalam kandang sambil dibantu beberapa pekerja yang akan merawat serta menjaga kecantikan surai dan ekornya secara lebih rapi berbanding musim lain,” katanya.
Frederik bukan sahaja istimewa kerana ketampanannya tetapi ia merupakan kuda jantan baka Friesian yang hampir pupus sebanyak tiga kali dalam sejarah, sekali gus menjadikannya haiwan yang jarang ditemui dan sukar untuk mendapatkan kuda baka itu, malah harganya juga sangat mahal.
Sehubungan itu, terdapat beberapa usaha pembiakan dilakukan bagi memastikan baka kuda Friesian yang boleh mencapai ketinggian sehingga 173 sentimeter itu tidak pupus dan salah satunya dilaksanakan di pergunungan Ozarks. - KitaReporters
Frederik selain mempunyai daya tarikan turut pandai bergaya di depan lensa kamera. - Kredit foto: FB Frederik The Great